|
|
SEBAGAI manusia kita tidak pernah tahu siapakah jodoh kita. Semuanya telah ditentukan oleh Tuhan. Sebab itulah ada yang menyebut rezeki, ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Manusia hanya merancang namun Tuhan yang menentukan segala-galanya. Apabila jodoh sudah tiba, tiada siapa yang mampu menolaknya.
Sebab itu dalam soal jodoh ia sukar di ramal dan payah untuk dijangka. Apabila dua insan dipertemukan, lantas pintu hati terbuka untuk mendirikan rumah tangga, perbezaan keturunan dan agama bukan lagi jadi penghalang.
Tetapi benarkah perkahwinan campur yang membabitkan pasangan daripada keturunan dan agama berbeza itu selalu berakhir dengan masalah?
Hakikatnya masalah memang ada tidak kira perkahwinan campur mahupun berlainan bangsa.
Mungkin tekanan lebih dirasai bagi perkahwinan campur kerana faktor berbeza budaya, bangsa dan latar belakang kehidupan.
Ini diakui sendiri oleh Rahmah A. Aziz, 37, yang berkahwin dengan warga Pakistan, Sarfraz Ahmad, 35, kira-kira tiga tahun lalu.
Rahmah, pemilik D'Anna Butik di Shah Alam, Selangor ini berkata, perkenalannya dengan jejaka idaman yang berasal dari Lahore, bermula apabila suaminya itu sering makan di kedai makan ibunya di Seksyen 18, Shah Alam.
"Tiga tahun kenal sebagai kawan saja dan tidak begitu rapat. Kemudian setahun kami tidak berjumpa. Selepas berjumpa semula, Sarfraz mengajak saya berkahwin.
''Saya ingat dia bergurau dan dengan nada gurau juga saya jawab kalau nak kahwin jumpa emak saya dulu. Rupanya dia bersungguh dan sanggup berjumpa emak yang turut memberi keizinan berkawan denganya,'' kata Rahmah yang yakin lelaki tersebut ketika itu masih bujang.
Sarfraz kemudian membawa Rahmah berjumpa dengan kakaknya yang juga tinggal di Kuala Lumpur, di samping mendapatkan keizinan daripada ibu dan bapanya di Lahore.
Dengan restu keluarga kedua-dua belah pihak, mereka melangsungkan perkahwinan di rumah Rahmah di Shah Alam yang turut dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga suaminya.
Rahmah tidak menolak bahawa pada peringkat awal perkahwinan mereka memang terdapat sedikit masalah kerana walaupun mereka seagama tetapi berbeza budaya.
Sarfraz kurang memahami bahasa Melayu yang memerlukan banyak penjelasan.
"Tetapi dia pandai menyesuaikan diri dengan keluarga saya. Jika tidak faham dia lebih banyak berdiam.
''Bagi saya pula, mula-mula berkahwin dulu saya agak terkejut juga bila dia selalu bercakap dengan nada tinggi. Saya ingatkan dia marah tetapi sebenarnya cara mereka bercakap memang begitu. Bila dah lama baru saya boleh terima cara dia.
''Saya berkahwin dengan dia pun tiada syarat atau perjanjian. Yang penting saya kenal dengan keluarganya. Hubungan saya dengan kakaknya pun rapat dan baik ,'' jelas Rahmah yang memanggil suaminya dengan panggilan 'jan', bermakna sayang kerana Sarfraz tidak suka dipanggil sebagai abang.
Keluarga tidak menentang
Sementara itu, Sarfraz yang mempunyai perniagaan pakaian di beberapa buah pusat membeli-belah di Shah Alam, sudah enam tahun menetap di negara ini.
Dia berkata, keluarganya tidak menentang apabila dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Rahmah.
''Mula-mula memang ada masalah tetapi selepas enam bulan, kami mula memahami antara satu sama lain. Kami bersikap terbuka dan menerima pasangan seadanya.
"Lagipun kami menganut agama yang sama. Setakat ini kami tidak menghadapi masalah besar dan kami tidak suka memikirkan tentang masalah.
''Saya datang ke negara ini untuk berniaga. Bila saya berkahwin dengan wanita Malaysia, saya rasa dapat mendekatkan dua negara.
"Saya menganggap diri saya sebagai wakil negara saya. Jika saya buat sesuatu yang tidak betul, saya akan memburukkan nama negara saya juga,'' jelas Sarfraz sambil melayan permata hati hasil perkahwinan mereka, Marissa Tabassum, 13 bulan.
Sementara itu Pengurus Perhubungan Awam Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd., Nur Elaine Aisyah Abdullah (Elaine) pula memberitahu, perkahwinannya dengan pemuda Melayu, Azuree Haiddar, memang banyak dugaan.
Tetapi katanya, semua itu dihadapi secara bersama dan suami banyak memberi sokongan.
Menurutnya, suami sering mengingatkan supaya jangan berputus asa dan buktikan bahawa agama Islam tidak memisahkannya daripada keluarga walaupun berlainan agama.
Kata Elaine, dia dan suami saling mengenal hati budi selama dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Wanita yang yang berasal dari Johor Bahru itu berkata, dia memeluk Islam sebelum berkawan dengan Azuree lagi.
''Saya tertarik dengan Islam ketika masih bersekolah di tingkatan empat lagi. Selepas habis sekolah dan ketika bekerja di Singapura saya memeluk Islam.
''Saya tidak pernah dipaksa memeluk Islam kerana saya sendiri berpendapat Islam adalah agama yang mementingkan persaudaraan, satu budaya, kuat dan mana-mana saya pergi pasti ada yang menyokong saya,'' ujar anak sulung daripada empat beradik itu.
Ketika mengambil keputusan untuk berkahwin, Azuree berjumpa sendiri dengan kedua-dua ibu bapa Elaine bagi membuktikan niat ikhlasnya.
Mereka bernikah pada tahun 2004 yang turut dihadiri ibu dan saudara-mara Elaine.
''Mak ada berpesan, hubungan suami isteri ini bukan mudah apa lagi saya berketurunan Cina manakala suami pula orang Melayu.
"Mak kata saya mesti banyak bersabar dan bertolak ansur. Bergaduh perkara biasa tetapi jangan dibiar melarat,'' ujarnya dengan nada sebak terkenang ibunya yang meninggal dunia pada 2005 selepas bertarung dengan kanser payu dara.
Elaine bersyukur kerana setakat ini tidak menghadapi masalah dengan keluarga mentua yang melayannya dengan baik sementelah bapa mentuanya juga berketurunan Cina.
Menurut Elaine lagi, bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, dia banyak bertolak ansur, bersabar dan tidak membesar-besarkan perkara kecil.
"Perkara kecil jangan dijadikan punca pergaduhan dan suami isteri perlu banyak berkomunikasi.
''Berkahwin campur ini banyak kebaikannya. Kebiasaannya bila berkahwin sebangsa, kita banyak ambil kesempatan dan mengabaikan perasaan pasangan kita kerana menganggap pasangan kita faham diri kita.
''Tetapi apabila berkahwin campur, kita belajar budaya pasangan kita, menerima orang yang asing bagi kita dan memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya.
''Mengenai dugaan pula, memang banyak kerana kami perlu menggabungkan kepercayaan dalam gaya hidup kami agar ada keserasian. Tetapi, kebaikan mengatasi segala dugaan,'' jelasnya yang kini selesa bertudung.
Kata Elaine, walaupun setelah berkahwin hubungan dengan ahli keluarganya tetap rapat.
Setiap bulan dia akan pulang ke Johor Bahru menjenguk bapanya. Begitu juga apabila tiba Tahun Baru Cina, Elaine bersama suami dan anak-anaknya, Muhammad Luqman Hakim, empat tahun dan Nurul Qhalisyah, tiga tahun akan pulang meraikan bersama keluarga.
''Anak-anak beruntung kerana mereka dapat melihat dan merasai budaya dua kaum, iaitu Melayu dan Cina. Anak sulung kami faham bahasa Cina tetapi tidak lancar berbahasa Cina,'' katanya yang bahagia dengan kehidupan kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: