|
|
DI saat manusia berlumba-lumba menikmati kejayaan, kekayaan serta kemewahan dalam kehidupan, tidak dapat dinafikan masih ramai di kalangan masyarakat kita yang jauh ketinggalan dan belum mampu mengubah kehidupan walaupun berbagai usaha dijalankan.
Sebahagian daripada kita mungkin memahami dan simpati keperitan yang ditanggung tetapi tidak tahu saluran yang betul bagi menghulur bantuan .
Menyedari situasi itu, Yayasan Joseph William Yee Eu akan menganjurkan satu majlis makan malam amal bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Majlis dijadual berlangsung pada 10 Mei ini di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.
Pengasas yayasan, Datuk Anne Eu berkata, penganjuran majlis tersebut adalah untuk mengumpul dana bagi tujuan membaik pulih bangunan persatuan tersebut.
"Majlis ini julung kali diadakan dan diharap dapat menarik penyertaan pihak swasta, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang prihatin," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Ritz Carlton baru-baru ini.
Menurut Anne lagi, penyertaan pada malam tersebut adalah terhad kepada 600 orang di mana majlis dijangka bermula pada pukul 8 malam dan dijangka selesai pada 11 malam.
Katanya, sempena malam amal yang bakal diadakan, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM215,000 untuk tujuan membaik pulih bangunan.
Malah sebahagian daripada hasil sumbangan tersebut akan didermakan kepada mangsa ribut taufan di Tibet.
"Sebagai tanggungjawab sosial, kami akan mendermakan 20 peratus daripada sumbangan tersebut kepada mangsa-mangsa bencana alam di sana,'' ujar Anne lagi.
Katanya lagi, pada malam tersebut, kesemua tetamu akan dihidangkan masakan hasil daripada air tangan empat chef terkenal dari Australia.
"Kesemua mereka didatangkan khas dari Australia untuk tujuan amal ini. Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memberi sokongan menjayakan malam amal itu," katanya.
Kutipan untuk dana tersebut akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan lain bagi tujuan keperluan asas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: