KUALA LUMPUR - Seramai 15,000 kakitangan Pos Malaysia Berhad termasuk 1,880 posmen dan kerani pos bakal menerima kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai ini.
Kenaikan pada kadar antara 11 hingga 19 peratus itu bakal menjadikan gaji dan elaun-elaun berkaitan kakitangan pos setara dengan gaji dan elaun semasa kakitangan kerajaan.
Penstrukturan semula gaji kakitangan Pos Malaysia yang seiring dengan aspirasi Model Ekonomi Baru (MEB) itu, akan dilaksanakan serentak dengan kenaikan harga surat domestik.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semasa mengumumkan kenaikan itu berkata, gaji posmen dan kerani Pos Malaysia pada masa ini berada di tahap yang tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.
Menurutnya, gaji pokok posmen sekarang ialah RM610 manakala kerani pos RM710 iaitu di bawah garis kemiskinan.
"Gaji dan elaun permulaan posmen adalah 19 peratus lebih rendah daripada gaji kakitangan sektor awam yang setara.
"Kerajaan percaya inisiatif ini akan meningkatkan mutu dan produktiviti kakitangan Pos Malaysia serta mutu perkhidmatan pos khususnya di luar bandar," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di Istana Budaya di sini hari ini.
Tambah Rais, kenaikan itu disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan posmen dan kerani pos yang memperoleh pendapatan yang tidak setimpal dengan tugas mereka.
Jelasnya, maklumat terperinci kenaikan tersebut akan diumumkan oleh Pos Malaysia Berhad selepas semua urusan pentadbiran dan penstrukturan semula selesai dilakukan.
Menurut Rais, penstrukturan itu turut disokong dengan kenaikan harga setem serta kos penghantaran surat dan bungkusan ke luar dan di dalam negara yang berkuat kuasa serentak 1 Julai ini.
Katanya, kenaikan harga setem dan kos penghantaran barangan itu dibuat mengikut kadar yang munasabah sejajar amalan yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa termasuk di Eropah, Jepun dan Korea.
"Sejak 1992, tidak ada kenaikan berhubung dengan setem dan juga penghantaran barang melalui pos.
"Harga setem kita adalah yang termurah di dunia menyebabkan Pos Malaysia terpaksa menggunakan RM32 juta dalam bentuk subsidi kepada pihak luar apabila surat dihantar ke luar negara atau masuk ke negara kita," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kenaikan harga setem tidak akan membebankan pengguna yang menghantar surat biasa di dalam negeri melalui penggunaan aerogram atau "surat rakyat" yang lebih murah.
"Penghantaran surat biasa pada masa ini adalah 30 sen dan mungkin akan dinaikkan hingga 60 sen, tetapi rakyat masih boleh menghantar surat mengikut kadar tidak melebihi 30 sen iaitu melalui surat rakyat.
"Kita juga akan mengambil kira supaya kos penghantaran buku atau majalah yang mengandungi unsur pengetahuan diberi beberapa pertimbangan atau pengecualian supaya kos untuk memperoleh punca-punca ilmu itu tidak tinggi dalam jangka panjang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: