Wednesday, April 21, 2010

Tarian banduan dieksploitasi


TARIAN dan muzik Michael Jackson berjaya menyatukan hampir 1,500 banduan di penjara Cebu untuk melakukan pelbagai formasi tarian menarik.


APABILA seorang remaja, Egan Torrecampo dan rakan banduan lain melangkah keluar dari sel-sel yang penuh sesak di sebuah penjara yang mempunyai kawalan paling ketat di Filipina itu, suasana di dalam tirai besi tersebut tiba-tiba bertukar riuh-rendah dan meriah.

Mengenakan sut rona oren, kira-kira 1,500 banduan termasuk pembunuh, perogol dan pesalah-pesalah lain yang telah dijatuhkan dengan pelbagai hukuman membuat siri persembahan mengikut tarian Raja Pop dunia, Michael Jackson. Persembahan itu bukan sahaja merangsang semangat mereka untuk penari tetapi sebagai dedikasi kepada legenda pop tersebut.

Namun, apa yang menarik, keputusan untuk menari secara beramai-ramai selepas kematian Michael Jun tahun lalu itu membuatkan mereka menjadi semakin popular di Internet.

"Apabila menari dalam persembahan ini sebenarnya, ia membuatkan kami lupa seketika tujuan berada di penjara," kata Torrecampo yang berusia 19 tahun salah seorang penari dalam kumpulan itu kepada AFP setelah selesai membuat persembahan.

Torrecampo, seorang homoseksual dan juga bekas pekerja pusat panggilan telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun pada tahun 2008 selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh teman lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang berusia 69 tahun.

Dia yang terpaksa dipindahkan ke penjara Cebu iaitu bandar kedua terbesar di Filipina memberi peluang kepadanya untuk mendapat slot dalam kumpulan yang telah meraih populariti di seluruh dunia pada tahun lepas.

Populariti dan fenomena Internet kumpulan berkenaan bermula setelah persembahan banduan-banduan tersebut yang menari untuk video muzik Thriller dimuat turun ke dalam laman web YouTube.


KEUNIKAN kumpulan banduan penjara Cebu yang melakukan persembahan tarian seperti Michael Jackson membuatkan mereka menjadi sebutan dunia.


Ia kemudian menjadi salah sebuah video klip paling ditonton ramai dalam Internet dengan dengan catatan pengunjung mencecah 40 juta orang.

Sejak itu, pelbagai tarian berbeza daripada banduan-banduan berkenaan diselitkan dalam laman web tersebut. Kebanyakan daripada klip video itu menjadi sebutan dan ikutan ramai.

Ini termasuk klip rakaman, Y.M.C.A, U Can't Touch This dan Radio Ga Ga. Malah, persembahan-persembahan berkenaan telah memberi pengiktirafan lebih besar buat banduan Cebu itu, apabila pereka tari Michael, Travis Payne berkunjung ke penjara tersebut pada Januari lalu.

Beliau melatih mereka menari untuk lagu Raja Pop tersebut iaitu They Don't Care About Us sebagai tanda penghargaan dan mempromosi cakera padat digital (DVD) yang dikeluarkan selepas kematian penyanyi yang terkenal dengan signatur tarian Moon Walk itu.

"Kami semua orang biasa sahaja. Pada mulanya kami tidak dapat mempercayai bahawa seorang pereka tari luar biasa yang mengajar tarian kepada bintang-bintang Hollywood akan melawat penjara ini," kata Torrecampo mengenai Payne.

Klip video, Don't Care About Us telah berjaya ditonton 4.4 juta orang dalam laman YouTube sekitar tiga bulan sahaja selepas dimuat turun.

Dalam pada itu, idea unik untuk membentuk kumpulan penari di dalam penjara tersebut dikatakan telah diutarakan oleh seorang bekas konsultan keselamatan penjara berkenaan, Byron Garcia. Ideanya yang menggunakan tarian sebagai cara untuk memulihkan para banduan dan mengisi masa lapang di sebalik urusan harian di penjara itu cuba direalisasikan pada tahun 2006.

"Proses pemulihan perlu lebih menuju kepada menonjolkan sesuatu yang terbaik dalam diri seseorang bukan yang buruk," kata Garcia dalam laman persendiriannya.

Idea unik tersebut dan populariti yang dikecapi kumpulan banduan berkenaan menyebabkan penjara Cebu kemudian bertukar menjadi sebuah destinasi pelancongan.

Semakin ramai pelancong yang sanggup singgah ke penjara Cebu untuk menonton persembahan tarian banduan berkenaan biarpun dipisahkan dengan tirai besi.

Bagaimanapun timbul kontroversi bahawa walaupun pada awalnya, idea tersebut adalah untuk menyuntik semangat para banduan, namun penghuni penjara berkenaan dikatakan dipaksa menari di hadapan pelancong untuk meraih keuntungan bagi pihak tertentu.


PAYNE (depan) melakukan lawatan ke penjara berkenaan Januari lalu.


Kerana itu persembahan kepada pelancong dihentikan seketika selepas tersebar khabar angin bahawa Gabenor Wilayah Cebu, Gwendolyn Garcia yang juga merupakan adik kepada Byron Garcia adalah dalang di sebalik usaha meraih keuntungan daripada industri pelancongan di penjara.

Bagaimanapun, dalam satu lawatan AFP ke penjara itu baru-baru ini, kumpulan penari tersebut tidak ketinggalan melakukan persembahan hebat, sambil menegaskan bahawa persembahan tarian yang dilakukan selama ini adalah secara sukarela.

"Kami berasa bangga dengan persembahan tarian ini. Majoriti daripada banduan memang menari kecuali mereka yang tidak sihat dan tua," jelas Torrecampo.

Bagi Torrecampo, aktiviti menari telah memberi satu keyakinan kepadanya malah, selepas dibebaskan dia mahu mempunyai kerjaya yang lebih bermakna.

"Saya ingin menjadi seorang penggubah tarian atau pun bintang filem," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: