|
|
SIAPA Mahawangsa? Apa lagu mereka? Apa produk yang mereka ada sehingga mahu diberikan perhatian oleh orang dalam industri mahupun peminat arena muzik tempatan?
Tapi jangan tak tahu, mereka bukan calang-calang pemuzik. Semuanya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini memandangkan semuanya sudah mengharungi perjalanan sebagai anak seni sebelum ini.
Apa yang uniknya mengenai kumpulan ini sudah pasti melihatkan kolaborasi terutama gabungan tiga buah kumpulan kutai yang bersatu dengan misi baru untuk menerobos arena muzik tempatan.
Kesemua mereka merupakan bekas anak didik Saari Amri yang bergabung dan membentuk sebuah kumpulan baru.
Mahawangsa dibarisi oleh A-Lan (bekas gitaris kumpulan Sweet Child), Ajoi (bekas pemain bass Scan), Saiful (bekas drummer Umbrella) dan dilengkapi oleh Azuar selaku vokalis.
Walaupun masih baru lagi dari segi usia penubuhannya, namun kumpulan ini dibarisi oleh anggota-anggota yang cukup berpengalaman dalam industri muzik di Malaysia ini.
Mempertaruhkan konsep New Progressive Rock sebagai genre mereka dan menerapkan sentuhan berbeza dari segi komposisi lagu. Mahawangsa tampil memberi kelainan dengan mendasarkan konsep kumpulan U2, Pearl Jam, Creed dan Collective Soul sebagai rujukan mereka.
Di sebalik ketiadaan publisiti sebelum ini, masing-masing lagi bergiat aktif bermain muzik terutama melibatkan projek-projek khas.
Bagi A-Lan untuk kembali kepada industri seperti yang pernah mereka kecapi selama ini bukan satu perkara yang mudah. Walaupun sudah berpengalaman sebelum ini, ia masih lagi memberikan kegentaran kepada mereka.
"Kemunculan semula Mahawangsa bukan bertujuan untuk mencari publisiti atau apa-apa tujuan keuntungan kepada kami. Kami cuma mahu memeriahkan kembali industri seni tempatan.
"Kalau kita lihat pada waktu ini, industri muzik sebenarnya nazak walaupun ramai yang menafikan perkara itu. Cuba lihat sahaja artis-artis luar hari ini, mereka begitu mendominasi ruang muzik kita sebenarnya.
"Sudahlah ruang yang ada kecil. Orang luar pula yang sapu semua. Jadi apa yang tinggal untuk pemuzik tempatan? Ada tak 'penjajah' itu berikan kita ruang seperti mana yang kita beri?
"Inilah senario yang berlaku pada hari ini. Atas dasar itu kami tak mahu lagi diperlekehkan seperti itu. Biarlah kami menyambung apa yang dah kami mulakan sejak hampir 20 tahun yang lalu.
"Zaman rock leleh bagi kami sudah berakhir. Umur pun semakin meningkat dan rasanya sudah tidak sesuai lagi untuk kami berjuang atas tema cinta lagi.
"Semuanya sudah berubah. Peminat-peminat yang mengikuti kami dari zaman kebangkitan Umbrella, Scan dan Sweet Child tidak akan dapat menikmati muzik yang dahulu," kata A-Lan.
Ini kerana Mahawangsa turut menerima tempias stesen radio swasta yang enggan memutarkan single terbaru mereka yang berjudul Epik 1 sehingga hari ini.
Biarpun sedikit kecewa dengan apa yang telah berlaku, itu langsung tidak mematahkan semangat empat sahabat ini untuk terus mengorak langkah dalam industri seni muzik tanah air.
"Memang stesen radio berat sebelah. Mereka menyempitkan peluang untuk artis tempatan mengembangkan bakat dan dalam masa yang sama membuka ruang yang luas kepada artis-artis luar terutamanya artis Indonesia.
"Ini bukan satu perkembangan yang sihat. Kita bukan prejudis terhadap lagu-lagu seberang tapi kenapa situasi ini baru berlaku sedangkan pemuzik kita sudah jauh ke depan. Salah siapa? Seharusnya hubungan antara artis dan stesen radio itu mesra dan saling membantu. Barulah industri kita lebih maju dan berdaya saing," luah A-Lan mewakili rakan-rakan yang lain.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui perkembangan terkini kumpulan Mahawangsa, boleh melayari www.facebook.com/mahawangsa band untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: