Tuesday, April 20, 2010

Britain guna kapal perang selamatkan rakyat terkandas


BEBERAPA penumpang yang terkandas dipindahkan dari Calais, Perancis ke Dover, Britain dengan menaiki sebuah bot kelmarin.


LONDON - Britain kelmarin telah menghantar beberapa kapal perang untuk menyelamatkan warganegaranya yang terkandas ekoran fenomena awan abu yang keluar dari bawah glasier Eyjafjallajokull, Iceland.

Agensi trafik udara di Brussels menyatakan hanya 8,000 hingga 9,000 penerbangan di Eropah berlepas semalam berbanding 28,000 penerbangan yang telah dijadualkan.

Beberapa lapangan terbang kecil mula dibuka semula tetapi pihak berkuasa di Britain, Perancis, Jerman dan Belanda menegaskan ruang udara di negara-negara berkenaan masih ditutup.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown berkata, pesawat HMS Ark Royal dan kapal perang HMS Ocean akan dihantar di sepanjang Selat Inggeris.

Kapal perang ketiga akan bergerak ke Sepanyol untuk mengangkut pasukan askar yang ingin kembali ke Britain selepas melakukan tugas di Afghanistan.

Brown menyatakan pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa Sepanyol untuk memastikan sama ada warga Britain yang terkandas di luar negara boleh diterbangkan ke negara tersebut, sebelum dibawa pulang dengan menaiki bot atau bas.

Sementara itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan cara negara-negara terbabit mengendalikan bencana tersebut.

Ekoran banyak penerbangan ditangguhkan, industri penerbangan yang mengalami kerugian lebih AS$1 bilion (RM3.2 bilion) mula menuntut ganti rugi daripada pihak Kesatuan Eropah (EU).

Di Nairobi, Kenya, pegawai-pegawai dari industri holtikultur memberitahu sebanyak 5,000 pekerja terpaksa diberhentikan buat sementara waktu berikutan kerugian sebanyak AS$12 juta (RM38.6 juta).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengeksport-pengeksport Hasil Segar Kenya, Stephen Mbithi, para peladang terpaksa membuang jutaan bunga berkualiti kerana kemudahan penyimpanan di lapangan terbang utama Kenya telah penuh.

Dalam perkembangan berkaitan, awan abu yang dikeluarkan dari kawah berapi di glasier Eyjafjallajokull semakin berkurangan.

"Abu juga tidak bergerak pada ketinggian lebih 3,000 meter atau kurang dari separuh ketinggian asalnya," kata Bryndis Brandsdottir dari Universiti of Iceland yang menilai situasi di kawah berapi berdasarkan bacaan radar seismologi di Reykjavik, Iceland.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: