Thursday, April 22, 2010

Hanim hamil suami mengidam


Waktu terluang diguna sebaik mungkin oleh Hasnida Hanim dan Saufi untuk melayan kerenah Rayyan.


KEHADIRAN anak dalam kehidupan pasangan berumah tangga memang terbukti dapat merubah rutin hidup suami isteri tersebut baik dari segi aktiviti harian mahupun waktu bekerja.

Bagi wartawan penyiaran serta pembaca berita Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Hasnida Hanim Ahmad Kamil, 30, kehadiran Rayyan Haffiy Saufi sembilan bulan lalu menyebabkan beliau seakan-akan tenggelam dalam kesibukan sebagai seorang ibu.

Jika sebelum ini beliau aktif bermain futsal, bola jaring, mendaki gunung serta meluangkan masa bersama rakan-rakan yang lain, kini masa yang ada selama 24 jam sehari seolah-olah tidak mencukupi untuknya berbuat demikian.

Masakan tidak, setiap saat yang terluang dihabiskan dengan mendampingi putera tunggalnya itu.

''Hari ini saya sedang menikmati peranan sebagai seorang ibu dan kehadiran Rayyan pastinya menggembirakan semua ahli keluarga yang lain.

''Walaupun baru seorang, segala aktiviti harian saya berubah sama sekali dan sudah pasti tumpuan akan lebih kepada Rayyan dan semua ini untuk masa depannya.

''Kini apabila sudah menjadi ibu, barulah saya terfikir bagaimanalah ibu saya menguruskan tujuh anaknya sedangkan saya kini walaupun baru seorang terpaksa berhempas pulas menguruskan segala kelengkapannya dan tiada lagi masa untuk 'bercanda' seperti zaman bujang dahulu,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Pengorbanan besar untuk menjadi ibu terutama ketika melahirkan Rayyan dengan mempertaruhkan nyawa sendiri menjadikan Hanim seorang ibu yang sangat penyayang.

Ketika ditemui baru-baru ini, ternyata Hanim bersama suaminya, Saufi Ahmad Serbawi, 30, tidak kekok menjaga Rayyan dan masing-masing tahu peranan setiap seorang.

Masing-masing juga senang bercerita tentang perkembangan Rayyan malah pasangan yang sibuk dengan karier masing-masing ternyata tidak pernah mengabaikan penjagaan Rayyan walaupun siang hari anak tersebut dijaga oleh neneknya.

Pengalaman

Ditanya mengenai pengalaman ketika mengandung serta melahirkan Rayyan, jelas anak sulung daripada tujuh beradik ini, tiga bulan pertama beliau mengalami alah yang teruk malah ketika kandungannya berusia tiga bulan, beliau dijangkiti demam denggi dan terpaksa ditahan di wad selama seminggu.

''Ketika mengandungkan Rayyan sebenarnya banyak perkara yang berlaku pada saya. Paling tidak dapat dilupakan ialah suami yang mengidam hendak makan buah delima dan minum air tebu sedangkan saya tidak pernah mengidam apa-apa pun.

''Pada masa yang sama seperti wanita mengandung yang lain, selain mengalami mabuk hamil awal pagi (morning sickness), Hanim juga diserang demam denggi dan mengalami turun darah tetapi bukannya tahap kritikal yang boleh menyebabkan keguguran.

''Alhamdulillah segala-galanya kembali normal sehinggalah Rayyan dilahirkan pada 3 Julai tahun lalu di Hospital Pakar Damansara,'' katanya.

Hanim dikira bernasib baik kerana setiap penyakit serta peristiwa yang dilalui, beliau tidak keseorangan malah sentiasa ditemani suami tersayang serta ahli-ahli keluarga yang terdekat.

Melihat akan kulit Rayyan yang putih bersih, menurut Hanim, sepanjang mengandung beliau gemar minum air soya dan juga air kelapa.

Tetapi seperti kanak-kanak yang lain, Rayyan juga merupakan seorang bayi yang aktif dan gemar bermain air.

Mendapat sepenuhnya susu ibu untuk enam bulan pertama, ternyata Hanim amat menitik beratkan pemberian susu ibu apabila hingga kini walaupun turut diberikan susu formula, beliau akan tetap menyusukan Rayyan pada sebelah malam dan pada waktu cuti.

Ternyata kelahiran Rayyan melengkapkan lagi keluarga Hanim dan Saufi yang dibina pada 20 Jun 2008.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: