BUKAN manusia yang hidup di muka bumi ini sahaja berhak menikmati keselesaan di dunia, tetapi mereka yang telah meninggal dunia juga turut berpeluang merasai kemewahan di 'dunia' sendiri.
Atas kepercayaan itulah, masyarakat keturunan Tionghua menyambut Festival Qing Ming selama 10 hari bermula dari tarikh 5 April bagi memperingati nenek moyang atau mereka yang telah kembali ke alam kubur.
Bagi menyempurnakan festival itu, waris akan menghadiahkan pelbagai barangan kepada nenek moyang atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia bagi kegunaan mereka di 'dunia' baru.
Barangan kelengkapan tersebut meliputi set ubat gigi, pakaian bayi, dapur memasak, kasut, baju, beg tangan, rokok, telefon bimbit, motosikal, rumah dan kereta.
Malah namakan apa sahaja termasuk gajet perkomputeran atau perkakasan elektrik terkini serta aksesori moden juga ada dijual untuk dijadikan hadiah kepada si mati.
|
|
Di Pulau Pinang, deretan kedai-kedai di Lebuh Campbell, Lebuh Carnarvon dan Jalan Burma yang menjual pelbagai barangan bagi keperluan upacara keagamaan masyarakat Tionghua itu antara yang menjadi tumpuan semasa sambutan festival tersebut.
Dilihat dari jauh, hadiah-hadiah yang dibungkus cantik ini kelihatan cukup menarik dan sekali pandang seperti barangan permainan.
Menurut seorang peniaga barangan tersebut, Loo Soon Chee, 32, festival itu berhubung dengan aktiviti membersihkan kubur dan menghormati orang yang sudah meninggal.
"Ia termasuk memberikan makanan dan barang kepada orang yang sudah meninggal. Barang-barang tersebut biasanya merupakan barangan tiruan yang dibuat daripada kertas. Semuanya dikirimkan dengan cara membakar.
"Kebiasaannya ahli keluarga akan mengirimkan wang tiruan yang mencecah jutaan ringgit dan dibakar bersama set persalinan tiruan," katanya yang mewarisi perniagaan itu daripada bapanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Soon Chee memberitahu, wang tersebut dapat mengalihkan roh-roh jahat yang ingin mengambil barang-barang tersebut.
Berbanding 10 tahun lalu, katanya, barangan wajib yang dibakar oleh waris si mati adalah duit dan baju sahaja. Tetapi ia semakin berubah apabila barangan keperluan lain turut dimasukkan misalnya rumah lengkap dengan orang gaji dan kenderaan serta barangan keperluan lain.
Hantar barang mewah
Katanya, trend menghadiahkan barangan 'mewah' ini dimulakan oleh keluarga-keluarga kaya kononnya bagi memastikan nenek moyang mereka sentiasa senang di dunia baru.
Ditanya mengenai barang-barang tersebut, peniaga G.H Teh pula memberitahu kesemua barangan itu diimport dari China yang dijual pada harga serendah 80 sen hingga RM250. Misalnya, set pakaian bayi lengkap dengan kasut berharga RM6.
Sebuah kereta mewah jenis BMW pula hanya RM18, manakala pakaian dan kasut-kasut berjenama lain seperti Bonia atau Dior pula di antara RM2.50 hingga RM8 sahaja.
Hasil rekaan dan kerja tangan hadiah kertas ini cukup halus serta menarik. Malah, ada juga set rumah yang harganya cuma RM15 lebih cantik daripada set mainan berjenama yang dijual di pasar raya.
|
|
Bagi eksekutif teknikal sebuah syarikat swasta, Andrew Tan, beliau tidak terlepas meraikan Festival Qing Ming setiap tahun kerana baginya, ia perlu untuk menghormati kaum keluarga terdahulu.
"Tahun ini saya berhasrat menghadiahkan set meja mahjong serta rokok kepada mendiang datuk, manakala untuk nenek pula saya telah belikan set dapur masak.
"Qing Ming bukan sekadar sambutan, tetapi acara untuk ahli keluarga berkumpul mengeratkan hubungan serta mengenali asal-usul," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: