|
|
HIDUP mesti diteruskan. Sekali gagal tidak bermakna selamanya akan gagal atau petanda kepada gelapnya masa depan. Namun, apa yang memusykilkan adakah tempoh dua tahun yang disyaratkan itu, mencukupi untuk berubah atau diubah?
Pengetua Kompleks Dar-Assa'adah (KDS), Aspalela Hasan, 34, mengakui tempoh 24 bulan tersebut sudah cukup bagi pelatih KDS untuk melakukan 'penghijrahan' diri dan memulakan diari hidup baru.
Dalam erti kata lain, katanya, insya-Allah apabila mereka keluar kelak, mereka dapat mengubah cara hidup, perbaiki tabiat buruk, memperoleh benteng fizikal dan mental. Juga kekuatan iman menerusi didikan agama, mengasah ilmu kemahiran, sekali gus mantapkan dan tingkatkan jati diri Muslim. Malah tidak mustahil memiliki kerjaya tetap dan menjalani kehidupan berkeluarga.
Menurut beliau, KDS adalah tempat terbaik kerana aktiviti-aktivitinya memang menjurus kepada matlamat untuk pemulihan dan pembinaan diri supaya lebih berjaya atau lebih baik dari dulu.
"Di sini, kami berusaha menyedarkan pelatih bahawa apa yang dilakukan selama ini salah dan berdosa tetapi dalam masa sama menimbulkan keinsafan serta membina semula keyakinan diri mereka untuk kembali ke pangkal jalan.
"Namun semua itu tidak dapat berlaku dalam sekelip mata. Kita di KDS berusaha membina semula individu yang bermasalah ini menerusi pelbagai program, kelas, ceramah, aktiviti dan banyak lagi. Pun begitu, langkah kejayaan ini kena bermula dalam diri pelatih itu sendiri serta kesinambungan sokongan daripada ibu bapa dan keluarga pelatih.
"Jika mereka mahu berubah, di sinilah tempatnya. KDS bukan sekadar tempat untuk menyorok anak, persembunyian sementara menunggu saat kelahiran, mendapatkan kemudahan bersalin dan pemudah proses pendaftaran kelahiran. Matlamatnya lebih daripada itu," jelas Aspalela.
Kata beliau, KDS harus dijadikan platform dan peluang keemasan kepada pelatih untuk berubah. Manakala di pihak pelatih, mereka perlu benar-benar ingin berubah serta merancang semula masa depan mereka.
Tambahnya, 21 tahun usia penubuhan KDS menyaksikan seramai 484 pelatih menerima perlindungan, pendidikan agama, bimbingan kerohanian serta latihan kemahiran.
Daripada jumlah ini ada di antara para pelatih telah melanjutkan pelajaran ke Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), Institut Profesional Baitulmal, kolej-kolej kejururawatan, seterusnya membina kerjaya tetap dan bergelar usahawan.
"Semua ini dicapai berkat keprihatinan pihak MAIWP yang disokong kesabaran serta sikap tidak berputus asa para kakitangan dan kerjasama teguh pihak-pihak terlibat lain.
"Apatah lagi, apa yang dilakukan itu ikhlas kerana Allah SWT dengan niat untuk menolong anak bangsa. Manakala di pihak pelatih pula, mereka benar-benar ingin berubah," katanya.
Menurut Aspalela, apabila wujud kerjasama erat dua pihak ini, apa sahaja program dan aktiviti yang dilaksanakan, mampu dijayakan.
Sejajar dengan perubahan masa, dari semasa ke semasa KDS telah banyak membuat beberapa perubahan daripada pelbagai sudut dalam aspek pengurusan, pelaksanaan aktiviti-aktiviti dan penyediaan kemudahan infrastruktur bagi melicinkan lagi perjalanan kerja.
Pada masa yang sama, ia turut berjaya mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada supaya dapat memberi impak yang positif kepada kualiti KDS.
"Menerusi pemerhatian saya, ternyata perubahan yang dibuat telah mengembangkan lagi peranan KDS sebagai institusi kebajikan dan perlindungan kepada gadis atau wanita Islam.
"Di samping berperanan memberi motivasi serta bimbingan kepada para penghuninya untuk berhadapan dengan dunia luar yang penuh pancaroba," katanya yang ditemui Mega, di pejabatnya di Kampung Batu, Batu 5 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Setakat ini, KDS mempunyai seramai 37 pelatih bermasalah.
Menjelaskan definisi bermasalah, terang Aspalela ia membawa maksud kategori gadis atau wanita antara usia 18 hingga 35 tahun yang berkaitan dengan kes-kes seperti hamil luar nikah, lari dari rumah, sukar dikawal keluarga, terlibat dengan masalah sosial, bersekedudukkan dan berkhalwat.
Katanya lagi, pada abad ke 21 ini, tumpuan pengambilan penghuni adalah lebih kepada pelatih yang mengandung anak tidak sah taraf iaitu kira-kira 70 peratus.
Sementara jumlah selebihnya adalah mereka yang tidak mengandung tetapi terlibat dengan kes gejala sosial lain seperti merempit dan di luar kawalan keluarga.
Gadis bermasalah dan ibu bapa yang memohon masuk akan melalui temuduga berasingan sebelum melalui prosedur dokumentasi tertentu.
Dalam kebanyakan kes, ibu bapa sudah maklum situasi sebenar anak mereka dan pelatih sukarela datang. Kebiasaannya, KDS menerima gadis-gadis yang sudah enam bulan ke atas kehamilan.
"Para pelatih akan diletakkan di kelas-kelas mengikut tahap pengetahuan agama mereka. Di sini, walau setinggi mana latar akademik mereka, tahap pengetahuan agamanya yang lebih diambil kira. Maka pelatih akan diletakkan sama ada pada tahap rendah, sederhana atau tinggi," jelasnya. Bagi memberi pendedahan dan latihan asas kepada pelatih, KDS menyusun beberapa aktiviti sama ada aktiviti rutin atau aktiviti tambahan.
Bagi aktiviti rutin, perjalanan kelas adalah setiap hari bekerja bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. Ia merangkumi kelas-kelas pengajian agama seperti asas fardu ain, fikah, tauhid, tafsir, akhlak dan hadis, mengaji al-Quran dan belajar muqaddam.
Selain itu, pelatih juga diberi latihan asas seperti kelas masakan, jahitan dan kraftangan serta aktiviti riadah setiap petang.
Sesi bimbingan kaunseling juga turut dijalankan setiap hari. KDS juga menyusun kalendar aktiviti tambahan seperti Program Kursus Kesihatan, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Bola Jaring, Ceramah Bina Insan, Ceramah Kerjaya, lawatan luar, Kursus Motivasi dan tidak ketinggalan sambutan hari-hari kebesaran umat Islam.
Hakikatnya, bukan mudah untuk melaksanakan tugas, apatah lagi apabila berhadapan dengan mereka yang menghadapi masalah sosial. Tekanan sentiasa memuncak dan perkhidmatan yang diberikan tanpa mengira masa dan ketika, menjadikan hanya insan yang tertentu sahaja mampu mengharungi semua cabaran dan dugaan.
Pun begitu, firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu yang mengubah keadaan diri mereka sendiri. (ar-Raad: 11) perlu dijadikan pemangkin semangat untuk terus istiqamah dan berbakti ke jalan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: