
KETIKA berada di lapangan terbang Soekarno Hatta di Jakarta sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, penulis sempat bertanya tentang isu penarikan jutaan kereta Toyota di pasaran antarabangsa kepada seorang orang kanan Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB).
Adakah ia memberi impak positif kepada Honda yang menjadi pesaing utama Toyota sejak sekian lama? Jawabnya, Honda tidak akan mengambil kesempatan atas kesulitan yang dihadapi Toyota. Sambil melahirkan rasa simpati, beliau menegaskan bahawa semua pengeluar kereta terdedah kepada situasi tersebut. Jadi, untuk bersorak gembira atas kesusahan orang lain bukanlah budaya berniaga orang Jepun.
Kepada pemain industri automotif yang boleh dianggap dominan, kualiti produk menjadi agenda utama. Tidak kira di mana pun kilang mereka, kawalan kualiti mestilah menepati piawaian yang ditetapkan.
Atas alasan kos yang lebih efektif atau untuk mengeksploitasi pasaran baru, banyak pengeluar membina kilang di negara-negara membangun.
![]() |
| KONSOL tengah yang menempatkan unit audio, pendingin hawa dan tuil gear. |
Honda tidak terkecuali membina kilangnya di Indonesia. Dengan populasi mencecah 230 juta orang, ia bukan sekadar lubuk emas, malah ia boleh menjadi hab pemasangan bagi pasaran di negara-negara jiran.
Justeru, di PT Honda Prospect Motor (HPM) yang bertempat di Karawang, kira-kira 45 minit perjalanan dari bandar raya Jakarta, wakil media diberi peluang melihat sendiri kecanggihan dan kualiti produk yang dihasilkan. HPM bertanggungjawab menghasilkan tiga model utama Honda iaitu Jazz, Freed dan CR-V.
Lebih mengujakan, kami berpeluang melihat secara dekat dan memandu uji model MPV kompak premium, Freed yang bakal berada di pasaran Malaysia sekitar suku kedua tahun ini.
Di kilang tersebut, Freed dihasilkan untuk pasaran Singapura dan Thailand, selain Indonesia. Berkapasiti menghasilkan 50,000 unit kenderaan setahun, kilang tersebut menggabungkan teknologi robotik dan tenaga manusia.
Persekitaran di dalam kilang, menawarkan ambien kilang kereta Jepun yang tipikal. Semuanya berada dalam keadaan yang bersih dan tersusun. Para pekerjanya memakai seragam berwarna putih dan dikelilingi dengan mesin serta peralatan robotik.
Pemanduan menyeronokkan
Bermula dari kawasan tempaan untuk Freed dan model-model lain termasuk Jazz, wakil media diberi penerangan berhubung piawaian produk untuk pasaran eksport.
![]() |
| REKAAN tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dan disangkut ke dinding. |
Jika robot digunakan untuk kerja-kerja pateri, tenaga manusia pula diperlukan bagi memeriksa jika ada kecatatan pada tubuh Freed. Para pekerja juga berperanan memasang peralatan-peralatan seperti papan pemuka, radio, di samping getah pada kerangka pintu dan tingkap.
Bagi memastikan tiada kebocoran, Freed turut menjalani ujian menerusi semburan air. Selepas segala-galanya berada dalam keadaan baik, Freed akan diuji di atas pelbagai jenis permukaan jalan raya di trek yang sedia ada.
Di bawah panas terik, penulis berpeluang memandu Freed di trek sejauh 1.5 kilometer. Dibina di atas platform Jazz, Freed merupakan model berkapasiti tujuh tempat duduk paling kecil keluaran Honda untuk pasaran tempatan.
Berkongsi unit enjin bersesaran 1.5 liter SOHC i-VTEC yang sama pada Jazz, ia masih boleh menggerakkan Freed tanpa banyak drama. Dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan, kuasa yang dihantar ke roda hadapan membuatkan pemanduan di bandar agak menyeronokkan.
Freed memperkenalkan rekaan papan pemuka bertingkat yang cukup bergaya. Konsol tengahnya menempatkan unit audio, pendingin hawa dan tuil gear. Ia sekali gus membuatkan ruang kaki menjadi lebih luas.
Bumbung yang ditinggikan dan cermin tingkap besar memberikan penumpang perasaan berada dalam kenderaan yang luas. Bagi meminimumkan titik buta, tiang A pada Freed juga telah dinipiskan.

Rekaan lantai yang rata membolehkan banyak konfigurasi tempat duduk dibuat. Malah, penumpang boleh bergerak di dalam Freed dengan lebih mudah. Bagaimanapun, tempat duduk baris kedua tidak boleh dilipat rata ke lantai bagi memberikan ruang kargo lebih luas.
Rekaan tempat duduk baris ketiganya yang boleh dilipat dan disangkut ke dinding. Ia bukan sahaja nampak kemas, malah anda boleh meletak barang yang besar tanpa sebarang masalah.
Selain rekaan luaran yang dinamik, salah satu ciri yang pasti akan dicemburui oleh pesaingnya ialah pintu gelongsor automatik pada kedua-dua sisi tubuhnya.
Dalam tempoh pandu uji yang begitu singkat, cuma ada satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh pihak HPM atau Honda secara keseluruhannya. Penulis dapati, karpet lantainya terutama di bahagian pemandu begitu licin. Keadaan itu membuatkan anda berasa seperti berpijak di atas satu lapisan plastik.
Harganya? Kenalah tunggu sehingga hujung bulan ini. Apa yang pasti ia sebuah MPV kompak premium. Berada di negara yang cukai kenderaannya merupakan antara paling tinggi di dunia, harga sebuah Freed pasti melebihi RM100,000 seunit. Namun Freed tetap hadir bersama ciri yang membuatkannya berbaloi untuk dimiliki.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: