|
|
KEGEMBIRAAN jelas kedengaran ketika penulis menghubungi Mohamad Senuan Ahmad Hariri dan Intan Nor Farliana Shamsudin, baru-baru ini.
Masakan tidak, selang tiga hari menimang cahaya mata pertama, pasangan tersebut turut dikurniakan seorang cucu.
Kedua-duanya dilahirkan pada 19 dan 22 Mac lalu dan ini secara tidak langsung juga menjadikan Intan seorang nenek muda, pada usia 20 tahun.
Untuk pengetahuan bersama, Utusan Malaysia pernah memaparkan majlis perkahwinan Mohamad Senuan dengan Intan tahun lepas dan ketika itu Mohamad Senuan berumur 45 tahun manakala Intan baru berusia 19 tahun.
Perkahwinan mereka bukan sahaja menjadi topik perbualan malah mereka turut disandingkan di atas satu pelamin bersama anak Mohamad Senuan, Mohd. Nurfaizalizwan, 22, dan pasangannya Siti Yusnita Ab. Manah, 23, dalam satu majlis persandingan berkonsep batik warna-warni yang dihadiri lebih 1,000 tetamu.
Selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga, keluarga bahagia tersebut kini turut dikejutkan pula dengan kelahiran anak dan cucu pada bulan yang sama.
Itulah kuasa Tuhan, tetapi apa yang ingin penulis tampilkan di sini ialah walaupun mereka merupakan pasangan yang jarak umurnya terlalu ketara (perbezaan umur 26 tahun) mereka masih boleh hidup bahagia seperti pasangan yang lain.
Ini membuktikan bahawa umur bukanlah satu faktor yang seharusnya dipandang berat apabila setiap pasangan tersebut ingin mendirikan rumah tangga.
Bagi Mohamad Senuan sendiri, jodohnya dengan Intan diterima dengan hati yang terbuka malah apa yang berlaku itu adalah takdir dan ketentuan dari Tuhan yang Maha Esa.
Menurut Mohamad Senuan, pertemuannya dengan Intan adalah satu pertemuan yang tidak dirancang malah selepas beliau menduda, beliau tidak pernah terfikir akan mendirikan rumah tangga sekali lagi apatah dengan anak dara yang jarak usianya cukup jauh.
''Perkahwinan yang dilalui adalah hasil daripada perasaan kasih sayang saya terhadap isteri tercinta.
''Terus terang saya nyatakan bahawa Intan merupakan cinta pandang pertama saya malah saya tidak teragak-agak untuk menjadikannya isteri selepas mendapati ciri-ciri isteri yang saya inginkan ada padanya.
''Biarlah apa juga orang nak cakap tetapi perkahwinan saya bukan disebabkan nafsu atau kerana status dia sebagai anak dara,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Apabila diajukan soalan adakah sebenarnya duda ini sememangnya ingin mencari jodoh di kalangan anak dara (muda) sahaja atau sememangnya 'saham' seorang duda itu tinggi?
Menurut Mohamad Senuan, semua itu tidak benar malah bagi dirinya, beliau tidak pernah terfikir untuk berkawan apatah lagi berkahwin dengan seseorang yang terlalu muda.
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, katanya, semua yang berlaku merupakan takdir yang telah ditentukan dan beliau juga tidak menolak bahawa Intan merupakan jodohnya yang telah ditetapkan.
Mengulas mengenai 'saham' duda tinggi, Mohamad Senuan tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut malah percaya apa yang berlaku ada hikmahnya.
Selain cerita menarik mengenai Mohamad Senuan yang berkahwin dengan Intan, terdapat satu lagi cerita menarik yang tidak diketahui umum iaitu selain emak mertuanya yang hanya tua setahun darinya, bapa mertua tirinya pula baru berumur 25 tahun.
Walaupun begitu, menurut Mohamad Senuan, situasi tersebut sedikit pun tidak menjadikan dirinya kekok malah beliau tetap menghormati kedua-dua ibu serta bapa mertuanya.
''Mereka tetap ibu dan bapa mertua saya dan saya merupakan menantu mereka.
''Jadi kenapa mesti merasa kekok, malah abang serta kakak ipar yang muda daripada saya tetap dihormati,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: