Tuesday, April 20, 2010

Rozita Dipanah Asmara

Rozita sedang berbahagia dengan si dia.

MENGENALI aktres Rozita Che Wan yang sentiasa ceria dan suka berbual itu, jarang kali persoalan cinta menjadi topik utamanya. Bukan kerana lokek untuk berkongsi cerita, tetapi bimbang dicop sebagai artis yang terlalu murah dengan cerita cinta.

Wanita berwajah jelita itu juga enggan menimbulkan kontroversi kerana kisah peribadinya berbanding kerjaya dalam bidang seni.

Jika ditanya tentang jadual kerja, mungkin ada yang menyangka dia sukar untuk bercinta. Namun, hatinya seperti wanita lain juga yang ingin dicintai oleh insan bernama lelaki.

Sengaja hendak menduga sama ada dirinya masih bersendirian atau tidak? Pelakon drama Puteri Aurora Beradu dan Susuk 2 itu mengaku telah bertemu dengan lelaki idamannya.

“Saya sedang bahagia dengan si dia setelah cinta kami berputik beberapa bulan lalu dan mengenalinya lebih empat tahun lalu,” kata Rozita mengenai lelaki berusia 34 tahun itu.

Baru-baru ini Rozita memaklumkan tentang pemergiannya ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah buat kali ketiga ditemani adiknya, aktres Ayu Raudhah.

Setiap kali menunaikan umrah, ibu tunggal kepada dua anak itu selalu mendoakan agar dipertemukan jodoh dengan lelaki yang terbaik di dunia dan akhirat.

“Setiap kali saya menunaikan umrah, saya hanya mendoakan yang terbaik untuk diri-sendiri. Saya juga mendoakan agar dipercepatkan jodoh sekiranya dipertemukan dengan lelaki yang terbaik untuk saya,” beritahunya yang tidak sabar untuk mengerjakan umrah pada 26 April ini.

Dalam rancak bercerita tentang lelaki yang berbeza usia tiga tahun dengannya itu, ada sekelumit perasaan gusar dan takut yang timbul dalam diri.

“Bukan semua orang boleh menerima artis sebagai teman hidup. Saya juga sudah mempunyai dua handbag sedangkan dia masih bujang.

“Tetapi saya seronok berkawan dengannya kerana dia tidak pernah menyakitkan hati saya sepanjang kami berkenalan,” katanya penuh tersirat dalam nada merendah diri.

Rozita berkata setiap kali selepas mengerjakan umrah pasti dia akan terpanggil sekali lagi untuk ke sana.

Tetapi setakat ini dia belum mendapat seru untuk mengerjakan haji. Katanya, jika sudah mengerjakan haji, tidak mungkin dia akan berpakaian seksi dan mendedahkan aurat lagi.

Jika tiada aral, Rozita merancang untuk menyambut Hari Raya Puasa tahun ini di Tanah Suci Mekah.

“Andai kata saya akan berkahwin pada tahun ini, saya berniat untuk bersara dari industri seni pada tahun depan kerana saya tidak mahu berlakon lagi apabila sudah berkahwin nanti,” beritahu wanita berusia 37 tahun itu.

Dalam perkembangan lain, dia yang sedang menjalani rawatan kaki akibat terseliuh tidak sabar menantikan siaran drama 13 episod Kiah Pekasam di Astro Warna mulai 19 April ini.

Rozita berkata dia terjatuh semasa perlu berlari dalam penggambaran drama itu sehingga kakinya terseliuh dan bengkak sejak sebulan lalu.

Selain itu, dia akan menjalani penggambaran sebuah telefilem untuk RTM pada 20 April ini di samping aktor Fahrin Ahmad sebelum terbang ke tanah suci.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: