|
|
RAMAI yang beranggapan program realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) sudah hilang seri dan tarikannya kerana banyak menampilkan perkara-perkara yang boleh dikatakan klise.
Antaranya soal penyingkiran para peserta, gimik-gimik murahan yang sengaja direka ataupun kritikan para pengkritik yang dikatakan sengaja mencetuskan kontroversi bagi menghidupkan suasana program tersebut.
Ekoran daripada itu, ramai yang mengandaikan AF8 tidak mungkin mampu menandingi kemeriahan musim-musim sebelumnya yang penuh dengan sokongan para peminat setianya dari mula sehingga ke konsert terakhirnya.
Bagaimanapun telahan itu ternyata meleset apabila Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi mendedahkan, sambutan AF8 lebih baik berbanding AF7 terutamanya daripada segi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada para penonton.
"Setakat minggu kelima AF8, kami dapati undian SMS yang diterima oleh para peserta program realiti TV ini meningkat sebanyak 14 peratus berbanding AF7. Ini menunjukkan sambutan program ini bukannya semakin menurun.
"Sebaliknya, ia boleh mengatasi AF musim-musim yang lalu," katanya pada sidang akhbar Debaran AF8 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
AF8 minggu kelima itu membuat kejutan apabila tiada penyingkiran ke atas pesertanya pada program Debaran itu biarpun Farina merupakan peserta minggu ini yang menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah daripada para penonton sebanyak 11.27 peratus.
Menurut Azlin, ia merupakan salah satu kejutan menerusi program realiti itu yang telah menjadi perkara biasa sebagai salah satu format yang biasa dilakukan pada musim-musim yang lalu.
"Dalam AF pelbagai kejutan boleh dilakukan," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya Debaran minggu ke-5 AF8 yang turut disertai Pengetua program itu, Norman Abdul Halim dan Penerbit Eksekutifnya, Norazian Mohd. Zahir.
Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd. Zahir berkata, biarpun tiada penyingkiran pada minggu ke-5 tetapi markah undian SMS para peserta program itu akan dikumpul dan dibawa ke minggu depan.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada AF8 akan menyingkirkan dua pesertanya sekali gus pada minggu depan atau tidak kerana ia merupakan keputusan yang akan diputuskan oleh Astro kelak.
"Semua itu akan ditentukan kemudian. Ini juga salah satu kejutan dalam AF yang macam-macam boleh dilakukan di mana ia sebagai salah satu format program realiti TV ini sejak dari dulu hingga kini," jelasnya.
Selain Farina, 28, yang berasal dari Bintulu, Sarawak, dua lagi peserta AF8 yang berada di tangga tiga tercorot daripada segi undian SMS pada minggu ke-5 ialah Nad sebanyak 11.99 peratus dan Ain (11.47 peratus).
Dengan tiadanya penyingkiran pada Debaran minggu ke-5, AF8 akan diteruskan pertandingannya oleh Daus yang setakat ini menerima undian SMS sebanyak 13.84 peratus, Maulana (13.65 peratus), Shahir (12.82 peratus), Adira (12.54 peratus), Iwan (12.42 peratus), serta Nad, Ain dan Farina.
banyak tul org dr sbh n swak....nak tarik duit undian org seberang ker????
ReplyDelete