|
|
KISAH duda bertemu suri baru atau wanita berstatus ibu tunggal didatangi cinta lelaki bujang bukanlah cerita aneh dalam meladeni hidup seharian.
Sesuatu yang tidak dirancang adakalanya indah untuk ditatap bahkan jika dikenang bakal mencorak tawa di bibir, manisnya hanya dirasa sang pemilik jiwa-jiwa berkenaan.
Minggu ini, selain kisah penangkapan Ameng Spring akibat ugut bekas isteri, kisah penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab dan pengarah tersohor, Aziz M. Osman masuk dalam carta panas dengan cinta baru masing-masing.
Lelaki baru Nurul
Hatinya kembali berbunga dan musim bahagia sudah tiba menggantikan musim dingin yang membendung banyak luka.
Kesendirian dan sepi hari-hari Nurul sudah bersisa dan tiba-tiba sahaja lelaki bernama Ryzal Marzuki menjadi tatapan umum.
Dia diisytiharkan sebagai kekasih penyanyi popular itu dan paling manis, pengumuman itu dilakukan oleh pemilik tubuh sendiri, bukan desis angin atau bualan di ruangan gosip.
Mereka membuat keterangan secara terbuka saat pertama kali ditemui media hadir berdua-duaan pada majlis Anugerah Bintang Popular di puncak Genting Highlands, Ahad lalu. Keterbukaan Nurul, 33, dan Ryzal, 31, menutup bisik-bisik tentang hati Nurul yang selama ini dikhabarkan sudah menemui pengganti Ajai.
"Saya sendiri tidak menyangka kami boleh saling suka antara satu sama lain. Dalam tempoh sebulan perkenalan, saya sedar bahawa saya sudah bertaut kepadanya. Dia (Ryzal) punya sikap seperti saya, dia jenis yang berterus-terang.
"Dalam hubungan pula, kami tiada sikap untuk menyorok atau bermain-main dengan komen, hanya kawan," ujarnya yang menyimpan harapan untuk serius bersama Ryzal.
Tidak berani meletakkan sebarang jangka masa untuk sampai ke tahap yang difikirkan semua, kata Nurul: "Perancangan tetap ada tapi memandangkan hubungan pun masih baru, saya berserah kepada takdir.
"Lebih baik kami saling mengenali terlebih dahulu dan tidak perlu tergesa-gesa," katanya kepada Sensasi Bintang.
Aziz pilih Lily
Kisah duda bertemu suri baru untuk bertakhta di hati bukan cerita aneh. Bukan sekali, tetapi bagi Aziz M. Osman, 48, cinta yang akan diakhiri dengan janji perkahwinan kali ini sudah masuk kali keempat.
Keputusan sudah ditetapkan dan tarikh 18 April ini dipilih sebagai tarikh bahagia untuk mengikat pertunangan dengan seorang pelakon baru, Puteri Lily atau nama sebenarnya, Puteri Sarbainun Lokman, 21. Menjelang Jun nanti, Aziz sekali lagi akan duduk di pelamin bergelar raja sehari.
Keruntuhan mahligai yang pernah dibina semasa perkahwinan pertama, kedua dan ketiga dahulu tidak pernah memadamkan kemahuan duda beranak enam itu untuk kembali beristeri.
Memilih wanita muda, apa yang lebih dramatik, calon isterinya, Lily ialah anak kenalan rapat Aziz sendiri. Lily anak kepada Lokman Ghani, pelakon yang juga pegawai produksi yang bertugas di Istana Budaya.
Jika selama ini Lokman disapanya sebagai Abang Man, tetapi pertemuan semasa menonton Teater Muzikal Cuci sekitar November lalu, mendesak Aziz bersalaman dengan bapa kekasihnya bersandarkan hubungan anak dan ayah.
"Syukur Alhamdulillah, ayah Lily menerima kehadiran saya dan sejak itu saya berjanji akan menjaga Lily sehingga ke hujung nyawa saya," kata Aziz lagi membuat pengakuan.
Bagi Aziz, penerimaan Lokman merupakan rahmat buatnya. Selain restu Lokman, apa yang turut membuatkan Aziz gembira dan bersyukur ialah anak-anaknya dengan bekas isteri, Nuraliah Lee Abdullah atau Vee boleh menerima kehadiran bakal ibu baru dengan hati terbuka.
Bagi Lily sendiri, bulat hatinya sudah tiada yang berbelah-bagi.
Lily pernah dihubungi oleh ibu Aziz, Afida S, yang meminta hubungan Lily dengan Aziz diputuskan.
Sementelah Lily sendiri muda setahun daripada anak sulung Aziz hasil daripada perkahwinan pertamanya, Puteri Nurul Fateha, 22.
"Memang bonda (Afida S) ada menelefon saya, tapi saya tidak takut dengan apa yang diperkatakannya," katanya ketika dihubungi.
Tambah Lily, apa yang ingin dilakukannya tidak salah di sisi agama, jadi apa yang harus digentarkan dengan perkahwinannya kelak. Dia mahu menjadi isteri Aziz tanpa mahu menjadikan kisah lalu Aziz sebagai ukuran.
"Saya hanya mahu menjadi diri saya. Hubungan saya dengan Nur Aliah (bekas isteri Aziz) juga baik, dia ada menasihatkan saya tentang beberapa perkara.
"Saya juga rapat dengan anak-anak Abang Aziz. Bagi saya, tiada yang lebih utama selain persetujuan keluarga. Apabila keluarga sudah merestui, tiada perkara lain yang lebih menenangkan saya ketika ini," katanya lagi.
Keberanian dan ketulusan hati menjadi pengukur kekuatan cinta Lily terhadap Aziz. Kesungguhan yang ditunjukkan Lily akhirnya mencairkan Afida untuk merestui Lily menjadi bakal ibu tiri kepada cucu-cucunya.
Bagi Aziz, usia bakal isterinya yang lebih muda daripada anak sendiri, bukan sesuatu yang harus dipertikaikan.
"Itu takdir Tuhan. Sudah lumrah kita mencari isteri untuk menjaga makan, minum dan pakai kita, tetapi saya mencari isteri yang bukan sahaja boleh menjadi isteri bahkan menjadi sahabat saya.
"Harap Lily akan bersama saya dalam keadaan susah dan senang dan ciri-ciri nampaknya ada pada diri Lily," luah Aziz yang akan menamatkan zaman dudanya menjelang 6 Jun nanti.
Pernikahan itu bakal tercatat sebagai pernikahan keempat Aziz setelah perkahwinan ketiganya bersama Nor Radhiah Ramli pada 16 Ogos 2008 terpaksa dibatalkan kerana masalah edah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: