|
|
Aktiviti menjahit di kalangan sebilangan wanita dulunya tidak lebih daripada sekadar hobi bagi mengisi masa lapang. Namun seiring dengan perkembangan zaman yang semakin materialistik segalanya kini boleh 'jadi duit' termasuk pada aktiviti-aktiviti yang dulunya sekadar hobi,
Malah jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh, bidang jahitan boleh menjadi mata pencarian yang cukup lumayan kepada golongan wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah.
Dengan hanya menjahit secara sambilan di rumah golongan ini mampu meraih pendapatan ribuan ringgit.
Fakta ini terbukti pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Program Home Based Business (PHBB) 2009 anjuran Koperasi Dagang Seni Malaysia (KDSM) yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Majlis bertujuan mengiktiraf kejayaan suri rumah dan ibu tunggal yang berjaya menjadikan aktiviti jahitan di rumah sebagai sumber pendapatan yang memberangsangkan.
Pada majlis tersebut tiga wanita iaitu Nurzalifah Atifah Mashri, Salbiah Taib dan Rugayah Mohd. Taha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita PHBB dengan pendapatan purata bulanan masing-masing antara RM4,000 hingga RM8,000.
Penyampaian Anugerah disempurnakan oleh tetamu diraja iaitu Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.
Memulakan operasinya secara rasmi pada Mac tahun lalu, KDSM sebenarnya rentetan daripada penubuhan Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJK) yang turut mendapat kerjasama daripada Pusat Latihan Kraftangan Epal sekitar tahun 2007.
Koperasi tersebut menjadi platform kepada peminat seni jahitan sekali gus membantu golongan wanita daripada pelbagai latar belakang meraih pendapatan melalui aktiviti menjahit.
Sehingga hari ini, KDSM mempunyai 13 cawangan di seluruh negara dengan menjadikan Pusat Latihan Kraftangan Epal sebagai pusat pembelajaran.
Antara seni jahitan yang ditawarkan ialah sulaman baju, sulaman manik labuci, seni tampal hias, quilt dan cantuman.
Pengerusinya, Fully Chye Goet Lee, berkata, melalui program itu wanita yang menceburi bidang seni jahitan kreatif ini hanya menghabiskan masanya di rumah sambil melakukan aktiviti jahitan tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Lebih menarik katanya, hasil jahitan tersebut yang kebanyakannya berbentuk kraf tangan seperti beg, sarung kusyen, quilt dan sebagainya boleh dipasarkan sendiri di tapak jualan yang disediakan KDSM pada setiap hujung minggu.
"Secara tidak langsung mereka meraih pendapatan dan pada masa sama masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu," katanya ketika ditemui selepas majlis anugerah.
Beliau yang juga pengasas Pusat Latihan Kraftangan Epal berkata, dalam usaha memperkenalkan seni jahitan kepada orang rama pihaknya juga mengadakan pameran hasil jahitan tempatan dan luar negara selain demonstrasi jahitan dari semasa ke semasa.
Mengenai majlis anugerah tersebut Goet Lee berkata, pihaknya memilih Semangat Si Bunga Matahari sebagai tema majlis.
Ini bagi mengambil contoh sifat bunga tersebut yang sentiasa menghadap matahari, ibarat seperti ahli keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan dari seorang isteri, ibu dan anak.
"Begitu juga ahli kami yang memerlukan galakan dan dorongan dari KDSM dan masyarakat untuk terus kukuh," jelasnya.
Sementara itu Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Program Home Based Business (PHBB) 2009 turut memperkenalkan Anugerah Khas diberi kepada ahli yang cukup komited terhadap penglibatannya dalam KDSM sehingga mereka peroleh kejayaan yang luar biasa.
Salah seorang penerimanya, Rahimah Mohamed berkata, hasratnya bergiat aktif dalam PHBB bukanlah untuk meraih keuntungan semata-mata.
Sebaliknya, perkahwinan yang didirikan selama 10 tahun tanpa zuriat, mendorongnya bekerja lebih kuat bagi mengumpul wang untuk menjalani rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) yang menelan belanja sekitar RM20,000.
Hari ini, hasil gigih beliau dalam seni jahitan diiringi sifat rajin membuatkan dirinya tersenyum bangga apabila disahkan hamil anak kembar yang bakal dilahirkan Ogos ini.
Seorang lagi penerima Anugerah Khas, Norrimah Sharmen, dipilih berdasarkan sikapnya yang ikhlas membantu rakan seperjuangan dan tidak lokek ilmu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: