Thursday, April 8, 2010

Tempat cari makan, berkarya


JAMAL Abdillah merupakan produk kelahiran RTM yang sangat masyhur.


SUDAH lebih enam dekad, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berperanan menyalurkan maklumat dan menyuap hiburan kepada kita.Selama tempoh itu juga, RTM melalui pelbagai evolusi selain telah melahirkan beribu bintang popular, beratus personaliti kreatif serta wartawan penyiaran berkaliber.

Itulah yang menariknya mengenai stesen milik kerajaan yang sangat masyhur itu.

Stesen yang meraikan ulang tahun ke-64 pada 1 April lalu sebetulnya menarik perhatian masyarakat terhadap jasa stesen itu yang pernah membariskan nama-nama penting dalam direktori seni.

Sehubungan itu, Hits membawa perhatian pembaca akhbar ini kepada kebanyakan tenaga kerja pelopor yang pernah berkhidmat dengan RTM.

Sebilangan besar daripada mereka kini telah pencen namun semangat dan kasih sayang mereka pada badan penyiaran itu sebati dalam jiwa.

Di situlah mereka mencari rezeki, mengasah bakat dan mencipta populariti sebagai karyawan dunia penyiaran yang cukup megah sehingga dikenang sampai ke hari ini.

Tan Sri Ahmad Merican misalnya, merupakan pengasas kepada Orkestra RTM yang bukan sahaja berprestij kerana kualiti muzik yang dibawakan, malah ia masih kekal hingga kini.

Beliau yang bertugas di RTM pada 1956 sebagai Penyelia Muzik menyifatkan badan penyiaran itu sukar digugat oleh stesen-stesen penyiaran lain kerana peranan yang pernah dimainkannya.

"RTM stesen penyiaran kerajaan dan 100 peratus berkhidmat untuk rakyat. RTM bukannya berorientasikan keuntungan. Jadi mereka lebih bertanggungjawab terhadap rakyat," ujarnya berkongsi kebanggaan mengenai RTM.

Ada benarnya pandangan yang dilontarkan oleh tokoh televisyen itu.

Berpegang pada tanggungjawab pada rakyat, RTM meletakkan matlamat itu di tangga teratas berbanding orientasi keuntungan.

Pada masa yang sama, RTM tidak pernah berkecil hati andai dikecam sebagai ketinggalan zaman hanya kerana menyiarkan rancangan yang tidak mempunyai nilai komersial.

Sungguhpun begitu, ramai yang tidak menyedari bahawa jika bukan stesen penyiaran kerajaan seperti RTM, mahukah stesen-stesen TV swasta mengambil alih rancangan seperti itu?

Sedangkan rancangan seperti itu memberi pendedahan kepada masyarakat akan pentingnya sumbangan golongan petani serta penternak dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, soal komersial atau tidak boleh diatasi jika rancangan-rancangan seperti itu dipersembahkan dalam gaya yang lebih komersial demi menarik perhatian para penonton.

RTM mungkin boleh belajar pengalaman stesen TV9 yang pernah menganjurkan program realiti Akademi al-Quran yang berjaya dikomersialkan sama seperti rancangan hiburan yang lain.

Bekas penerbit rancangan TV dan radio RTM, Helan Abu yang mua berkhidmat dengan RTM pada 1963 tidak menafikan pentingnya bakat serta pengalaman para karyawan di stesen itu.

Namun, dalam persaingan yang makin hebat pandangan mahupun idea yang bernas juga harus diterima daripada para audiens RTM bagi mengetahui cita rasa dan kemahuan mereka.

"Daripada situlah kita tahu kekurangan yang ada pada RTM dan seterusnya memperbaikinya untuk terus berdaya saing. Dalam hal ini sesiapa juga harus terbuka untuk maju," jelasnya.

Beliau yang bersara pada 1998 dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Rancangan) RTM berkata, pendekatan itu juga mampu mempertingkatkan kualiti siaran di RTM.

Katanya, idea-idea sama ada daripada individu ataupun kumpulan tertentu seperti persatuan bukan kerajaan (NGO) haruslah diambil kira bagi mencapai hasrat murni tersebut.

Seniman Datuk Aziz Singah pula berpendapat, bagi mempertingkatkan mutu rancangan sesebuah stesen itu haruslah menggabungkan faktor minat, bakat dan latar pendidikan karyawannya.

Naib Presiden Kelab Veteran RTM berusia 68 tahun ini menambah, dengan adanya kakitangan yang berasaskan kepada tiga faktor itu mutu dan kreativiti sesebuah siaran itu boleh ditingkatkan.

"Para karyawan di RTM dulu ramai juga yang tidak berpendidikan tinggi tetapi mereka ada bakat dan minat. Tetapi sekarang ini jika ia ditambah dengan taraf pendidikan yang tinggi ia lebih bagus.

"Saya yakin kalau adanya pendekatan tiga aspek ini RTM akan mampu bersaing dan terus unggul dalam bidang ini pada masa akan datang," katanya yang berkhidmat di RTM selama 21 tahun.

Berjasa kepada artis

Andai mahu diukur sumbangan stesen TV di Malaysia dalam usaha melahirkan penyanyi masyhur dan berbakat besar, RTM tidak seharusnya dinafikan.

Lantaran RTM mejadi stesen pertama yang ada di negara ini, maka ia menjadi stesen yang telah lama merintis usaha mencari pelapis bidang seni.

Antara yang terus menjadi perhatian ialah Bintang RTM yang boleh dianggap paling berprestij.

Ramai penyanyi kelahiran pertandingan itu seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah dan Ramlah Ram berjaya menyemarakkan persada seni suara tempatan.

Bagi Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, mahu atau tidak semua pihak tidak boleh menafikan kebanyakan nama besar penyanyi dalam bidang itu dilahirkan menerusi pertandingan tersebut.

"Bakat mereka bukan sahaja dicungkil daripada pertandingan Bintang RTM, malah kebanyakan mereka boleh bertahan lama sebagai penyanyi sehingga ke hari ini, misalnya Jamal Abdillah.

"Ini membuktikan bahawa pertandingan itu berprestij dan amat mementingkan kualiti serta bakat para pesertanya," katanya.

Bagaimanapun, daya saing yang bertunjangkan bakat para peserta pertandingan seperti itu seharusnya berkembang seiring dengan wadah RTM sebagai badan penyiaran gergasi.

Sebabnya, tidak perlu bermegah dengan usia yang telah melewati 64 tahun jika tahap kematangan stesen itu tidak menjurus kepada 'kesegaran' dalam rancangan-rancangan siarannya.

Selain menampilkan rancangan yang berkualiti, pengacara yang versatil dan penyanyi yang berbakat, setiap rancangan RTM haruslah sentiasa berubah-ubah trend dan keperluannya.

Soal set pentas, pergerakan kamera untuk siaran TV atau pemilihan lagu-lagu yang terkini dan paling menjadi pilihan para pendengar radio harus diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Jika tidak ada pendekatan daripada sudut itu, maka kebanyakan rancangan RTM akan kelihatan sama seperti era tahun 1970-an dan 1980-an daripada segi kemilau kemeriahan popularitinya.

"Bukannya senang untuk menukar stigma para penonton atau pendengar terhadap rancangan-rancangan siaran RTM kerana persaingan yang sengit daripada stesen lain.

"RTM mungkin satu-satunya agensi kerajaan yang terpaksa bersaing dengan stesen penyiaran swasta. Mana ada agensi kerajaan lain yang ada persaingan dengan pihak swasta?" ujarnya.

Beliau yang telah 20 tahun berkhidmat bersama RTM turut mengambil pendekatan sama dengan menjenamakan semula Orkestra RTM di bawah pimpinannya agar lebih berdaya saing.

Jelasnya, Orkestra RTM kini tidak lagi sekadar mengiringi persembahan di Auditorium Perdana, Angkasapuri tetapi fungsinya telah diperluaskan dengan menawarkan peluang merakamkan album kepada penyanyi popular tanah air.

Jamal Abdillah merupakan antara penyanyi yang akan merakamkan album bersama Orkestra RTM bagi memperdengarkan kelainan muzik serta menaikkan reputasi orkestra itu.

Sebagai juara Bintang RTM tahun 1979, penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak itu tidak menafikan bahawa RTM telah banyak berjasa dalam memperkenalkan namanya sebagai penyanyi.

"Kalau tidak kerana RTM, saya tidak mungkin akan berada di sini. Sebab itu, apabila RTM menjemput saya menyanyi saya seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan mereka," kata Jamal penuh makna.

Sebelum ini Orkestra RTM juga terlebih dahulu mengambil inisiatif dengan merakamkan album penyanyi Tan Sri S.M. Salim dan Ismail Haron bersama orkestra tersebut.

Pendekatan itu bukan sahaja mampu menjenamakan semua Orkestra RTM, tetapi pada masa sama segala bakat puluhan pemuzik orkestra itu dapat diketengahkan kepada umum.

Penerbitan album-album jazz yang diterbitkan oleh Mokhzani sebelum ini serta pembabitannya dalam festival-festival jazz peringkat antarabangsa turut membuktikan komitmennya itu.

Tidak mustahil kumpulan orkestra yang dimiliki oleh RTM itu mampu untuk mengangkat martabat para pemuziknya yang selama ini seolah-olah hanya lebih terperap di Angkasapuri sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: