Sunday, April 11, 2010

Seiring mendaki puncak populariti




TIDAK mudah menyatukan mereka. Ada sahaja kesulitan yang timbul terutama melibatkan masa penggambaran. Seorang ada penggambaran drama bersiri dan seorang lagi ada hal lain. Tapi itu langsung tidak mematahkan semangat Pancaindera untuk menggandingkan kedua-dua pelakon yang sedang meniti tangga populariti.

Adat sebagai orang sedang naik daun, sentiasa menjadi buruan bukan sahaja pihak media tetapi pihak pengarah filem dan drama yang mahu kedua-dua figura ini untuk sama-sama terlibat dalam produksi mereka.

Melihatkan kerjaya Fizo Omar dan Lisa Surihani yang cepat naik, ramai yang meramalkan mereka bakal mencipta fenomena sekurang-kurang untuk dua tahun akan datang.

Dan bagi Lisa pula, dia sememangnya boleh berbangga dengan usaha keras yang dilakukan selama ini. Walaupun perjalanan seninya masih belum boleh dikira panjang, dia telah membuktikan yang jenama Lisa Surihani itu mampu melariskan sesebuah filem.

Berbakat besar dan memiliki rupa paras yang cantik menjadikan Lisa Surihani antara pelapis heroin baru yang sedang meningkat naik dan tak putus-putus menerima tawaran demi tawaran.

Fizo Omar juga tak kurang hebat apabila satu demi satu drama bersiri yang singgah menemui penonton setianya menjadikan dirinya tidak pernah dilupakan peminat.

Malah jejaka yang menginjak usia 25 tahun itu juga mampu berbangga apabila lakonannya semakin menunjukkan peningkatan walaupun sebelum ini ramai yang meragui kemampuan Fizo yang sedikit kaku.

Memilih jalan sebagai anak seni, sudah pasti memberikan cabaran yang besar kepada mereka berdua. Laluan yang dilalui bukan sahaja mencabar tetapi kadangkala mereka juga tercabar dengan hambatan artis-artis baru yang tak kurang hebatnya.

Fizo diburu mak datin

Cerita tentang lelaki ini diburu golongan mak datin bukan lagi satu cerita yang baru. Malah sering kali dipaparkan di media yang Fizo cukup digilai golongan ini hingga ada yang sanggup menaja pelbagai kemewahan dan wang ringgit.

Tidak terliur dengan semua itu, akui Fizo dia tidak pernah melayan permintaan yang bukan-bukan memandangkan dia tahu apa yang dimahukan dan sebagai seorang yang berpendirian sudah pasti dia tidak sanggup melakukannya.

"Saya bukan mencari kemewahan dengan cara itu. Saya masih lagi ada kudrat untuk terus bekerja dan mencari rezeki yang halal. Tapi saya juga tidak pernah membenci golongan ini.

"Saya tidak kata saya langsung tidak boleh berkawan atau kena menjauhkan diri. Bagi saya mereka juga perlu dihormati sebagai manusia biasa tetapi dalam masa yang sama mereka juga perlu menghormati saya.

"Jika orang lain nak cakap apa sekalipun, apa yang boleh saya katakan? Apa yang penting saya tahu menjaga diri saya dan keluarga juga tahu apa yang saya lakukan. Itu sudah cukup," jelas pemain watak utama drama bersiri Bila Musang Berjanggut itu lagi.

Dua tahun dalam industri bukan satu tempoh masa yang panjang. Tapi dalam tempoh masa itu juga sudah banyak pengalaman yang ditempuh olehnya yang selama ini tak diketahui orang.

Baginya peminat melihatnya sebagai figura yang hebat, popular dan dikenali. Semuanya bagaikan indah belaka sehingga ada yang menganggap Fizo Omar tiada cacat celanya.

Namun masih ramai yang tidak mengetahui pelbagai rintangan dan halangan yang terpaksa dihadapi oleh dirinya sepanjang tempoh itu terutama mahu memahatkan nama ke tahap ini.

"Perjalanan saya tidak semudah yang disangkakan. Banyak sekali dugaan dan cabaran yang terpaksa saya harungi sehingga hari ini.

"Bagi saya cabaran yang paling besar sudah pasti untuk bersaing dengan waktu. Tiada masa rehat dan saya akui sepanjang dua tahun ini kebanyakan masa dihabiskan dengan bekerja.

"Saya terpaksa mengorbankan usia remaja saya semata-mata mahu mengejar cita-cita. Bukan itu sahaja, malah sepanjang tempoh ini juga masa untuk keluarga dan diri sendiri juga kadang kala terhad.

"Ini pengorbanan yang saya lakukan. Saya tidak menyesal dengan semua ini kerana ini yang saya mahukan. Mahu menempa nama sebagai pelakon yang disegani," luahnya tanpa berselindung.

Dihimpit gosip

Sepanjang meniti tangga kejayaan, sudah pasti Fizo juga tak pernah terlepas daripada pelbagai gosip dan cerita yang kurang enak untuk didengar.

Tapi sehingga hari ini dirinya seakan-akan sudah lali dengan apa yang diperkatakan orang dan kadang kala memberikan jenaka kepadanya tak kala membaca cerita yang dipaparkan.

Malah baru-baru ini juga dirinya seakan-akan terkena renjatan elektrik apabila keluar cerita yang kononnya dia bercinta dengan penyanyi Shila, anak kepada penyanyi ND Lala.

"Semua itu tidak benar. Saya tidak bercinta dengan Shila tapi dalam masa yang sama saya tidak menafikan yang saya memang baik dengannya.

"Hubungan kami ibarat abang dengan adik. Cuma apa yang kami kesalkan apabila cerita yang keluar itu ditokok tambah oleh sesetengah pihak. Mengapa perlu berbuat demikian?

"Saya masih ok dengan semuanya tapi bagaimana pula dengan Shila? Biarlah apa yang orang nak cakap, saya tak kisah," jelasnya yang boleh diketahui aktiviti melalui www.facebookcom/fofanpage.

Lisa tak menang tangan

Sejak 8 April yang lalu, filem terbaru lakonan Lisa yang berjudul Semerah Cinta Stilleto sudahpun menemui peminat. Menjadi adat, apabila sesebuah filem mula ditayangkan memberikan rasa gementar kepada diri Lisa mengenai penerimaan khalayak.

Bukan apa yang dirisaukan oleh anak bongsu ini, dia cukup bimbang andai kata peminat tidak kurang senang dan tak berpuas hati dengan mutu lakonan yang diberikannya.

"Sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Tapi sebagai pelakon saya mencuba sebaik mungkin kerana ini amanah yang diberikan orang terhadap saya.

"Saya dan melakukan yang terbaik dalam kerjaya seni saya. Sudah pasti sebagai pelakon saya tak boleh berpuas hati dengan apa yang telah saya kecapi pada hari ini. Saya ada misi dan kalau boleh saya mahu mutu lakonan saya akan terus bertambah baik dari semasa ke semasa," katanya.

Sebelum ini sudah banyak filem-filem lakonan Lisa yang menemui penonton seperti Jangan Pandang Belakan Congkak dan V3 Samseng Jalanan. Dan untuk tahun 2010 ini makin banyak filem lakonan Lisa yang akan menemui peminat.

Antara filem lakonannya yang masih belum ditayangkan termasuklah Zoo, Legenda Budak Setan, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Kapoww!! dan Cyber X: Ancaman Penggodam. Manakala untuk drama bersiri pula, dia muncul memeriahkan petang anda dengan siri Adamaya yang disiarkan di TV3.

Dilabel dengan pelbagai gelaran termasuklah menjadi anak emas MIG yang cukup sinonim dengan nama David Teo itu sebenarnya menjadikan Lisa cukup bertuah.

Banyak tawaran-tawaran yang datang dari syarikat MIG dan setidak-tidaknya ia menaikkan lagi nama pelakon yang baru sahaja menginjak usia 24 tahun ini.

Ada suara-suara nakal yang memberitahu, hanya MIG sahaja yang mahu mengambilnya berlakon tetapi tidak syarikat lain. Sambil menafikan hal tersebut Lisa juga melahirkan rasa bertuah kerana masih ramai yang menginginkan.

"Kalau orang kata begitu, itu tidak benar. Kalau lihat pada senarai filem lakonan saya tak semua milik MIG. Masih ada lagi syarikat lain yang sudi mengambil saya berlakon dan nampak bakat yang ada pada diri saya.

"Ini semua rezeki saya. Masih ada permintaan orang yang nak lihat saya dalam filem mereka. Saya percaya ini adalah kerana usaha keras dan keikhlasan saya dalam pekerjaan.

"Ada yang menceburi bidang ini kerana nak mencari rezeki. Tak kurang juga yang nak mengecapi populariti. Saya tak kisah dengan semua itu sebenarnya.

"Macam saya cakapkan tadi. Saya ikhlas dalam setiap pekerjaan. Saya tahu apa yang saya mahukan dan itu sudah cukup untuk saya," ujarnya lagi.

Pasti ada peminat yang perasan apabila melihatkan kemesraan antara Lisa dan Farid Kamil yang sering digandingkan bersama dalam beberapa buah filem sebelum ini.

Ada yang mengatakan mereka pasangan romantik dan tak kurang juga melabelkan Lisa dan Farid sebagai pasangan yang paling secocok dalam lakonan seperti mana yang pernah dikecapi oleh Awie dan Erra Fazira dalam beberapa rangkaian filem terdahulu.

Berilah watak apa sahaja kepada mereka. Apabila bergandingan pasti ia memberikan impak kepada peminat. Tapi benarkan mereka memang serasi?

Enggan menjawab soalan tersebut, Lisa menyerahkan segala-galanya kepada peminat. Bagi dirinya dia tak dapat memberikan apa-apa respons dengan apa yang diperkatakan orang.

"Soal serasi atau tidak bukan masalah bagi saya. Sebagai pelakon dengan siapa saya bergandingan bukan menjadi masalah kerana saya hanya menjalankan amanah yang diberikan pihak penerbit sahaja.

"Peminat yang datang menonton pasti dapat merasakan keserasian kami. Kalau mereka kata saya serasi, serasilah. Kalau jawapannya tidak apa yang boleh saya lakukan?" luah Lisa lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: