Monday, April 19, 2010

Bersaing menuntut ilmu

PELUANG luas mahasiswa asing menyambung pengajian di negara ini memberi dimensi baru kepada sektor pendidikan negara meskipun terpaksa memikul pelbagai cabaran.

HARMONI...masyarakat tempatan dan asing boleh jalani hidup harmoni  sekiranya menghormati budaya dan cara hidup masing-masing.
HARMONI...masyarakat tempatan dan asing boleh jalani hidup harmoni sekiranya menghormati budaya dan cara hidup masing-masing.
GUNA PELUANG...peluang melanjutkan pengajian harus digunakan  dengan sebaiknya dan bukan mendatangkan masalah di negara orang.
GUNA PELUANG...peluang melanjutkan pengajian harus digunakan dengan sebaiknya dan bukan mendatangkan masalah di negara orang.
Penjanaan ekonomi, pertumbuhan pelbagai institusi pengajian tinggi selain pengiktirafan dunia luar menjadi bukti kemampuan negara menyediakan hub pendidikan bertaraf global manakala peningkatan gejala sosial, diskriminasi hak serta pelbagai isu sensitif bagaikan kudis dalam masyarakat.

Meskipun mahasiswa tempatan masih mempunyai keupayaan menunjukkan persaingan, kebanjiran mahasiswa asing sedikit sebanyak menggugat kerana mereka lebih berani bersuara serta tahu menegakkan hak masing-masing.

Perbezaan cara hidup dan budaya serta tidak mempunyai perasaan sensitif terhadap budaya tempatan memburukkan lagi keadaan.

Ada bersikap keras kepala menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini milik sendiri sehingga mengetepikan hak mahasiswa tempatan.
Natijahnya, mahasiswa tempatan terpinggir, memprotes dalam diam dan dibelenggu persepsi negatif sekali gus menjejaskan usaha menjana kecemerlangan negara.


Persoalannya, adakah benar kedatangan mereka menggugat keistimewaan dan hak mahasiswa tempatan sekali gus menjadi malapetaka besar kepada negara sedangkan pada masa sama kita berusaha menjadikan negara hub pendidikan terkemuka dunia.Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nor Asiah Mohamad, berkata kehadiran mahasiswa asing jangan dijadikan isu menyekat mahasiswa tempatan kerana dunia pendidikan adalah bersifat global dan terbuka.


Beliau berkata, persaingan menuntut ilmu terbuka dan sesiapa sahaja berpeluang mempertingkatkan pengetahuan di institusi seluruh dunia.

"Dunia pendidikan hari ini sudah maju, jadi semua mempunyai hak belajar dan menuntut ilmu. Mengapa mesti menyekat kehadiran dan peluang orang luar sedangkan tidak salah jika mahu menambah pengetahuan sedia ada.

"Kerajaan juga sudah berusaha keras menjadikan negara ini hub pendidikan dunia dan wajar disokong.

"Mahasiswa tempatan perlu lebih berani menyahut cabaran ini kerana mereka bukan hanya berdepan kelompok masyarakat sendiri tapi seluruh dunia," katanya.

Berdasarkan statistik 2003-2007 Kementerian Pengajian Tinggi, sebanyak 176 negara menghantar pelajar mereka ke negara ini dengan jumlah terbesar dari China, Indonesia, Bangladesh dan Arab Saudi.

Malaysia kini menampung kira-kira 69,000 pelajar asing di pelbagai institusi tempatan.

Meskipun mereka datang menuntut ilmu, ada juga 'melencong' visa belajar dengan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, masalah sosial tidak dapat dielakkan kerana cara hidup dan kebudayaan berbeza tetapi jangan cepat melatah sebelum mengetahui kebenaran.
"Ada juga terbabit dengan masalah sosial tapi jumlahnya kecil.

"Malangnya, akibat perbuatan itu, semua pihak mendapat nama busuk. Ia amat berbahaya kerana bukan saja memberi impak negatif kepada institusi pengajian dan masyarakat tapi negara," katanya.

Katanya, mahasiswa tempatan jangan melatah atau diselubungi rasa rendah diri sebaliknya menggunakan peluang itu untuk mendapatkan ganjaran.

"Kedatangan mereka harus menaikkan semangat dan memberi satu perbandingan baru. Kita belajar bagaimana mereka melakukan sesuatu dan memperbaiki kekurangan sedia. Itu lebih baik daripada terus memberi kritikan atau dibelenggu rasa tidak puas hati.

"Jangan bimbang mengenai hak kerana mahasiswa tempatan sentiasa dijaga dan mendapat keistimewaan di negara ini. Dibandingkan mahasiswa asing, mereka terpaksa berjuang mendapatkan yang terbaik, katanya.

Beliau juga kurang bersetuju mahasiswa asing dikatakan membolot peluang pendidikan sebaliknya faktor itu berpunca daripada mahasiswa tempatan.

"Hakikatnya, mahasiswa kita suka berdiam diri dalam kelas dan bersikap pasif. Dari segi pencapaian, mereka setara serta mampu membina kecemerlangan masing-masing.

"Bukan semua mahasiswa asing pandai dan berani, begitu juga mahasiswa kita. Jadi tidak adil memberi penilaian bahawa mereka boleh melakukan semua perkara.

"Kejayaan memerlukan usaha berterusan, bukan sekelip mata. Jika benar mahasiswa tempatan rasa tercabar mereka harus ubah pandangan dan cara berfikir," katanya.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Pentadbiran, Shabbir Showkot Emran Abdus Sattar, berkata dia terpaksa melalui pengalaman berbeza apabila membuat keputusan menyambung pengajian di negara ini.

Sering disalah anggap sebagai warga kelas kedua, dia kurang bersetuju apabila dikatakan mahasiswa asing sering diberi keistimewaan.

"Kami tidak dapat apa-apa keistimewaan kerana kedatangan hanya untuk belajar, rasa diterima dan selamat. Bagaimanapun, kerana masalah ditimbulkan orang lain, kami terkena jua tempiasnya.

"Kebanyakannya menganggap kami bawa masalah, mengganggu dan menakutkan rakan lain. Dalam konteks ini, salah faham ini harus diperbetulkan supaya tidak timbul isu negatif," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: