|
|
BOLEH dikatakan hampir seluruh usianya diabdikan pada beg tangan. Pelik bunyinya namun itulah realiti yang dilalui oleh wanita ini.
Dengan bakat yang dianugerahkan kepadanya ditambah pula minat yang tidak berbelah bagi, wanita kelahiran Jerman ini tidak pernah sekalipun menyesal memilih bidang rekaan dan pembuatan beg tangan sebagai kerjayanya.
Daripada usianya 16 tahun, Christine Buettner tidak lagi menoleh ke belakang, malah beg tangan semakin sebati dengan 'kehidupannya' sejak 44 tahun lalu.
Maka memang selayaknya wanita ini digelar 'sifu' beg tangan. Gelaran tersebut bukanlah satu pengiktirafan seperti gelaran 'sir' atau sebagainya malah lebih kepada penghormatan kepada dirinya yang diberi oleh jenama beg tangan tersohor, Aigner.
Jenama tersebut melihat Buettner adalah pakar yang mengetahui segala selok belok tentang pembuatan beg tangan dari A hingga Z.
Beliau mula menerima latihan secara rasmi tentang selok belok pembuatan beg tangan pada 1983, ketika itu usianya baru mencecah 17 tahun.
Bertempat di pusat kemahiran beg tangan Golpfeil, Jerman, Buettner mengumpul ilmu dan mengasah bakat semula jadinya dalam menghasilkan pelbagai rekaan beg tangan mengikut cita rasa wanita.
"Berbilion wanita di seluruh dunia menggunakan beg tangan tapi berapa ramai yang tahu tentang cara pembuatannya," katanya yang berada di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam siri promosi Aigner.
Menurut Buettner, yang secara rasmi menyertai jenama terkenal itu pada 2008, di Aigner langkah pertama yang digunakan untuk menghasilkan beg ialah melakar di atas kertas kosong sebelum dizahirkan lakaran tersebut di atas kertas corak.
Di situ saiz sebenar diperlukan dan arahan diturunkan kepada pihak seterusnya.
"Selepas memotong semua bahan untuk bahagian dalam beg, pakar jahitan yang terlatih dan berpengalaman akan menggabungkan semua bahagian tersebut.
"Ada yang perlu digam, jahit dan dilipat. Semuanya bergantung kepada arahan. Boleh dikatakan beg tangan Aigner adalah buatan tangan sepenuhnya. Tiada penggunaan mesin, kecuali mesin jahit dan peralatan bertukang untuk mencantumkan bahagian beg tersebut," jelasnya.
Buettner menambah, jenama Aigner yang begitu sinonim dengan lambang tapak kuda memang diakui terkenal di seluruh dunia.
Kehebatan Aigner diraih menerusi kualitinya yang tinggi, keunikan seni pembuatan dan kesempurnaan dalam setiap perinciannya.
"Jenama ini menjadi pilihan kerana kualiti kulit yang digunakan. Selain kulit asli yang berkualiti, hanya bahagian kulit terbaik dan terkuat yang digunakan untuk pembuatan beg," cerita Buettner.
Kulit lembu paling banyak digunakan
Serasi dengan jenama tersebut jelas Buettner, lebih 80 peratus daripada beg tangan Aigner diperbuat daripada kulit lembu atau anak lembu.
Selain itu mereka turut menggunakan kulit kambing, biri-biri, rusa, kerbau, ular, burung kasawari dan buaya.
"Lebih susah sesuatu haiwan itu dijumpai, lebih eksklusif beg tangan tersebut.
"Bagaimanapun kita juga perlu mempunyai sedikit pengetahuan tentang kulit. Seperti kulit manusia, kulit binatang juga berpotensi untuk mengalami kedutan, kesan parut gigitan nyamuk, calar balar dan lain-lain lagi. Tetapi itu semua menambah keaslian pada kulit berkenaan.
"Seperti manusia yang berbeza antara satu individu dengan individu yang lain begitulah juga binatang. Itu yang membuatkannya unik," jelasnya .
Buettner berkata, terdapat banyak cara untuk memastikan kulit tahan lama. Antaranya dengan mewarna dan menggelapkannya.
Namun proses tersebut tidak mudah kerana perlu dipastikan bahan yang digunakan juga bersifat semula jadi supaya ia tidak memudaratkan kulit tersebut.
"Untuk memastikan pengguna Aigner mendapat hanya yang terbaik, kami menggunakan bahan pengawet yang berasaskan mineral supaya menepati standard kualiti yang dimahukan pengguna.
"Proses kemasan terakhir yang akan membezakan hasil satu beg dengan beg yang lain. Teknik kemasan tersebut termasuk golekan, tekanan, cop, cetak dan teknik laser. Boleh jadi juga ukiran pada bahagian permukaan yang dinamakan Suede dan Nubuk," jelasnya.
Menurut Buettner, selain kulit, beg tangan Aigner turut menggunakan material tambahan terutama untuk lapisan dalaman seperti nilon dan jacquards yang semuanya berkualiti tinggi.
"Logam yang kami gunakan juga diperbuat daripada logam loyang (bras) yang telah melalui proses elektrolit dan menggunakan emas asli untuk hasil yang bukan sahaja cantik malah tahan lama.
"Jika anda perhatikan, beg tangan kulit sedikit berat dan tidak sama berat berbanding beg tangan yang bukan daripada kulit asli.
"Ini kerana ketebalan kulit binatang itu sendiri yang berbeza-beza, itulah yang menjadikan beg kulit eksklusif," tambahnya.
Buettner menegaskan yang paling utama dalam pembuatan beg tangan ialah faktor kesesuaian penggunaan mengikut keperluan wanita.
"Kami bukan saja mementingkan kecantikan luaran beg malah memastikan struktur dan bentuknya praktikal untuk wanita masa kini.
" Justeru kami turut memastikan bahagian dalam beg tidak akan mudah koyak. Ruang di dalamnya juga menepati keperluan wanita untuk mengisi pelbagai barangan penting," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: