Monday, April 19, 2010

Mengangkat lagenda Bidasari


Rafidah Musa menjadikan rawatan kaki menggunakan ikan garrarufa sebagai sebahagian daripada perkhidmatan yang disediakan di Bidasari Spa & Beauty.


SETAKAT ini belum pernah penulis mengunjungi spa yang tidak mempunyai konsep hiasan dalaman atau dekorasi yang tidak menarik. Nyata hiasan dalaman mampu menjadi nilai tambah pada sesebuah spa selain perkhidmatan dan rawatan yang disediakan.

Setiap spa yang dikunjungi lazminya mempunyai kelebihan tersendiri dan paling menyenangkan ketika melangkah masuk ke spa ialah haruman aroma terapinya yang mampu memberikan mood ketenangan pada sesiapa sahaja yang menghidunya.

Kunjungan penulis ke Bidasari Spa & Beauty milik Rafidah Musa juga mencipta pengalaman tersendiri.

Bak nama Bidasari, kisah legenda Melayu tentang seorang wanita jelita yang mempunyai pergantungan nyawa dengan seekor ikan, spa ini turut cuba mengadaptasi konsep yang sama.

Ruang depan spa dilengkapi dengan kolam ikan yang bukan sekadar menjadi sebahagian daripada hiasan, ia juga adalah spa ikan yang membolehkan pengunjung menikmati gigitan-gigitan kecil ikan garrarufa bersaiz dua sentimeter panjang yang bermanfaat untuk kesihatan kulit.

Pengunjung spa ini juga akan terbuai dengan alunan bunyi alam semula jadi yang direkod dari hutan sebenar. Malah segenap dinding di spa ini juga adalah hasil fotografi Rafidah yang sememangnya gemar mengambil gambar alam semula jadi.

"Saya mempunyai hobi mendaki gunung dan melakukan rentas hutan. Di samping menikmati alam semula jadi ciptaan Tuhan saya juga merakamkan banyak gambar tumbuhan yang menarik dan dibesarkan untuk menjadi hiasan dalam spa ini," ujar wanita berusia 37 tahun ini.

Sesuai dengan konsep spa kesihatan, Rafidah turut membuat laluan khas daripada batu-batu kecil khusus untuk mereka yang inginkan terapi refleksologi secara layan diri.

Menepati konsep spa yang membawakan terapi menggunakan air, Bidasari juga menyediakan ruang pancutan air pada satu sudut di dalam spa tersebut.

Dilengkapi dengan dua buah kerusi untuk rawatan kaki, pengunjung pasti akan terbuai dengan keasyikan bunyi dari pancuran air dan kenikmatan urutan kaki daripada ahli terapi berpengalaman.

Dua buah bilik rawatan juga tidak dibiarkan begitu sahaja. Rafidah turut membina kolam khas dan pancuran pasang siap yang mesra pelanggan.

Warna pilihan yang melatari bilik rawatan pula ialah warna tanah yang melambangkan alam semula jadi.

Penataan cahaya yang suram juga amat ideal untuk memberi ketenangan kepada pengunjung yang ingin mendapatkan rawatan.

Akan datang, Rafidah turut akan membuka sebuah pusat kesihatan gimnasium di tingkat atas premis perniagaannya untuk sesiapa sahaja yang ingin menjaga kesihatan.

Pendek kata pengunjung pasti berpuas hati mendapat rawatan dari spa Bidasari yang menyediakan pelbagai pakej eksklusif untuk wanita.

Untuk maklumat lanjut tentang spa Bidasari sila layari laman web www.bidasari.com.

1 comment:

  1. kkkaaahhhpppuuuiiitttApril 19, 2010 at 11:06 AM

    alhamdullillah. kkkaaahhhpppuuuiiittt berdoa agar perniagaan ini maju dan terus maju.....

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: