Saturday, April 10, 2010

Kobis jeruk Korea


Inilah kimchi yang telah sedia untuk dimakan.


KIMCHI, makanan tradisional kegemaran orang Korea merupakan sejenis sayur jeruk yang sedap dimakan bersama nasi panas. Makanan ini mempunyai sejarah yang cukup panjang melewati tahun 57 Sebelum Masihi lagi.

Namanya juga berubah-ubah. Pada awalnya ia dikenali sebagai shimchae, kemudian diubah kepada dimchae, seterusnya kimchae dan akhirnya menjadi kimchi yang kekal sehingga kini.

Di zaman pemerintahan Dinasti Koryo pada tahun 918 sehingga 1392, kimchi yang asalnya tidak mempunyai rasa ditambah dengan serbuk cili merah supaya terasa pedas.

Di bahagian utara Korea yang lebih sejuk, penduduknya membuat kimchi yang kurang masin tetapi pedas sementara di bahagian selatan yang beriklim panas, kimchi dibuat masin serta pedas.

Pada hari ini, kimchi seakan menjadi makanan pembuka selera dan mesti ada di atas meja makan pada setiap kali makan.

Sementara itu, sebagai langkah berkongsi pengetahuan dengan rakyat negara ini, pengeluar barangan keperluan rumah Coway baru-baru ini mengadakan bengkel membuat kimchi.

Bengkel yang dihadiri oleh seramai 50 orang pelanggan Coway ini telah dikendalikan oleh isteri Pengarah Urusan Coway Malaysia, Eunice Lee Eui Jung.

Berkongsi sejarah kimchi, Eunice berkata, kimchi bermula dan berkembang di Korea kerana sayur merupakan makanan yang popular sejak di zaman purba lagi.

Kobis panjang, ujarnya, amat sesuai bagi membuat kimchi dan banyak ditanam di ladang-ladang sayur.

''Orang Korea memiliki teknologi yang bagus dalam pembuatan ikan masin dan sayur jeruk.

"Memakan kimchi mempunyai banyak kelebihan seperti melambatkan penuaan, menguatkan sistem ketahanan badan, menghalang penyakit dan bagus bagi sistem pencernaan.

''Di Korea terdapat lebih daripada 200 jenis kimchi dan ia sedap dimakan bersama nasi goreng, sushi, sup tofu dan mee kimchi.

"Kimchi memang serasi dengan makanan Korea yang kurang berminyak," kata Eunice.

Tambahnya, pada masa lalu sebelum tiba musim sejuk di Korea, seisi keluarga akan membuat kimchi beramai-ramai.

Kemudian kimchi akan disimpan di bawah tanah sebagai proses menjeruk.

Kimchi tidak akan menjadi busuk kerana cuaca sejuk membuatkan kimchi tahan lama. Kimchi hanya akan dikeluarkan apabila tiba masa makan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: