Sunday, April 11, 2010

JB mintak lagi...


FASILITATOR bersama dengan peserta dan wakil pihak hotel, Jacqueline Wong (tiga dari kiri di bahagian depan)


MAAFKAN kami! Nampaknya persinggahan Bengkel Cantik Sihat Pancaindera di Johor Bharu, Johor pada hujung Mac lalu telah membuatkan banyak hati wanita yang dirundung kecewa. Ini kerana, tempat yang terhad hanya kepada 150 peserta di The Zone Regency Hotel, JB menyebabkan banyak penyertaan terpaksa ditolak ketepi, disaat-saat akhir.

Ratusan wanita yang mahu bertemu mata dengan pengasas produk kecantikan Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib, artis Ifa Raziah, serta juru solek artis popular, Zambri Sulaiman nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Justeru, menghargai peminat di Johor Bharu, Pancaindera tidak mahu membiarkan mereka terus dirundung kecewa, sebaliknya sekali lagi akan turun ke daerah berkenaan pada 25 April depan.

"Kepada penyertaan yang kami tolak pada Mac lalu, jangan risau kerana masih ada peluang untuk bersama fasilitator hebat kita.

"Bengkel Cantik Sihat Pancaindera akan sekali lagi diadakan di Johor Bharu pada 25 April sebagai menghargai permintaan pembaca kami di JB yang tidak dapat menyertai sebelum ini, lokasi akan dimaklumkan kemudian," kata Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Bengkel Cantik Sihat Pancaindera, adalah kempen kecil-kecilan Mingguan Malaysia untuk mendekatkan diri dengan khalayak pembaca kami dengan The Zone Regency Hotel selaku penganjur bersama.

Atas keinginan untuk menghargai rakan strategik yang menjadi penyumbang kepada iklan di Mingguan Malaysia, bengkel ini dianjurkan bersama dengan Jamu Mak Dara, Zambri Beauty Inspiration serta beberapa artis popular yang akan berkeliling ke seluruh negara menjalankan aktiviti ke arah menghargai kehidupan sihat.

Sementara itu, dalam bengkel pertama di JB ini, acara dimulakan dengan kata-kata aluan Tengku Khalidah yang menyampaikan rasa terima kasih diatas segala perhatian yang diberikan oleh wanita-wanita di Johor Bharu kepada akhbar Mingguan paling popular itu.

Menurut beliau, kerana komitmen yang diberikan oleh golongan wanita, maka akhbar berkenaan boleh bertahan sehingga ke hari ini sebagai akhbar paling berpengaruh dengan edaran hampir 500,000 unit dan dibaca hampir 3 juta pembaca setiap Ahad.

"Mingguan Malaysia menyediakan pelbagai wadah menarik untuk dihayati oleh pembaca kami. Bukan sahaja menyediakan berita-berita semasa yang releven dengan kehendak masyarakat, kami juga menjadi penyebar fikiran rakyat kerana sering mengangkat isu-isu kemasyarakatan sebagai medium penghubung dengan pembaca," katanya.

Sementara itu, sesi pertama bengkel kali ini dimulakan dengan acara senaman 'mesra' oleh Ibu Halimah yang turut mengajak peserta bersama dengan beliau melakukan pelbagai langkah senaman ringkas.

Ibu Halimah turut mendedahkan kepada peserta akan senaman yang boleh dipraktikkan dalam menjaga kecantikan dalaman wanita, memesrakan hubungan antara suami-isteri serta lain-lain lagi.

"Elakkan sama sekali makan benda-benda yang sejuk seperti air batu, kangkung atau benda-benda bersifat sejuk yang lain kerana ia tidak elok untuk wanita.

"Jaga badan, jaga cara makan dan jaga kesihatan supaya bila tua, badan tidak mudah sakit-sakit dan lenguh-lenguh," pesan ibu Halimah.

Acara kemudian beralih kepada Zambri Sulaiman yang kekal dengan gaya tersendirinya, mengaplikasi alat solekan berharga murah tetapi dengan kesan solekan mantap.

Zambri yang juga jurusolek untuk rancangan Akademi Fantasia musim kedua hingga ke-enam tampil dengan tiga tips solekan yang boleh dipraktikkan dengan mudah.

"Jadi wanita, jangan malas. Kalau hendak cantik, kena ambil masa sedikit untuk berhias. Kalau biasanya bersiap dalam masa 15 minit, tambahkan masa lagi 10 minit untuk bersolek seadanya.

"Setiap wanita yang tahu berhias akan mendapat keyakinan diri paling hebat, jika dibandingkan dengan wanita yang langsung tidak bersolek.Solekkan membantu wanita mendapat keyakinan diri dalam apa juga keadaan," kata pengasas Zambri Beauty Inspiration (ZBI) ini lagi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, turut ditampilkan tips pemakaian tudung jenama Purnama oleh pihak Glam & Vass Collection.

Tudung eksklusif ini hanya boleh didapati daripada pihak berkenaan selain turut dipamerkan kepada peserta bengkel ini.

Menariknya, tudung Purnama turut membawa pengayaan baru dalam pemakaian tudung apabila tidak perlu digayakan bersama anak tudung seperti kebiasaannya.

"Tudung Purnama boleh digayakan begitu sahaja, tanpa memakai anak tudung. Walaupun tanpa anak tudung, rambut tidak kelihatan dan ini akan memudahkan dan mempercepatkan lagi kaum wanita untuk bersiap.

"Teknik yang kami gunakan ini amat sesuai dengan wanita bekerjaya yang kesuntukan masa untuk mengurus anak-anak dan rumah tangga, tetapi dalam masa yang sama mahu kekal bergaya mempesona," kata pemilik dan pengasas jenama Purnama, Haslinda Idris.

Kemunculan penyanyi panas yang mesra dengan gelaran 'Ratu Suntik' Ifa Raziah memberi peluang kepada khalayak untuk bertanyakan sendiri pelbagai tips kesihatan yang diamalkan oleh beliau.

Duta produk Coway ini percaya dengan amalan meminum air yang dijamin bersih, kesihatan akan lebih terjamin, selain jarang didekati penyakit.

Sementelah bersua muka secara peribadi dengan Ifa, banyak juga peserta yang mendapatkan tips kecantikan menggunakan rawatan moden yang sering digunakan oleh penyanyi Panas ini.

Selain amalan menjaga kesihatan dengan minum dan makanan yang sihat, langkah yang selalu dibuat oleh Ifa ialah mengambil suntikan kecantikan.

"Suntikan vitamin E dan C serta suntikan kolagen menjadi amalan kebiasaan Ifa. Setelah kita semakin 'tua' kulit wajah dan badan akan kehilangan banyak hormon dan di sinilah supplement diperlukan. Ifa percaya teknologi moden seperti ini mampu digunapakai oleh semua wanita, bukan hanya di kalangan artis, " kata pelanggan tetap di klinik milik kolumnis ruangan Kesihatan Mingguan Malaysia, Dr. Rushmini Maris Ismail ini.

Sementara itu, Chef Saharuddin Abdullah, dari The Zone Regency Hotel turut mengambil peluang untuk berkongsi tips menu sihat kepada peserta dalam satu hidangan istimewa hasil kreativitinya. Padanan ikan salmon bersama salad yang disandingkan dengan pelbagai jenis sos, bukan sahaja menyelerakan, tetapi juga mampu menyihatkan.

Di penghujung acara sewaktu jarum waktu sudah menunjukkan ke pukul enam petang, peserta bergambar bersama dengan fasilitator, serta pengurusan The Zone Regency Hotel yang turut menghadiahkan keahlian percuma The Zone Community kepada semua peserta.

Mereka yang berminat mengikuti bengkel Cantik Sihat pada 25 April di Johor dan di Kedah dan Pulau Pinang Mei depan boleh menghubungi talian 012-2707191.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: