Sunday, April 5, 2009

Komedi, romantik di 8TV


FILEM komedi Duplex dijayakan Ben Stiller dan Drew Barrymore antara lima filem menarik menghiasi slot Popcorn N' Wednesday yang disiarkan setiap Rabu, jam 10 malam di 8TV sepanjang bulan ini.

Ia mengisahkan pasangan muda, Alex Rose lakonan Stiller dan Nancy Kendricks (Drew Barrymore), sedang mencari tempat tinggal bagi memulakan kehidupan baru. Mereka akhirnya menemui rumah ideal, namun pelbagai rintangan harus dihadapi apabila wanita tua yang menyewa di situ enggan berpindah keluar.

Filem yang disiarkan Rabu ini, padat dengan aksi lucu yang cukup menghiburkan apabila Alex dan Nancy mencuba sedaya upaya meyakinkan wanita tua itu supaya berpindah. Namun, usaha mereka nyata sia-sia. Malah, rumah idaman mereka bertukar menjadi mimpi ngeri buat pasangan itu.

Selepas Duplex, filem menampilkan gandingan pelakon popular Hollywood, Mandy Moore dan Matthew Goode dalam Chasing Liberty, disiarkan pada 15 April.

Filem romantik ini mengisahkan anak perempuan seorang Presiden berasakan dirinya tidak pernah mendapat kebebasan seperti remaja lain. Kerana inginkan kebebasan, dia akhirnya berjaya meloloskan diri daripada jagaan pegawai keselamatan yang dihantar bapanya sewaktu bercuti di Eropah.

Namun, segalanya berubah apabila dia akhirnya bercinta dengan jejaka tanpa mengetahui jejaka itu adalah seorang pegawai keselamatan yang bekerja untuk bapanya.

Pada 22 April pula disiarkan filem Angel Eyes lakonan Jenifer Lopez dan James Caviezel. Ia mengisahkan percintaan antara Sharon Pogue (Jennifer) dan Catch (Caviezel). Semuanya bermula apabila Sharon, pegawai polis terperangkap dalam situasi mencemaskan apabila dia hampir ditembak mati oleh penjahat.

Namun, nasibnya baik apabila lelaki misteri bernama Catch datang menyelamatkannya. Sharon yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah, akhirnya jatuh cinta dengan Catch tanpa menyedari dia sebenarnya pernah bertemu Catch sebelum ini.

Filem seterusnya, House Of Wax pula disiarkan pada 29 April. Ia mengisahkan sekumpulan remaja dalam perjalanan menyaksikan perlawanan bola sepak. Namun segala kegembiraan hancur apabila mereka terjebak dengan satu pembunuhan kejam yang cukup mengerikan di sebuah perkampungan kecil.

Mereka berusaha mencari jalan keluar bagi menyelamatkan diri masing-masing. Filem yang padat dengan aksi seram ini dibintangi Elisha Cuthbert, Chad Michael Murray, Brian Van Holt dan Paris Hilton.



Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim berkata, lima filem menarik berbentuk komedi, romantik, pembunuhan tragis, seram dan mencemaskan dipilih menghiasi slot ini sepanjang April.



"Kami mahu menyajikan yang terbaik kepada penonton untuk menghiasi slot ini. Bermula dengan Famili In Hiding pada 1 April, slot ini pasti ditunggu penonton dengan empat filem lain, Duplex (8 April), Chasing Liberty (15 April), Angel Eyes (22 April) dan House Of Wax (29 April)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: