Saturday, April 10, 2010

Menduga sebarau Ulu Salan


Kejernihan air di lubuk serta kecantikan kawasan air terjun pasti menggamit pengunjung serta peminat alam semula jadi untuk bertandang ke Ulu Salan.


GIAN menarik kail kembali bermain di kepala. Kali terakhir penulis mendaratkan ikan adalah kira-kira dua bulan lalu semasa pulang ke kampung halaman. Keinginan membuak-buak apabila rakan-rakan menunjukkan gambar trip memancing mereka yang begitu berjaya sebelum ini.

Hati semakin ‘pedih’ apabila mendengar cerita dan pengalaman mereka mengilat (casting) yang disusuli dengan gambar bersama sebarau, toman, bujuk dan pelbagai lagi.

Aktiviti mengilat sememangnya menarik, apatah lagi jika lubuk ikan terletak jauh dalam hutan yang mana airnya jernih dan sejuk sehingga ke tulang.

Penantian tersebut berakhir apabila penulis dijemput menyertai trip pacuan empat roda Middle Earth yang beroperasi di Jerantut, Pahang.

Trip selama tiga hari dua malam itu adalah pakej yang disediakan kumpulan tersebut untuk membawa para pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sebenarnya ia bukanlah trip memancing, tetapi lokasi Ulu Salan yang dituju kami sememangnya mempunyai banyak aliran sungai yang jernih. Yang pasti peluang untuk menduga ‘penghuninya’ tidak sepatutnya dilepaskan.

Tepat jam 12.00 tengah malam penulis bersama kumpulan bertolak ke Jerantut dan tiba di motel milik Middle Earth sebaik Subuh.

Pada hari pertama kumpulan dibawa ke Kota Gelanggi, gua yang menyajikan pemandangan berbeza. Namun ketika itu hati sudah tidak sabar untuk berentap dengan penghuni sungai.

Menjelang petang pasukan Middle Earth yang dipacu oleh lima buah pacuan empat roda mula menuju ke kawasan perkhemahan.

Sebaik sahaja tiba di tapak untuk kami bermalam, anggota pasukan tidak membuang banyak masa.

Masing-masing pantas mendirikan khemah, menghidupkan api dan menyediakan makan malam.

“Apa-apa pun, dapur mesti berasap dahulu,” ujar Marodzuan Abd. Ghani selaku Pengarah Urusan pasukan kembara pacuan empat roda itu.

Memang mengagumkan dalam masa hanya sejam, kami dihidangkan dengan ayam masak merah, nasi tomato, dalca, serta gulai kurma daging dan keenakan masakan tersebut amat terasa tambahan pula berada di tengah-tengah belantara.

Pada sebelah malam sesi pancingan dimulakan dengan pancingan dasar berumpankan cengkerik bagi mencari baung serta ikan putih yang aktif pada malam hari.

Getuan demi getuan diterima namun ikan hanya sekadar mengutis umpan sehinggalah salah seorang team Middle Earth menerima tarikan.

Namun yang terpacul dihujung joran hanyalah seekor anak baung yang comel.

“Yang ini baru lahir semalam,” seloroh Kunyit, gelaran kepada salah seorang krew pasukan tersebut.

Pancingan diteruskan sehingga lewat malam, namun ekoran tiada sambutan yang diterima, kami mengambil keputusan untuk berlabuh melayan mimpi.

Pagi hari kedua diteruskan dengan aktiviti menyusuri denai hutan ke Lata Lebah iaitu salah sebuah air terjun di kawasan itu namun saya bersama dua lagi peserta, Arip dan Epi mengambil keputusan untuk mengilat.

Berbekalkan nasi goreng serta beberapa keping sandwich kami menyusuri jeram sehingga ke sebuah lubuk berbentuk huruf ‘U’.

Menurut salah seorang kru Middle Earth, di lubuk tersebut mereka pernah mendaratkan ikan badong (sebarau besar) bersaiz gadang dengan hanya berumpankan udang hidup.

Cerita tersebut membakar semangat kami, namun setelah lontaran demi lontaran dibuat penghuninya masih menyepi.

“Mana ikan? kata ada sebarau gadang,” rungut Arip sambil tangan terus melontar gewang ke serata lubuk berkenaan.

Setelah tiada sapaan di terima daripada penghuni lubuk berkenaan kami mengambil keputusan untuk menghulu sungai.

Mungkin kawasan lubuk tersebut berada terlalu dekat dengan kawasan perkhemahan menyebabkan ikannya sedikit culas.

Sebarau pertama

Kami bergerak menghulu sungai menggunakan laluan darat sebelum singgah di sebuah jeram yang agak dalam dan airnya agak gelap.

Berbekalkan ‘senjata’ Shimano Calcutta dan joran tempah, Epi memulakan lontaran menggunakan gewang Shad Rap Goldfish di sisi sebatang balak yang separa tenggelam berhampiran jeram tersebut.

Sementara saya bersama Abu Garcia Black Max dipadankan dengan joran Lemax Slim Max memilih kawasan jeram berair laju manakala Arip bersama Shimano Calcutta dan joran Fenwick agak menghulu sedikit.

Tiba-tiba kecoh Epi menerima sambaran pertama daripada sebarau yang menghendap gewang miliknya.

Manakala penulis terus melontar gewang ke arah jeram pada arah berlawanan (dari hilir ke hulu) dan tanpa disangka ikan terus menyambar gewang, namun seketika terasa ringan.

“Ah, terlepas pula,” detik hati penulis namun tangan terus mengarau tali, sebentar kemudian terasa tegang dihujung joran.

Rupa-rupanya ikan mengikuti arus dan tarikannya tidak terasa kerana arus air yang laju.

Sementara itu, Arip semakin ligat melempar gewang. Panas hati agaknya melihat kami sudah mendapat ‘lesen’.

Setelah dua hingga tiga kali lontar gewang, akhirnya giliran gewang Arip disambar apabila ikan tersebut berani mengejar gewang rapat sehingga ke kakinya.

‘Lesen’ ikan bujuk

Kami bergerak lebih menghulu dan hanya sebarau cilik sebesar dua hingga tiga jari sahaja yang rajin menghentam gewang.

Saya tiba di satu kawasan yang agak dalam, berdinding batu serta sedikit berteluk, airnya gelap dan tenang.

Lontaran demi lontaran dibuat, tiba-tiba gewang disentak agak kasar.

Terasa ikan hanya menggelupur dan memberatkan diri, pada permulaannya saya menjangkakan sebarau kasar. Setelah ikan menghampiri gigi air kelihatan seekor bujuk hampir sekilogram terdampar.

Setelah penat mengharungi sungai, tepat pukul dua petang kami mengambil keputusan untuk pulang ke khemah utama.

Kepuasan terpancar pada wajah masing-masing walaupun tiada ‘sebarau gadang’.

Apa yang pasti trip ke Ulu Salan, Jerantut, Pahang telah membakar semula semangat saya untuk kembali aktif dalam aktiviti mengilat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: