SUAK PADI - Sebuah keluarga di sini bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan setelah rumah mereka dihempap dua batang pokok durian bersama sebatang pokok jering.
Pandak Kian Panjang Sai berkata, bunyi pokok yang menghempap bahagian dapur rumahnya terlalu kuat hingga mengejutkannya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang dan ketika itu hujan lebat bersama angin kencang.
:“Pada masa itu bunyi dentuman sangat kuat dan saya sangka itu bunyi bom meletup ataupun tembakan, sehinggalah rumah saya tiba-tiba dimasuki air hujan.
“Rupa-rupanya pokok durian tumbang dan menimpa bahagian dapur,” katanya kepada Sinar Harian.
Pandak berkata, semasa kejadian, dia berada di dalam rumah sedang beristirahat.
“Memang kalau hujan kami tidak akan ke mana-mana dan hanya duduk di rumah.
“Saya berehat seperti biasa sambil menunggu hujan reda, dan pada masa itulah saya mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur,” katanya.
Akibat kejadian itu, sebahagian dapur rumah Pandak rosak terutama di bahagian bumbung.
“Nasib saya baik kerana hanya bahagian dapur yang ditimpa pokok dan saya tidak ada di situ pada waktu itu, jika tidak saya tidak tahu apa yang berlaku.
“Selepas itu, anak dan beberapa orang kampung termasuk ketua kampung datang membantu memotong pokok berkenaan,” katanya.
Pandak berkata, ada pihak yang berjanji untuk membantunya membaik pulih semula rumah itu kerana dia sendiri sudah tidak berkemampuan.
Sementara itu, Ketua Kampung Suak Padi, Uda Mat berkata, hanya rumah Pandak ditimpa pokok semasa kejadian dan tidak melibatkan rumah lain di perkampungan itu.
“Kita akan bantu Pandak sedaya mungkin kerana kita tahu dia sendiri tidak mampu untuk membaiki rumah itu sendiri memandangkan sudah tidak bekerja dan tidak ada pendapatan tetap,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: