Tuesday, April 20, 2010

Aziz pertama kali bertunang


SENIWATI Afida Es menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis bakal menantunya, Puteri Sarbainun Lokman pada majlis pertunangan anaknya, Aziz M. Osman di Taman Lagenda Mas, Cheras, Kuala Lumpur Ahad lalu.


BIARPUN sebelum ini pengarah terkenal, Aziz M. Osman,48, telah tiga kali mendirikan rumah tangga yang mana ketiga-tiganya berakhir dengan perpisahan namun, ia bukanlah noktah buat dirinya untuk sekali lagi melayari kehidupan berkeluarga.

Pertemuan dengan gadis yang jarak usia 27 tahun lebih muda daripadanya iaitu Puteri Sarbainun Lokman yang juga mesra dipanggil Puteri Lily dianggap sebagai takdir Tuhan buat dirinya.

Jika tiga perkahwinannya sebelum ini gagal dipertahankan, apa yang diharapkan oleh duda beranak enam itu, kalau boleh biarlah jodohnya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

Petang Ahad lalu (18 April), Aziz dan Puteri Lily yang juga merupakan anak keempat kepada pelakon dan pengarah, Lokman Ghani mengikat tali pertunangan di kediaman Puteri Lily di Taman Lagenda Mas, Cheras.

Cincin pertunangan disarungkan oleh ibunda Aziz sendiri iaitu seniwati Afida Es bersaksikan lebih 100 orang tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Kesempatan bertemu Aziz yang hadir sedondon dengan busana warna putih susu, menyerahkan sejambak mawar putih kepada Puteri Lily.

Usai mengenai perasaannya tatkala diri kini bergelar tunangan orang, sambil tersenyum manis, ujar Aziz inilah kali pertama dia menikmati debaran alam pertunangan.

Memilih untuk bertunang kali ini, selain menyempurnakan hajat pihak perempuan yang merupakan anak pertama yang bertemu jodoh, Aziz juga menuruti kehendak ibunya yang mahukan dia bertunang.

"Inilah pengalaman pertama saya menjadi tunangan orang. Ini sebagai menyempurnakan adat dalam keluarga bakal mertua saya, Puteri Lily merupakan anak pertama yang bertemu jodoh.

"Jadi sebagai pihak lelaki saya juga mahu pastikan kalau boleh biarlah ia kelihatan sempurna mengikuti proses-proses tertentu," kata Aziz.

Pengalaman lalu yang pernah gagal di alam rumah tangga tidak langsung meninggalkan parut buatnya untuk sekali lagi membuat keputusan untuk berkahwin.

Baginya, kesilapan lalu yang pernah bermain dalam lingkaran hidupnya tidak harus dijadikan titik hitam yang menyulitkan dirinya mencari kebahagiaan di masa hadapan.

Mengakui inilah takdir yang telah ditentukan Tuhan buat dirinya, perkahwinan baginya menambahkan lagi keberkatan dalam sesebuah kehidupan.

"Saya ini jenis yang bekerja, selain kerja hidup saya lebih ditumpukan kepada anak-anak. Jadi, biarlah kali ini saya mencari seorang 'kawan' yang boleh menemani saya walau ke mana sahaja saya pergi.

"Apabila sudah ada isteri nanti apatah lagi dia masih muda remaja sudah pasti kasih sayang tertumpah kepadanya.

"Saya terima takdir Tuhan dan sebagai seorang yang pernah melalui pelbagai asam garam kehidupan berumah tangga, apa yang saya harapkan jodoh saya kali ini kekal bahagia selamanya," kata Aziz lagi.

Saya kenal hati budi Aziz - Lokman

Pernah bekerjasama dalam lakonan dan pengarahan bersama, hubungan dengan Aziz bukan sekadar rakan seindustri tetapi juga sebagai rakan baik.

Malah, apabila keputusan untuk memperisterikan Puteri Lily terpancul seluhurnya dari bibir Aziz, Lokman Ghani, 52, tidak langsung membantah malah, mengharapkan agar Aziz menjaga anak gadisnya itu sebaik mungkin.

"Mula-mula apabila mendapat tahu Aziz dengan anak saya bercinta terkejut juga namun, inilah ketentuan Tuhan dan saya sebagai orang tua menyokong keputusan anak-anak memandangkan mereka sudah besar dan mampu berfikir yang mana baik buat mereka.

"Aziz memberitahu kepada saya tentang hubungannya dengan Puteri Lily pada malam pementasan Cuci The Muzikal di Istana Budaya Oktober lalu.

"Ketika itu saya menasihatkan jika dia betul-betul ikhlas, saya memang tidak akan menghalang," kata Lokman ketika ditemui pada majlis pertunangan anak gadisnya itu.

Biarpun jarak umurnya dengan bakal menantu hanya empat tahun namun, bagi Lokman ia hanyalah sekadar angka semata-mata.

Jelas Lokman, dalam perkahwinan apa yang penting kedua-dua mereka memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing.

"Anak saya walaupun baru berusia 21 tahun namun, agak matang daripada segi pemikiran. Malah, sebelum ini juga saya telah bercakap dan memberi pelbagai nasihat.

"Puteri Lily kalau dibandingkan dengan Aziz memang masih budak lagi sebab jarak usia mereka lebih 20 tahun. Namun, saya yakin pengalaman berumah tangga yang ada pada Aziz sebelum ini bakal digunakan sebaik mungkin olehnya," kata Lokman lagi.

Afida harap jodoh Aziz berkekalan

Ibu mana yang tidak mahu melihat kebahagiaan dalam kehidupan anak-anak mereka. Itulah yang turut bermain di minda seniwati terkenal, Afida Es, 66, yang juga ibu kepada Aziz M. Osman.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, harapan isteri kepada Allahyarham M. Osman ini, biarlah jodoh anaknya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

Merestui pilihan Aziz, Afida yang sempat ditemui selepas majlis pertunangan itu mengakui turut merasai bahagia apabila melihat wajah anaknya itu bahagia dengan pilihannya kali ini.

"Bonda pun kalau boleh tidak mahu melihat Aziz hidup sendirian.

"Dia bukan jenis orang yang suka berfoya-foya. Sebab itu, pernah suatu hari bonda turut menawarkan diri untuk mencarikan jodoh buatnya.

"Bagaimanapun bonda bersyukur, akhirnya sekali lagi dia bertemu jodoh dan ini merupakan gadis pilihannya sendiri," katanya sambil tersenyum.

Menafikan menentang keputusan Aziz untuk sekali lagi berumahtangga jelas Afida, cukuplah sejarah silam yang memeritkan kehidupannya anak-beranak.

Sekadar bertanya dan menyelidiki latar belakang gadis yang bakal menjadi suri dalam hidup anaknya, itu suatu proses biasa yang sering dilakukan oleh mana-mana wanita sekali pun yang bergelar ibu.

"Pada mulanya bonda tidak tahu bahawa Puteri Lily adalah anak kepada Lokman. Sebelum bonda mengenalinya (Puteri Lily), dia telah rapat dan mengenali anak-anak Aziz terlebih dahulu.

"Apa yang bonda lihat pada Puteri Lily, dia memang seorang gadis yang baik. Walaupun perbezaan umur antara dia dengan Aziz begitu ketara, namun itu hanyalah sekadar angka.

"Pesanan bonda pada mereka, perlulah sentiasa puji-memuji antara satu sama lain dan kalau boleh janganlah perkara remeh-temeh diperbesarkan kerana secara tidak langsung yang kecil itulah yang boleh menjadi punca pelbagai masalah," kata Afida sebelum mengakhiri perbualan.

1 comment:

  1. kkkaaahhhpppuuuiiitttApril 20, 2010 at 11:05 PM

    semoga berkekalan hendaknya........ Amin

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: