Wednesday, April 7, 2010

Cinta antara benua


Ronnie Behnke dan isterinya Parnom kini mengusahakan ternakan itik di daerah Isaan di timur laut Thailand.


TAK kisahlah sama ada anda gemuk, buruk, air liur meleleh dari mulut atau apa saja perkara yang menjelekkan dari diri anda pasti ada saja perempuan yang sudi menjadi teman anda," ujar Justin Raines sambil tersenyum nakal.

Justin tidak malu mengungkap hakikat tersebut di hadapan tunangnya, Eve, gadis Thailand yang baru berusia 21 tahun yang kini sedang sarat mengandungkan zuriat hasil hubungan mereka berdua.

Jarak usia mereka yang hampir separuh itu bukanlah penghalang bagi lelaki berasal dari Queensland, Australia ini, untuk hidup bersama gadis Thailand pilihannya.

Begitu pun Eve bukanlah wanita Thailand pertama yang hadir dalam hidup Justin.

Sebaliknya kisah cinta lelaki bertubuh gempal ini telah bermula sejak sembilan tahun lalu. Ketika itu dia baru merantau dari kampung halamannya ke bahagian timur laut Thailand dan mereka berkenalan menerusi satu pertemuan di Bangkok.

Namun kisah cinta Justin dengan isterinya tidak bertahan lama, mereka berpisah tidak lama selepas berkahwin.

Justin pula ibarat tidak boleh berpisah dengan negara Thailand, mengambil keputusan untuk membuka sebuah perniagaan bar di daerah Isaan, Udon Thani.

Di situlah juga Justin menemui cinta barunya, Eve.

"Gadis-gadis di daerah ini adalah yang paling cantik yang ada di Thailand dan mereka ini memang 'berbaloi'. Kos hidup di sini juga murah berbanding daerah lain di Thailand seperti Bangkok, Pattaya dan Phuket," katanya.

Para pengusaha pelancongan di Thailand juga tidak begitu menumpukan daerah Isaan sebagai tempat pelancongan kerana ia merupakan satu daerah yang tidak mempunyai tarikan semula jadi seperti laut dan pantai yang indah.

Justin tidak berseorangan

Justin dan Eve hanya satu kisah percintaan daripada lebih kurang 60,000 hingga 70,000 pasangan berbeza benua yang kini menetap di Thailand.

Perangkaan tersebut dikeluarkan oleh Professor Madya Buapan Promphakping dari Jabatan Pembangunan Sosial di Universiti Khon Kaen, Thailand.

Menurut beliau, trend perkahwinan antara benua tersebut telah bermula sejak tahun 60-an apabila ribuan tentera Amerika Syarikat berpusat sementara di Thailand semasa Perang Vietnam.

Namun trend perkahwinan campur tersebut berterusan hingga kini dan salah satu sebabnya mungkin kerana gadis Isaan mula keluar rumah dan mencari pekerjaan di bandar-bandar.

Salah satu pekerjaan yang gemar dipilih gadis-gadis ini ialah pelayan di bar. Dari situ mereka mudah berkenalan dengan lelaki asing dan meneruskan perhubungan hingga ke peringkat berkahwin.

Tunang Justin yang nama penuhnya Nirruttaya Yapha mengakui kehidupannya lebih mudah apabila mempunyai pasangan lelaki Inggeris.

"Justin bukan saja memberi nafkah, malah dia juga rajin menolong kerja rumah dan kami kini juga mempunyai perniagaan pakaian yang diusahakan bersama-sama," jelas Nirrutaya atau Eve.

Bercerita mengenai perangai lelaki Inggeris, Eve mengakui ada tabiat-tabiat tertentu yang kurang digemari pada Justin.

"Dia kini berdua dan bukannya bujang. Lelaki Inggeris ini jika mereka keluar malam baliknya mesti pagi, itu saya memang tak setuju dan itulah sebab kenapa kami kerap bergaduh," rungut bakal ibu ini.

Bagaimanapun perkahwinan antara benua ini bukanlah sesuatu yang sentiasa indah.

Biasanya faktor jurang usia menjadi masalah, selain itu juga lelaki Barat juga akan membeli hartanah di atas nama isteri mereka.

"Berapa ramai lelaki Barat yang sedar bahawa mereka sebenarnya sedang 'diperangkap' oleh isteri mereka?" ujar John Burdett, seorang peguam dari British yang kini bergelar novelis.

Burdett telah menemubual ramai gadis Thai dari Isaan yang bekerja di Bangkok sebelum menerbitkan novelnya.

Burdett berkata, perkahwinan antara lelaki Barat dan perempuan Thailand pada pihak wanitanya memang menguntungkan terutama dari aspek kewangan.

"Persoalannya terletak kepada kedua belah pihak. Lelaki perlulah memahami budaya dan cara hidup si isteri jika mahukan perhubungan yang lebih lama," tambahnya.

Kisah Ronnie Behnke

Ronnie Behnke, 37, sanggup berpindah dari kampung asalnya di Brisbane, Australia ke rumah isterinya yang terletak di pedalaman Isaan, wilayah Khon Kaen, Thailand.

Pasangan bahagia itu bukan saja hidup tenang di kampung terpencil di daerah itu, malah mereka turut sama mengusahakan penternakan ikan.

"Ramai orang kata saya sebenarnya pilih jalan buruk sedang ada jalan yang lebih baik. Tapi inilah yang saya mahukan dalam hidup saya sebenar," ujar Behnke.

Kisah cinta Behnke dengan isterinya, Parnom, 26, bermula di sebuah resort di Pattaya. Kisah tujuh tahun lalu itu bermula sebagai perkenalan pelancong dengan seorang pengemas bilik.

"Pertama kali saya berkunjung ke rumah keluarga mertua, saya terkejut melihat keadaan tandas mereka. Tapi tidak ada masalah saya pun ada kepandaian membaiki tandas dan saya juga membina paip semburan untuk memudahkan saya mandi," imbas Behnke.

Dia juga berharap kolam ternakan ikan yang diusahakannya boleh dijadikan sumber pendapatan untuk penduduk setempat.

Walaupun baru menguasai beberapa patah Bahasa Thailand, tapi Behnke semakin mahir menggunakannya.

Malah Behnke juga mengakui lebih senang berdampingan dengan masyarakat setempat berbanding dengan rakan ekspatriat sepertinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: