Saturday, April 10, 2010

Identiti baru Pos Kawalan Charlie




POS Kawalan Charlie yang terkenal di dunia sebagai simbol Perang Dingin dan barisan hadapan pertembungan dua kuasa nuklear dunia sehingga tahun 1989, kini akan memiliki cawangan restoran McDonald's. Bagi kebanyakan orang penubuhan restoran itu adalah penamat segala-galanya.

Kawasan yang pernah menyaksikan pertempuran kereta-kereta kebal Amerika Syarikat (AS) dan Rusia kini hanya tinggal para pelakon yang memakai kostum askar AS dan Soviet yang mengecop pasport pelancong atau bergambar bersama mereka.

Bersebelahan replika sebuah papan tanda, pelancong akan memasuki sektor Amerika. Di situ, terdapat kedai cenderamata dan warung yang menjual serpihan Tembok Berlin serta beberapa barangan Perang Dingin seperti kereta mainan dan topi tentera Rusia.

Antara barangan lain yang dijual termasuklah kemeja-T dengan gambar popular ciuman pemimpin Soviet, Leonid Brezhnev dengan tokoh Jerman Timur, Eric Honecker iaitu amalan biasa yang menunjukkan persaudaraan antara negara sosialis namun dianggap janggal di Barat. Ia turut dijadikan mural satira di Tembok Berlin selepas dirobohkan pada November 1989.

Seorang bekas kolonel tentera AS, Vernon Pike, yang pernah bertugas di Pos Kawalan Charlie marah dengan keadaan di situ. Beliau mengutus surat kepada pihak berkuasa Berlin pada tahun 2008 dan menyifatkan perubahan yang dibuat sebagai tidak relevan.

Pada Januari lalu sebuah papan iklan besar syarikat pakaian dinaikkan dengan imej seorang wanita memakai seluar jean tanpa memakai baju.

Restoran Starbucks juga terdapat di situ. Logo Golden Archers khabarnya akan menghiasi bangunan yang menempatkan medan makan yang menjual sushi, kebab dan piza serta dikenali sebagai Snackpoint Charlie atau Pos Snek Charlie.

"Tempat ini sangat pelik," kata Simone Bernaert, 62, seorang pesara dan pensyarah universiti dari Paris, Perancis yang melawat Berlin.

Pos Kawalan Charlie adalah antara kawasan yang membangkitkan ingatan bahawa Berlin pernah menjadi bandar raya yang terpisah dua.

"Sukar untuk menggambarkan bagaimana keadaannya ketika itu. Mungkin lebih baik sekiranya mereka cuba memeliharanya.

"Sekarang ia kelihatan sama dengan bandar di Eropah," ujar seorang pelajar dari Dublin, Amy O'Brian.

Malah, pelancong juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka tidak peka bahawa Republik Demokratik Jerman (GDR) bertentangan dengan fahaman komunis yang pernah wujud.

Mercu tanda lain di Pos Kawalan Charlie juga telah hilang malah bangunan Palast der Republik yang merupakan Parlimen kepada GDR, juga dirobohkan tahun lalu untuk memberi ruang kepada pembinaan istana Prussian yang sebelum ini dimusnahkan oleh komunis.

Hanya tinggal beberapa blok Tembok Berlin dan salah satu daripadanya di Bernauer Strasse dikatakan terdedah dengan kemungkinan runtuh.

Begitu juga dengan fenomena Os talgie iaitu nostalgia terhadap semua perkara yang melibatkan Jerman Timur seperti yang digambar pada tahun 2003 dalam filem Good Bye Lenin! dan lawatan ironik bagi pelancong dengan menaiki kereta antik yang telah dibaikpulih.

Masa berubah


PELAKON yang menyarung pakaian seperti pegawai Polis Tentera Amerika membantu orang ramai merakam foto kenangan mereka.


"Saya bimbang tahun demi tahun, imej GDR akan bertambah positif. Kisah ngeri rejim semakin hilang dan hanya sedikit Tembok Berlin kelihatan dan tidak memberi gambaran sebenar keadaan masa lalu," demikian menurut Hubertus Knabe, Pengarah Berlin-Hohenschoenhausen yang dulunya merupakan penjara GDR bagi tahanan politik yang kini dijadikan muzium.

Bagaimanapun pelancong faham Berlin sedang maju ke hadapan.

Selain dikenali sebagai bandar penuh sejarah dan terpisah dua selama 45 tahun selepas era Nazi, ia merupakan sebuah metropolis yang didiami oleh setengah juta orang penduduk. Mereka sudah tentu tidak mahu tinggal di dalam muzium.

"Tak tahulah sekiranya orang yang melawat bandar ini menganggap tembok pemisah itu masih ada. Ramai yang bertanya. 'Di mana tembok itu, di mana tembok itu?'.

"Pelancong sukakannya. Anda sendiri melihat berapa ramai yang mengambil gambar di Pos Kawalan Charlie. Jika pelancong sukakannya, ia adalah perkara yang baik dan kami tidak menentangnya," kata seorang pekerja jabatan pemasaran di Berlin, Sophia Quint.

Paramedik dari Australia, Ron Scanlon, 42, yang menghabiskan cuti dengan menjelajah Jerman ketika ditemui di Pos Kawalan Charlie berkata, tiada apa yang perlu dibuat kerana semuanya menjadi sejarah yang tidak membanggakan.

Simone Bernaert bersetuju dengan hal tersebut dan menyatakan kehidupan perlu diteruskan.

Dengan kewujudan restoran makanan segera McDonald's, sebilangan pihak melihatnya sebagai kemenangan mutlak ke atas komunisme atau sekurang-kurangnya tempat bagi pelawat Pos Kawalan Charlie mengalas perut dengan burger dan kentang goreng.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: