REYKJAVIK - Awan abu yang dikeluarkan dari kawah gunung berapi di Iceland semalam tidak lagi menjulang tinggi tetapi berada pada kedudukan lebih rendah, sekali gus memberi berita gembira buat penumpang yang terkandas.
Menurut seorang pegawai meteorologi Iceland, Gudrun Nina Peterson, awan abu berada pada ketinggian 3,048 meter pada malam semalam.
Sebelum ini katanya, awan itu berada pada ketinggian di antara enam hingga 11 kilometer.
Ia dianggap baik buat penumpang penerbangan yang terkandas selepas beberapa penerbangan ditangguhkan disebabkan awan tersebut.
Namun, situasi masih lagi belum pulih kerana angin akan menentukan sama ada ruang udara selamat untuk pesawat terbang.
Sementara itu, di Pelabuhan Santander Sepanyol, kapal perang HMS Albion sepanjang 173 meter menyelamatkan hampir 800 askar Britain dan orang awam semalam.
Kapal berkenaan akan menempuh perjalanan selama 40 jam menuju ke Portsmouth, England.
Dua buah kapal perang itu termasuk HMS Ark Royal digunakan untuk mengangkut rakyat Britain yang terkandas.
Agensi trafik udara Eurocontrol menjangkakan 55 hingga 60 peratus daripada 95,000 penerbangan di seluruh Eropah berlepas.
Menjelang tengah hari semalam, 10,000 daripada 27,500 penerbangan harian telah dijadualkan untuk berlepas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: