Wednesday, April 7, 2010

Buah hati bukan orang hiburan

BERDASARKAN laporan agensi berita luar pada 8 Mac lalu, Rossa memberitahu hidupnya bahagia bersendirian dan tidak terlalu mengharapkan kehadiran lelaki di sisi.

MAHU KESERASIAN...Rossa akan membawa pemuzik dari Indonesia  diketuai Yuvie Widianto (tengah) untuk menjayakan konsertnya. Turut sama  menghiburkan Aizat.
MAHU KESERASIAN...Rossa akan membawa pemuzik dari Indonesia diketuai Yuvie Widianto (tengah) untuk menjayakan konsertnya. Turut sama menghiburkan Aizat.



Namun, ketika menemuinya di Kuala Lumpur, kelmarin, penyanyi terkenal Indonesia itu akui dirinya sedang diulit cinta.


Bahkan, tanpa berselindung dia berkata hubungannya bersama si dia baru bermula dan masih dalam proses mengenali hati budi. Apapun, Rossa tegas menolak bahawa lelaki dimaksudkan itu ialah vokalis Ungu, Sigit Purnomo Syamsuddin Said atau Pasha, 30.


Menurut Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rosa Roslaina Handayani, 32, yang ditanya mengenai kasih barunya, tenang mengakui cinta itu ada. Ujar penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta ini, namun si dia itu bukanlah individu yang terbabit dalam industri hiburan.


“Saya tidak mahu berbohong soal cinta. Daripada saya berbohong, lebih baik berterus-terang dan berkata benar.

“Memang saya dalam proses bercinta ketika ini, tetapi hubungan kami baru dan belum sampai di tahap serius. Kami perlu saling mengenali lagi.


“Malah, saya menghormati dia. Hati ini juga tertarik dengannya kerana dia seorang yang baik, memahami, penyayang dan boleh menerima anak saya, Rizky Langit Ramadhan, 3. Namun, setakat ini perancangan ke arah perkahwinan itu belum lagi dibuat.

“Soal jodoh dan berkahwin ini, saya tidak mahu terburu-buru. Bagi saya, biarlah semuanya ditentukan Tuhan. Sebagai manusia biasa, saya hanya mampu berserah. Apapun, saya tetap seronok dengan kehidupan sekarang bersama Rizky yang semakin membesar.


“Bahkan, Rizky juga sudah ke sekolah. Waktu persekolahannya tiga hari dalam satu minggu dan saya yang menghantar setiap pagi.

“Jadi, hubungan ibu dan anak antara kami sangat rapat. Malah, bekas suami, Yoyo juga adalah sahabat saya,” katanya penyanyi Hey Ladies ini.


Ditanya sama ada dia serik memilih lelaki yang terbabit dalam karier sama, Rossa berkata, dia tidak pernah berasakan demikian. Namun, katanya, jodoh adalah ketentuan Tuhan dan dia juga tidak memilih lelaki itu kerana kedudukan dan kekayaan harta.


Bercerai dengan Yoyo atau Surendro Prasetyo pada 14 Julai 2009, Rossa berkunjung lagi ke Malaysia kerana menjayakan sidang media sempena Konsert Rossa - Melodi Cinta di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Mei nanti.


Konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam itu turut menampilkan Ungu, ST12 dan Aizat sebagai penyanyi undangan. Malah, ia turut diserikan pembabitan 50 ahli Permata Seni serta 20 kanak-kanak dari kumpulan Tunas Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Menurut Rossa, dia berbesar hati untuk menjayakan konsert di Malaysia.


Ditambah lagi, ini adalah konsert solo terbesar pertamanya. Jadi, seharusnya dia kini berhadapan tekanan dan cabaran untuk memberikan persembahan terbaik.


“Saya bersetuju melakukan konsert ini kerana sudah yakin dengan kemampuan diri. Malah, saya gembira mendapat kerjasama baik dengan semua pihak di negara ini termasuk Media Prima Berhad (MPB). Bahkan, AirAsia menjadi penaja rasmi penerbangan.


“Apapun, saya akan bekerjasama dengan 50 orang pemuzik dari Indonesia untuk konsert ini nanti. Saya tidak ambil pemuzik dari Malaysia kerana memikirkan soal kos dan latihan.

“Kalau di Indonesia, kami boleh selalu bertemu untuk berlatih sebelum ke sini.


“Jangan sesekali membuat andaian saya tidak memilih pemuzik Malaysia kerana kurang berkeyakinan dengan bakat mereka. Kalau berfikir seperti itu, tentu Aizat tidak bersama saya. Hasrat saya hanya mahu menampilkan persembahan terbaik kombinasi antara kami,” katanya.


Ditanya mengapa dia berminat memilih Penyanyi lelaki Popular ABPBH2009 itu, Rossa tanpa berselindung mengakui bahawa dia sangat meminati vokal Aizat sejak pertama kali menontonnya pada konsert Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya (IB).


“Sejak itu, saya memang sudah terfikir untuk mengundang Aizat beraksi bersama dalam konsert ini. Kami akan menyanyi berduet, tetapi apa lagunya itu, biarlah rahsia dulu.

“Kebanyakan lagu saya nanti pernah popular di Malaysia dari album pertama lagi. Saya berminat memilih Malaysia untuk konsert ini kerana melihat sambutan baik yang diterima daripada peminat terhadap beberapa album saya,” jelasnya.


Rossa mahu peminat menganggap konsert beliau itu sebagai tanda penghargaannya atas sokongan padu peminat selama ini.

Bagi mereka yang mahu menyaksikan konsert ini, dapatkan tiket berharga antara RM53 dan RM353 mulai sekarang. Keterangan lanjut boleh hubungi talian 03-7711 5000 atau kunjungi www.axcess.com.my.

>Profil
NAMA SEBENAR: Sri Rosa Roslaina Handiyani
PANGGILAN KOMERSIAL: Rossa
TARIKH LAHIR: 9 Oktober 1978
USIA: 32 tahun
ASAL: Sumedang, Jawa Barat
PENDIDIKAN: Sarjana Komunikasi, Universiti Indonesia
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Rizky Langit Ramadhan, 3 tahun
KARIER: Penyanyi, pelakon dan model iklan
ALBUM: Nada-Nada Cinta (1996), Untukmu Sahabat (1988), Tegar (1999), Hati Yang Terpilih (2000), Kini (2002), Kini Repackage (2003), Kembali (2004), The Best of Ros sa,Yang Terpilih (2006), OST. Ayat Ayat Cinta (2007), Rossa (2009).
PENCAPAIAN: Penyanyi Wanita Terbaik, Kategori Pop Progresif, Anugerah Muzik Indonesia (AMI) Sharp Awards pada (2001/2002), Penyanyi Wanita Terbaik MTV Indonesia (2000) dan Bintang Pilihan Peminat menerusi majalah Cek dan Ricek (2000).
DRAMA: Dua Sisi Mata Uang (1996) dan Perisai Kasih Yang Terkoyak (2002).
LAGU POPULAR: Nada-Nada Cinta, Tegar, Pudar, Wanita Yang Kau Pilih, Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti dan Terlanjur Cinta (duet Pasha).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: