Saturday, April 10, 2010

Keterujaan peminat F1




SEMASA melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (IT) di United Kingdom 11 tahun lalu, Izrin Haryati Ismail langsung tidak tertarik untuk menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1).

Tidak banyak yang diketahui oleh wanita yang berusia 33 tahun itu. Bahkan, beliau beranggapan perlumbaan itu hanyalah pertandingan kereta biasa yang tanpa sebarang keistimewaan. Cuma, apa yang diketahuinya ialah Malaysia sudah mempunyai litar khusus bagi perlumbaan F1 di Sepang yang dibuka sejak 1999.

Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila Izrin kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya pada tahun 2000. Keasyikan adiknya, Izwan Affendy Ismail, 31, menonton perlumbaan F1 secara langsung di kaca televisyen sedikit pun tidak menarik perhatian Izrin.

Namun deruman jentera F1 yang membingitkan telinga berjaya menarik perhatian Izrin. Beliau terpaku melihat kemahiran para pelumba yang memotong dan mengejar antara satu sama lain.

"Sedar tak sedar, rupa-rupanya perlumbaan itu sudah hampir tamat. Sejak itu saya terus teruja dan tidak pernah ketinggalan menyaksikannya di Litar Sepang atau di kaca televisyen.

"Adik saya memang peminat setia F1, dia banyak memberi penerangan berhubung konsep dan undang-undang perlumbaan sehingga saya jatuh cinta kepada sukan ini," katanya yang menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Mengakui meminati Michael Schumacher dan pasukan Ferari, Izrin berkata, dia banyak mengetahui berita-berita terkini legenda F1 itu melalui majalah pemotoran dan Internet.

Bagi eksekutif di sebuah syarikat multinasional itu, Schumacher berbeza daripada para pemandu F1 yang lain. Kepada Izrin, Schumacher bukan sahaja agresif malah berkemahiran tinggi sehingga dinobatkan sebagai juara dunia perlumbaan kereta sebanyak tujuh kali.

Tidak hairanlah Izrin banyak mengumpul koleksi buku, baju, poster, cenderamata dan sebagainya membabitkan idolanya itu.

Jika selama ini Izrin hanya mampu melihat Schumacher dari jauh, tetapi beliau akhirnya berpeluang bertemu legenda itu dengan lebih dekat ketika menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 di Melbourne, Australia pada tahun 2003.

Namun hasratnya mendekati Schumacher belum tercapai. Setahun kemudian dia sekali lagi mengunjungi negara kanggaru itu untuk mencuba nasib.

"Saya agak bertuah kerana sempat bergambar dan meminta beliau menandatangani buku, Michael Schumacher - Driving Force sebagai kenang-kenangan.




"Walaupun pertemuan tersebut berlangsung dalam tempoh yang sangat singkat, namun keterujaan saya bertemu beliau sukar digambarkan dengan kata-kata," ujar anak sulung daripada dua beradik itu.

Baru-baru ini, Izrin sekali lagi berpeluang menemui pelumba berusia 41 tahun bersama rakan sepasukannya, Nico Rosberg dan Nick Heidfeld selepas terpilih antara pemenang peraduan anjuran Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Walaupun pernah bertemu Schumacher sebelum ini, namun Izrin tidak dapat menyembunyikan perasaan gugupnya sebaik sahaja dia berada di hadapan lelaki itu.

"Saya nak ucapkan tahniah di atas kembalinya beliau ke dalam F1, tetapi sebaik sahaja bertentang mata lidah saya kelu dan hanya mampu menghulurkan topi serta bendera Jerman untuk ditandatangani.

Kembali beraksi

"Sebagai peminat setia saya sentiasa berharap beliau terus cemerlang dan mengulangi kejayaan bersama pasukan Petronas," katanya.

Kegembiraan Izrin bertemu pelumba-pelumba F1 itu merupakan salah satu aktiviti yang diadakan sempena Karnival Petronas Pit Pulse dan Minggu Grand Prix Malaysia Petronas yang berlangsung pada 28 Mac hingga 4 April lalu.

Ia juga merupakan salah satu aktiviti yang diatur khusus untuk pemegang Kad Mesra Petronas yang lahir pada 1 Mei sempena meraikan ulang tahun pertama Program Setia Mesra Petronas yang diadakan pada 1 Mei ini.

Mereka yang dipilih perlu menjawab dengan betul tiga soalan yang dikemukakan. Pemenang dipilih berdasarkan siapa yang terpantas memberi jawapan melalui laman web MyMesra.


PARA peminat menunjukkan cenderamata yang ditandatangani oleh Shumacher, Nico Rosberg dan Nick Heidfeld pada sesi bertemu peminat.


Setiap pemenang bukan sahaja berpeluang bertemu dan bergambar dengan pelumba pujaan mereka malah turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi jentera F1 yang diadakan berhampiran Menara Berkembar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Schumacher yang terkenal dengan nama timangan Schumi berkata, beliau gembira kerana dapat kembali beraksi di pentas perlumbaan F1 di samping kepercayaan untuk bertanding di bawah pasukan baru iaitu Mercedes GP Petronas (Mercedes GP).

Ujarnya, selepas mengumumkan persaraan kira-kira tiga tahun lalu beliau gembira kerana dapat beraksi sekali lagi di Litar Antrabangsa Sepang (SIC) di samping bertemu para peminatnya di Malaysia.

Pelumba kelahiran Hurth-Hermulheim, Jerman itu optimis Mercedes GP mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain pada masa hadapan sekiranya dapat mengatasi beberapa masalah teknikal.

"Buat masa ini, kami sedang bekerja keras untuk mencari formula terbaik agar kereta kami lebih kompetitif.

"Malah Mercedes dan juga Petronas saling berganding bahu bagi memastikan kenderaan kami sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya yang yakin pasukannya mampu memburu kejuaraan musim ini.

Sementara itu, bagi M. Leon Rajasingam, 34, peluang bertemu pelumba handalan F1 itu merupakan hadiah hari jadi yang amat bermakna kepadanya.

Hadiah bermakna

Pengurus Operasi sebuah syarikat IT di Cyberjaya itu berkata, pengalaman tersebut merupakan kali pertama beliau bertemu Schumacher biarpun telah lama mengikuti perkembangan kerjaya Schumacher sebelum ini.

"Saya gembira apabila diberitahu bahawa hadiah yang saya peroleh ialah bertemu Schumacher.


PARA pemenang peraduan anjuran Petronas diberi peluang bergambar bersama pelumba terkemuka dunia yang menjadi idola mereka.


"Saya sentiasa membayangkan mengenai pertemuan ini dan saya juga mengambil cuti bagi memastikan impian itu terlaksana," katanya yang datang bersama teman wanitanya, Cindy Ch'ng, 28, seorang peminat setia F1.

Mula meminati sukan F1 sejak pertama kali diadakan di negara ini pada tahun 1999, Leon memberitahu, beliau mengagumi kejayaan yang ditunjukkan Schumacher sejak beliau memulakan kariernya.

Katanya, legenda F1 itu memulakan kariernya sebagai pelumba go-kart sebelum bertanding di peringkat Formula F3000 dan seterusnya F1 bermula dari pasukan Benetton, Ferari sehinggalah Mercedes GP.

"Apabila beliau mengumumkan persaraan tiga tahun lalu, saya tidak menjangkakan beliau akan kembali aktif semula seperti pemandu-pemandu F1 lain yang telah mengumumkan persaraan mereka.

"Apa yang pasti kemunculan semula Schumacher pasti membanggakan para peminat beliau khususnya lebih 28 juta rakyat Malaysia kerana membawa nama Petronas," jelasnya.

Sementara itu, Omar Musa, 38, berkata, beliau gembira kerana dapat bertemu Schumacher pada majlis itu.

Omar menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat bertemu Schumacher.

"Lagi pun selepas beliau bersara, saya agak terkilan juga kerana tidak sempat bertemunya tetapi kini hasrat saya tercapai jua," katanya yang menetap di Puchong, Selangor.

Omar turut menyatakan keyakinannya bahawa Schumacher dan Nico Rosberg akan mencatatkan kejayaan memberangsangkan pada musim ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: