Monday, April 19, 2010

Tahan calar dan bergaya




BERMATLAMAT menawarkan aktiviti komunikasi secara lebih komprehensif, syarikat pengeluar produk telefon bimbit terkenal, Sony Ericsson telah menampilkan model terbaru XPERIA X10. Berbeza dengan model XPERIA X1 dan X2 yang menggunakan sistem operasi Windows, kehadiran model itu disempurnakan bersama platform Google Android Donut versi 1.6.

Ia mengetengahkan fungsi terbaru Pengalaman Pengguna (UX) menerusi kombinasi ciri hiburan sofistikated dan kepintaran teknologi komunikasi.

Menurut Pengurus Besar Sony Ericsson Malaysia, Alex Wong, strategi pengenalan platform UX itu menawarkan perkhidmatan media sosial dan antara muka grafik terbaik.

"Menerusinya, pengguna akan dapat menikmati pengalaman yang lebih berkuasa dan pintar,'' jelasnya ketika berucap pada taklimat media di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

XPERIA X10 yang dipacu menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragob 1GHz itu dibangunkan dengan rekaan yang cukup elegan dan bergaya.

Untuk fungsi paparan yang lebih luas dan jelas, ia dilengkapi layar sesentuh TFT bersaiz empat inci dengan permukaan tahan calar.

Dari segi fungsi multimedianya pula, gajet unik itu mempunyai kamera 8.1 megapiksel dengan sokongan keupayaan pemfokusan digital 16 kali, pemfokusan auto, rakaman video dan penstabil imej.

Di samping itu, menerusi teknologi Sony Ericsson Timescape dan Sony Ericsson Mediascape, pengoperasian telefon bimbit itu akan menjadi lebih mudah.

Timescape mempunyai kelebihan mengurus dan menyelaras maklumat komunikasi pada lokasi yang sama untuk kemudahan capaian aplikasi seperti Facebook, Twitter, emel dan sebagainya.

Bagi Mediascape pula, ia merupakan medium pintar yang mampu menyatukan kesemua kandungan media seperti video, muzik dan foto.

Model itu mempunyai memori binaan dalam satu gigabit (GB) dengan sokongan kad memori microSD sehingga 16GB.

Sony Ericsson XPERIA X10 kini ditawarkan di pasaran dengan pilihan warna hitam dan putih pada harga RM2,799.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: