AYA pelajar berusia 17 tahun. Saya berkenalan dengan seorang lelaki (A) ketika di peringkat menengah rendah. Berterusan sehingga saya memasuki menengah atas.
Tempoh perkenalan kami hampir mencecah tiga tahun pada tahun ini. Pada permulaannya, hubungan saya dan A seperti pelajar dan guru. Saya berkenalan dengan A ketika kami terlibat dalam satu aktiviti sukan anjuran sekolah. A merupakan pelatih saya dalam acara tersebut. Kami di sesi persekolahan yang berlainan. Kami bertukar nombor telefon untuk memudahkan urusan. Tidak lama selepas itu, kami kerap berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (sms). A tidak pernah menceritakan mengenai keluarganya sehingga pada suatu hari saya bertanya mengenainya. A memberitahu bahawa dia telah berkeluarga. Isteri A mengetahui bahawa kami kerap mengutus sms. Saya tidak menjangka sebarang perkara buruk yang akan berlaku.
Hubungan rapat saya dengan A sebagai seorang pelajar dan guru diteruskan walaupun saya sudah tahu status sebenar A. A merupakan lelaki yang cukup penyayang, bertanggungjawab dan lembut hati. A kerap memberi kata-kata semangat kepada saya dalam pelajaran, terutama setiap kali saya menghadapi peperiksaan.
Hubungan saya dan A bertambah erat dari hari ke hari. Lama kelamaan hubungan tersebut bertukar menjadi istimewa, bukan lagi hubungan sebagai pelajar dan guru. Pada penghujung tahun lepas, hubungan kami diketahui isteri A. Isteri A begitu memarahi saya, dan kemungkinan dia tidak memaafkan saya. Saya menyedari kesilapan yang telah saya lakukan. Ibu mengetahui peristiwa ini dan memberi semangat.
tertekan
Bermulanya kejadian itu, saya menjadi seorang yang sensitif dan malas belajar. Saya kerap menangis sekiranya ada perkara yang menyentuh hati saya. Keputusan peperiksaan saya merudum. Saya kerap tertekan. A masih lagi menghubungi saya tetapi tidak sekerap dulu. A begitu menyayangi isterinya, juga menyayangi saya. Hubungan saya dan A menjadi dingin. Saya kerap teringat kata-kata yang dilemparkan isteri A terhadap saya dan seterusnya saya menyalahkan diri saya. Perkara yang kerap bermain di fikiran saya ialah "saya mengganggu kebahagiaan orang. Saya menjadi punca pergolakan rumahtangga orang, saya mengganggu suami orang".
Setiap kali saya mengutarakan hal ini kepada A, A akan berkata "saya merupakan anugerah untuknya. Tidak salah saya menyayanginya kerana lelaki boleh berkahwin empat. Kita semua adalah hak Allah. Tidak salah menyayangi hamba Allah. Perasaan kasih dan sayang merupakan anugerah daripada Allah dan merupakan lumrah dalam kehidupan manusia". Lagi kerap saya cuba dapatkan penyelesaian, lagi buntu saya dibuatnya. Namun makin lama masa berlalu, saya makin mendapat kekuatan untuk menghadapi masalah ini.
Sekarang A dan isterinya telah berbaik seperti sedia kala. Alhamdulillah saya amat bersyukur. Tetapi setiap kali saya membayangkan kebahagiaan mereka, saya tidak berasa tenang. Bukan kerana saya dengki atau iri hati, tetapi saya rasa bersalah kerana saya masih lagi berhubungan dengan A. Tidak sanggup rasanya melukakan hati wanita lain. Tetapi, saya juga tidak sanggup untuk melukakan hati A.
Saya pernah menyatakan hasrat saya untuk berpisah, tetapi A tidak menerimanya. Setiap kali kami berbincang, setiap kali itu kami bertengkar. Saya cuba menjauhkan diri daripada A. Tetapi saya tidak cukup kuat. Saya tidak sampai hati melihat A dalam keadaan murung, menangis.
Adakah saya berdosa mempunyai hubungan istimewa dengan A? Adakah saya mengganggu suami orang? Adakah saya berdosa dengan isteri A sekiranya perhubungan antara kami diteruskan? Adakah saya anak yang derhaka kerana tidak menurut nasihat ibu? Apakah yang perlu saya lakukan? Berpisah sekarang atau biar sahaja masa yang menentukan?
Terima kasih kerana memberi pengalaman yang tidak ternilai. Buat isteri A, maaf kerana hadir dalam perhubungan rumahtangga puan. Besar harapan saya agar puan dapat memaafkan saya atas segala kesalahan yang telah saya lakukan agar saya dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang. Buat A dan isteri, maafkanlah diri ini atas segalanya.
Semoga selepas menulis di ruangan ini, saya mendapat panduan untuk mengatasi masalah yang saya hadapi agar saya dapat lebih fokus dan tenang untuk peperiksaan SPM yang akan menjelma beberapa bulan lagi, yang merupakan penentu masa depan saya.
Sekian, terima kasih.
n Nur, Melaka.
Nur,
Cinta antara murid dan cikgu memang sering berlaku, apatah lagi ketika itu perasaan remaja ingin dicintai. Namun, Nur masih muda lagi dan seharusnya tidak perlu keliru dengan perasaan ini. Apa yang perlu Nur lakukan ialah beri tumpuan kepada pelajaran. Bahkan tahun ini, Nur akan berdepan dengan SPM. Sebagai anak yang sayangkan ibu bapa, Nur perlu mengabaikan hal ini. Jika terlalu memikir masalah ini, Nur mula mengabaikan pelajaran hingga lalai. Buat apalah Nur terlalu memikirkan nasib A dan isteri, seharusnya Nur fikirkan masa depan sendiri.
Bagaimana nak dapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan dan bagaimana membuat ulang kaji, hal-hal ini sepatutnya menjadi keutamaan Nur. Jika Nur mintakan pandangan, Puteri nasihatkan lupakan A dan berilah tumpuan pada pelajaran. Nur perlu bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang setia memberi semangat dan nasihat. Jika Nur mempunyai masalah, luahkan kepada ibu dan buktikan kepadanya yang Nur boleh berjaya dalam SPM kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: