SEBAGAI memenuhi tanggungjawab sosial, syarikat terkenal Ayam Brand mengadakan kempen Masyarakat Penyayang untuk tahun ketiga dalam memberikan sumbangan berbentuk produk makanan dalam tin yang sihat dan mudah disediakan.
Pada tahun ini, Ayam Brand membekalkan produk berkhasiat tersebut selama dua bulan kepada 35 buah rumah kebajikan di sembilan negeri di seluruh negara yang merangkumi kira-kira lebih 1,800 penghuni terdiri daripada anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal serta warga tua.
Menurut Pegawai Pemasaran Ayam Brand, Khoo Wooi Ling, untuk pelancaran di utara iaitu Kedah dan Perlis, pihaknya memilih tiga buah rumah kebajikan termasuk Pertubuhan Anak-anak Yatim Perlis, Pusat Sinar Harapan Alor Setar dan Sunshine Cottage Welfare Society, Kulim untuk menerima produk-produk di bawah jenamanya.
"Sejak dilancarkan pada tahun 2008, hampir 5,000 orang dari 75 rumah amal dan pertubuhan kebajikan telah mendapat manfaat daripadanya.
"Pada tahun ini, Ayam Brand menambah lima lagi buah rumah kebajikan untuk menerima sumbangan," katanya.
Wooi Ling menjelaskan, kempen yang dirangka sejak tiga tahun lepas itu tidak tertumpu kepada rumah-rumah amal di kawasan Lembah Klang sahaja, malah di seluruh negara.
"Kita faham, kebanyakan rumah kebajikan khususnya di luar Lembah Klang amat mengharapkan bantuan seumpama ini.
"Lebih- lebih lagi bantuan dan makanan yang sihat serta berkhasiat, malah mudah disediakan oleh penghuni-penghuni rumah kebajikan ini.
"Kempen ini adalah yang pertama dirasmikan untuk tahun ini dan pembukaannya dibuat di Kedah dan Perlis sebelum ke tempat-tempat lain," katanya.
Tambah beliau, produk Ayam Brand yang ada di pasaran kini adalah selamat dimakan kerana tiada menggunakan bahan pengawet dan penggunaan monosodium glutamate (MSG).
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-kanak Kedah, Mohd. Sharif Che Din berkata, bantuan berupa makanan amat dialu-alukan lebih-lebih lagi bagi badan bukan kerajaan (NGO) kerana kos operasi bagi mentadbir dan mengurus rumah kebajikan semakin tinggi.
"Sebagai NGO, kami terpaksa membiayai sewa, yuran sekolah dan tuisyen, kos pengangkutan ke sekolah, wang saku, bayaran bil elektrik dan air, rawatan perubatan dan lain-lain lagi.
"Namun begitu, dengan adanya program Ayam Brand ini, bajet untuk makanan dalam tin seperti tuna dan kacang panggang boleh disalurkan untuk perbelanjaan lain. Bahkan, makanan yang disumbangkan dapat memberikan zat secukupnya kepada kanak-kanak tersebut untuk membesar," katanya.
Majlis itu, turut diserikan lagi dengan demonstrasi memasak menggunakan bahan-bahan dalam tin produk Ayam Brand oleh penghuni-penghuni dari Pusat Sinar Harapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: