Sunday, April 11, 2010

Puja memuja Pasha-Liyana




ADA satu garis lut sinar menyambungkan kedua-dua selebriti ini. Nyata dalam diam mereka saling memuja dan mendekati antara satu sama lain atas nama seni.

Perkenalan singkat yang terjalin sewaktu mengadakan persembahan di Muar, Johor membuahkan perkenalan santai yang kadangkala membawa kepada bicara serius tentang industri seni negara masing-masing.

Liyana Jasmay, 22, menjaga santunnya sewaktu fotografi diadakan, mungkin menjaga hati orang yang di luar sana.

Lagak Pasha, vokalis kumpulan Ungu yang berusia 31 tahun ini pula lebih berani. Matanya tidak lepas meneliti setiap inci wajah pelakon Malaysia itu yang baru dianugerahkan gelaran popular berasaskan undian peminat.

Aksinya membuatkan Liyana yang sentiasa lincah itu bertukar kekok. Mungkin malu ditenung sebegitu.

Jujur kata Pasha, dia memuja keperibadian Liyana.

"Dia penyanyi baru yang punya potensi besar. Dia sangat cantik dan ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan namanya akan besar setelah terjun ke dalam bidang seni," luah Pasha tanpa selindung.

Pakej Liyana

Malah tanpa segan-segan, Pasha menyatakan Liyana mempunyai pakej dan kriteria wanita yang memenuhi cita rasanya.

Rambut panjang, putih, kecil, kasual dan pandai berpakaian, semua ciri itu melekat pada diri Liyana dan Pasha seakan-akan pemuja dari jauh.

Perkenalan 'hai' dan 'bye' singkat di Muar, Johor kemudian bercambah melalui talian telefon. Blackberry Messenger (BBM) yang kini menjadi kegilaan para pengguna telefon jenama itu lantas mendekatkan dua negara Indonesia dan Malaysia yang dipisahkan laut.

Jelas Pasha dan Liyana, mereka banyak berkongsi cerita muzik dan seni negara masing-masing.

Melihat perjalanan 15 tahun Pasha bersama Ungu, Liyana tidak melepaskan peluang bertanya itu dan ini untuk mencari tanda aras yang boleh dicontohi.

"Saya peminat Ungu, juga peminat Sigit Purnomo (Pasha)," terang Liyana yang kini menunggu waktu untuk menjalani penggambaran filem Papadom 2 arahan Afdlin Shauki.

Pasha lelaki 'hot'

"Kami banyak bertukar cerita tentang industri muzik masing-masing. Juga bagaimana dia berhadapan dengan wartawan di sana yang sudah ala Hollywood.

"Saya jarang bertanyakan kisah peribadinya. Tapi dia memberitahu segala gosip yang berkaitan dirinya tidak betul dan diperbesarkan. Buat mereka gosip itu cuma gosip dan akan berlalu begitu sahaja.

"Berlainan dengan industri hiburan Malaysia yang memandang dan mengambil berat tentang gosip yang dikeluarkan," terang Liyana yang kurang mendedahkan sifat lincah dan mengusiknya di depan Pasha. Ibu Liyana yang ada sama semasa sesi temu bual mentertawakannya.

Pasha pula sempat memberi tip tentang nyanyian kepada Liyana. Tambahan pula, katanya, penyanyi wanita lebih terdedah kepada risiko kerana kotak suara mereka lebih sensitif.

"Yang penting adalah komitmen kita terhadap kerja dan harus pandai menjaga suara kerana itu adalah modal seorang penyanyi.

"Suara juga adalah harga kita," ujar Pasha yang wajib tidur selama enam jam sehari dan memperbanyakkan minum air suam.

"Pasha itu 'hot' untuk lelaki golongan umurnya dan juga duda," bisik Liyana seraya menyatakan seleranya lebih kepada golongan lelaki seusia dengannya.

Namun, dalam diam dia menyukai lagi Cinta Dalam Hati nyanyian Pasha dan menghargai segala tunjuk ajar yang diberikan ikhlas oleh pemuda itu kepadanya.

Duren (duda keren) ialah panggilan yang diberikan oleh khalayak Indonesia terhadap penyanyi duda beranak tiga itu.


TEMAN seberang laut. Itu klasifikasi oleh Liyana saat status hubungan dengan Pasha diajukan kepadanya.


Cara lelaki

Pungkas bekas suami, Okie Agustina itu, panggilan tersebut cuma diberikan oleh orang dan dia tidak pernah memintanya. Sewaktu dicucuk soal godaan bergelar duda, Pasha ketawa.

"Digoda itu selalu, apa lagi berada dalam dunia hiburan. Kita sentiasa berjumpa dengan orang dan ada yang sesuai untuk diajak berbual.

"Malah groupies (penggila grup) lebih berani. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri.

"Tidak perlu dilayan sangat dan sekadar bersembang," ujar Pasha yang tidak menolak takdir satu hari nanti dia bertemu jodoh dengan individu yang sama-sama mencari makan dalam industri hiburan.

Terserlah sikap nakal dalam diamnya sewaktu sesi fotografi bersama Liyana, Pasha mengaku sifat itu mengalir dalam dirinya. Namun, katanya, nakal yang dibawakannya masih dalam batas yang wajar.

"Lelaki itu harus berani. Ertinya berani dalam semua hal. Untuk urusan lelaki, perlu lebih berani. Kalau suka harus berani dekat.

"Kalau tidak didekati nanti menyesal sendiri," luahnya yang terlihat mendekati Liyana dengan caranya sendiri. Cara lelaki yang sudah ada pengalaman hidup bersama wanita.

Bagaimana hidup Pasha kini tanpa wanita menyokong kerjaya dan perjalanan meniti hari-hari ke hadapan yang semakin dibalut kemewahan dan glamor. Dia ketawa dan menyebut satu falsafah.

"Hidup tanpa wanita itu ibarat sayur tanpa garam. Rasa kosong," akuinya lantas menyatakan hal-hal peribadi sama ada sakit atau suka akan disimpan sendiri tanpa bercerita kepada sesiapa.

Hari-hari sunyi tanpa wanita Pasha dihabiskan dengan menunggang motosikal jenis Harley Davidson.

Sebelum sempat perbualan lewat telefon ditamatkan lantaran jadual kumpulan Ungu yang padat di Kuala Lumpur, Pasha sempat berbisik dalam nada yang masih nakal.

"Saya bukan yang bertuah. Aizat adalah lelaki yang bertuah kerana berjaya mendekati Liyana," ucapnya seraya menyampaikan satu amanat. "Jika satu hari nanti Liyana sudah bergelar solo, jangan lupa sampaikan berita itu kepada saya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: