|
|
DARI jauh, aroma kuah masam dan pedas itu sudah menusuk ke rongga hidung. Sebaik melangkah ke lobi Hotel Dorsett Johor Bahru, aromanya terus meningkatkan darjah nafsu yang mula membuak-buak. Fokus penulis semakin terganggu apabila berterusan menghirup wangi daun kesum dan bunga kantan. Hakikatnya tidak sukar untuk meneka jenis masakan berkenaan iaitu asam pedas Johor.
Secara jujur, penulis bukan peminat setia asam pedas bercita rasa di negeri sebelah selatan yang terkenal dengan kuahnya yang agak pekat.
Barangkali juga kerana anak tekak penulis yang sudah biasa menikmati asam pedas utara yang kuahnya lebih cair apatah lagi kalau menikmati asam pedas ikan terubuk.
Namun sesekali ingin juga mengubah selera, tambahan pula pelawaan Pegawai Perhubungan Awam hotel itu, Charlotte Monterio yang bagaikan tiada noktah.
"Istimewa tau kerana asam pedas Johor ini dimasak dalam periuk tanah. Awak datanglah cuba," katanya memberi harapan tinggi.
Persembahan hidangannya begitu ringkas. Cukup sepinggan nasi, semangkuk asam pedas dengan ikan siakap dan ayam, sebelah telur masin, keropok udang, ulam-ulaman bersama sambal belacan, jus epal dan pencuci mulut beraneka buah-buahan.
Lantas penulis dan jurugambar, Raja Jaafar Ali jadi leka menikmati hidangan asam pedas itu di ruang Kapitan Corner sambil ditemani angin petang yang mendamaikan.
Malah, perbualan kami dan Charlotte sengaja dihadkan kerana ingin memberi tumpuan kepada keenakan asam pedas Johor itu yang tiada tandingannya.
Hanya bunyi sudu dan garpu memecah suasana ketika apabila peralatan besi itu bersilih ganti dari satu sajian ke satu sajian di atas meja.
"Okey tak asam pedas Johor ini?" tanya wanita berketurunan Portugis itu berulang-kali. Kami hanya senyum, lambang tanda setuju.
Bagi yang ingin mencuba hidangan dari negeri itu, orang ramai boleh berkunjung ke Hotel Dorsett Johor kerana hotel berkenaan sedang mempromosikan masakan itu sejak Januari lalu.
Charlotte memberitahu, promosi itu terpaksa diteruskan menjadi menu utama selepas asam pedas Johor itu mendapat sambutan hangat di kalangan pengunjung.
"Yang pelik, orang yang bertanya asam pedas itu adalah pengunjung luar negara. Mereka siap minta tahap pedasnya ditambah.
"Pengujung tempatan pula luar dari Johor dan juga Brunei juga sering bertanya masakan tradisional istimewa itu," katanya penuh ceria pada sesi wawancara.
Beliau berkata, asam pedas Johor yang disediakan itu mampu mengubat rindu kepada masakan kampung, malah pengunjung juga boleh memilih menikmati di dalam atau perkarangan luar kafe hotel.
Katanya, hidangan secara ala carte pada waktu tengahari dan bufet pada waktu malam itu boleh dinikmati dengan harga hanya RM25 seorang bagi dewasa.
Menurut Charlotte, masakan asam pedas di Kapitan Corner itu beroperasi mulai pukul 11.30 pagi hingga pukul 10.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: