|
|
PERJALANAN hidupnya sebagai anak seni sememangnya tidak pernah sunyi daripada menerima kritikan.
Diperkata orang itu dan ini, ada yang mendakwa, kehadirannya di medan seni hanyalah sekadar 'nasi tambah' lantaran gagal memberikan impak besar terhadap bidang yang diceburi.
Pernah diangkat sebagai pengarah wanita muda apabila diberi peluang mengarah filem Selamat Pagi Cinta!, beberapa tahun lalu. Namun hasil kerjanya juga tidak ke mana malah menjadi bahan kritikan.
Atas dasar itu, artis bernama Norliana Samsudin atau popular dengan panggilan Yana ini enggan duduk di kerusi pengarah lagi dan lebih fokus kepada lakonan.
Sungguhpun begitu, biar apa yang dikatakan terhadapnya, Yana tidak mati semangat kerana baginya, memuaskan hati semua pihak adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
"Beri saya peluang. Jangan terus menghukum kerana saya baru mengarah sebuah filem.
''Namun, saya bersyukur kerana di bidang lakonan, saya sudah mula diterima peminat. Alhamdulillah.
''Saya akui sekarang saya lebih selesa berlakon. Tetapi, bidang pengarahan tidak akan saya lupakan,'' katanya tatkala ditemui di majlis doa selamat dan pelancaran drama terbaru terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) berjudul Suri Bakawali di ibu pejabat MIG, di Subang Jaya, baru-baru ini.
Suri Bakawali yang memulakan penggambaran pada 15 April lalu bakal menemui penonton di slot Ratu, TV9 pada 3 Mei iaitu setiap Isnin, pukul 9.30 malam.
Selain Yana, barisan pelakon lain yang menjayakan Suri Bakawali adalah Jehan Miskin, Farahdiya, Kartina Aziz, Rashidah Jaafar, Khaty Azean, Kamal Faridz, Mozalfa Faisa, Shahrul Aminur Leman, Delimawaty dan Sasqia.
Diarahkan oleh pengarah muda Eyra Rahman, Suri Bakawali, drama 13 episod selama satu jam ini mengangkat cerita mengenai ketabahan hati seorang wanita menghadapi pelbagai keadaan.
Kata Yana menyambung perbualan, dalam keasyikan memegang status sebagai pelakon, dia menyimpan hasrat untuk kembali duduk di kerusi pengarah.
''Kalau ada rezeki, saya akan kembali mengarah pada tahun depan tapi, saya tidak akan berhenti berlakon,'' tegasnya yang pernah muncul dengan album berjudul Ceria di awal pembabitannya dalam gelanggang seni.
Yana sebelum ini diberi keyakinan berperanan sebagai pengarah untuk filem Selamat Pagi Cinta! oleh David Teo.
Meskipun ada yang melihat ia satu keputusan gila lantaran profil Yana yang kurang berpengalaman dalam produksi, David mempertahankan tindakannya kerana yakin dengan kemampuan Yana.
Rasa syukur Yana
Sementara itu, Yana yang diajak bercerita kisah permulaannya di bidang seni berkata, dia masih teringat sewaktu memegang status sebagai pelakon ekstra dengan dikelilingi pelakon ternama seperti Erra Fazira.
''Kak Erra (Erra) saya kenal ketika saya berlakon dalam Tujuh Perhentian. Masa itu, saya pelakon tambahan sahaja.
''Watak pun sebagai pelayan restoran dan berlakon untuk menghantar minuman kepadanya.
''Sekarang saya sudah melangkah ke hadapan dan kini memegang watak utama pula. Terima kasih juga kepada MIG kerana memberi kepercayaan kepada saya,'' ujar Yana penuh bangga.
Katanya, dia telah bersama MIG sejak usianya 17 tahun dan selain pelakon serta pengarah, dirinya banyak diberikan peluang oleh MIG untuk berada sebagai penggerak di belakang tabir.
Malah, lagu-lagunya yang terkandung di dalam album Ceria telah diangkat oleh MIG untuk dijadikan lagu runut bunyi bagi beberapa penerbitan filem milik syarikat produksi berkenaan.
Sehingga kini, dia masih aktif menyanyi untuk runut bunyi bagi penerbitan filem dan drama.
''Bersama MIG, saya sudah lakukan semuanya. Jadi editor sehingga beberapa kerja belakang tabir, pengarah dan pelakon, kesemua saya sudah cuba ketika umur masih muda.
''MIG juga rancak merangka jadual kerja saya. Ini adalah tapak untuk saya melangkah lebih maju untuk masa depan,'' jelasnya penuh serius.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: