WAH! Kagum betul Marilyn dengan aktor Ady Putra. Marilyn bukannya peminat nombor satu aktor itu tetapi khabar yang Marilyn terima daripada seorang teman membuatkan Marilyn tabik kepadanya.
Kata teman Marilyn, demi memberi lakonan yang berkesan untuk filem terbarunya yang berjudul Hanyut, Ady yang kini sibuk mempersiapkan diri bukan sahaja dari segi mental tetapi juga fizikal.
Bahkan, aktor itu juga memberi komitmen 100 peratus semasa sesi latihan seni mempertahankan diri iaitu silat sehingga mengalami kekejangan kaki.
"Mana kaki tak kejang, sebelum latihan silat selama dua jam, Ady terlebih dahulu pergi berjogging. Katanya, untuk menjadikan staminanya lebih cergas.
"Tetapi tidak sangka pula, dek komitmen yang diberinya menyebabkan Ady mengalami kecederaan sehingga terpaksa dipapah oleh krew produksi selepas latihan silat selesai," kata teman Marilyn lagi.
Begitu bersungguh-sungguh Ady untuk filem arahan pengarah berprofil tinggi U-Wei Shaari. Bajet filem itu juga cukup besar, dengarnya sehingga mencecah RM25 juta.
Ermm.. tak sabar-sabar pula Marilyn nak menonton filem Hanyut. Buat Ady, meskipun beri komitmen yang tinggi tetapi kesihatan diri harus dijaga. Nanti jangan masa latihan okey tetapi ketika penggambaran, Ady pengsan pula.
Marilyn tahu, Ady seorang pelakon yang bagus, harap-harap selepas filem Hanyut ditayangkan kelak, bintang Ady akan lebih bersinar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: