Norman tetapkan tiga tahun sebagai sasaran untuk edar lebih banyak filem antarabangsa
BARANGKALI jumlah cetakan agak kecil - 19 cetakan di seluruh Malaysia ditambah dua lagi di Brunei, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim yakin pengedaran Sunshine Barry & The Disco Worms atau Disco Worms menjadi perintis untuk memperkukuhkan nama mereka di peringkat antarabangsa.
Percaya dengan potensi besar yang dimiliki filem animasi dari Denmark arahan Thomas Borch-Nielsen itu, Norman menetapkan tiga tahun sebagai sasaran untuk mengedarkan lebih banyak filem antarabangsa sebelum menerbitkan sendiri produksi bahasa asing.
Norman turut melihat pengedaran filem daripada pengarah yang pernah memenangi antaranya Anugerah Filem Fantasi di Festival Antarabangsa Brussels, Festival Robert dan beberapa pengiktirafan lain sekitar Eropah sebagai batu loncatan untuk mengukir langkah lebih serius di peringkat dunia.
“Usaha ini antara proses untuk memperkenal dan mengukuhkan jenama KRU di negara luar kerana kami terpaksa bersaing dengan pelbagai syarikat lain sebelum memperoleh kepercayaan untuk mengedarkan filem ini.
“Ia tidak mudah dilakukan kerana banyak risiko lain yang perlu kami hadapi. Tambahan pula penayangan Disco Worms tidak tertakluk di bawah Skim Wajib Tayang selain terpaksa bersaing dengan judul besar lain seperti Fast & Furious 4 dan pelbagai lagi.
“Percubaan ini agak mencabar dan kerana itu kami tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Apa yang penting kami berusaha menawarkan lebih banyak pilihan judul kepada penonton dan pada masa sama, memperluaskan genre animasi kepada khalayak tempatan.
“Ia bertepatan dengan hasrat KRU Studios untuk menerbitkan lebih banyak filem animasi, terutama dalam bahasa Inggeris untuk memperluaskan skop penonton kami,” katanya.
Norman juga positif pengedaran filem berbahasa Inggeris dapat membantu memperkemaskan langkah mereka dalam menggapai sasaran jangka masa panjang.
Kesungguhan itu katanya, turut membawa tenaga produksi KRU Studios ke India bagi mempelajari karya animasi di negara itu dalam usaha mereka untuk menerbitkan animasi terbaru yang dijangka ditayangkan tahun depan.
Usaha itu secara tidak langsung membantu meletakkan nama KRU Studios pada kedudukan selesa. Di samping itu, kata Norman, kerjasama antara dua negara ini turut membantu memperkayakan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Ini kerana KRU Studios bercita-cita untuk menghasilkan lebih banyak filem animasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Untuk mencapai sasaran itu, mereka tidak boleh terus mengharap kepada tenaga kerja tempatan lalu terpaksa mempelajarinya daripada produksi luar untuk mempercepatkan proses pembikinan.
“India terutama di Hyderabad dan Mumbai memiliki ramai tenaga pakar yang mahir dalam penghasilan filem animasi malah khidmat mereka pernah disalurkan dalam produksi terbitan nama besar pembikin filem dunia.
“Daripada kerjasama ini, kami berharap dapat melatih tenaga kerja tempatan di samping menambah kepakaran jika ingin menjadi pemain yang dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Norman berkata, KRU Studios juga semakin serius dalam memperkayakan katalog mereka apabila bakal tampil dengan sebuah filem epik aksi diadaptasi dari Hikayat Merong Mahawangsa.
Bakal memulakan penggambaran sekitar Jun ini dengan pelakon utama, Stephen Rahman-Hughes, filem itu katanya, akan membabitkan tenaga kerja dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Sweden dan Hong Kong.
Apa yang istimewa kata Norman, filem itu juga bakal mendapat khidmat pengarah seni mempertahankan diri yang pernah menyumbang keringatnya dalam produksi Jackie Chan.
“Mahu atau tidak kita perlu akur akan hakikat pembabitan komponen luar sangat penting untuk meletakkan diri dalam posisi sebagai pemain utama filem di rantau ini,” katanya.
Norman berkata, KRU Studios mampu menarik nafas lega apabila filem terbitan mereka, Cicak-Man diterima meluas malah akan dipasarkan dalam bentuk video di Perancis dan Thailand.
Penerimaan itu, katanya, memberi keyakinan kepada mereka untuk terus melangkah dan semakin kreatif mencipta elemen filem bernuansa universal supaya lebih mudah diterima.
“Usaha itu akan lebih mudah jika diterbitkan dalam bahasa Inggeris, berbanding mempromosikan filem yang berwajah Asia.
“Bukan merendahkan produksi di rantau ini tetapi itu antara cabaran yang terpaksa kita hadapi. Apatah lagi, nama Malaysia agak asing di dunia apabila menyentuh soal pembikinan filem.
“Kami serius untuk memajukan industri filem tempatan, malah berusaha memperbanyakkan penerbitan hingga mampu menjangkau sehingga 12 produksi setahun. Ia tidak mudah terutama bagi kami yang bergerak sebagai penerbit bebas,” katanya.
Sinopsis Sunshine Barry & The Disco Worms
FILEM Disco Worms menceritakan mengenai seekor cacing tanah muda bernama Barry yang bosan dengan kehidupannya sebagai serangga. Di dalam sarang penempatan serangga, cacing adalah golongan yang ditindas dan dipandang rendah oleh spesies serangga lain dan satu-satunya harapan dalam kerjaya mereka hanya menjadi pengurus kelas tengah dalam industri penghasilan baja yang dianggap sebagai kerjaya yang membosankan.
Pada suatu hari, Barry terlanggar sekeping piring hitam yang memuatkan lagu disko lama. Sebaik saja terdengar muzik itu seperti mengalir ke dalam susuk badannya. Tanpa disedari, Barry mula menggoyangkan badannya mengikut aliran rentak muzik tanpa dikawal dan terus menari.
Sejak itu, muncul semangat baru kepada Barry untuk menubuhkan sebuah kumpulan Boogie yang diiringi Donna - pemain drum, Jimmy - pemain gitar, Gloria - vokalis, Tito - pemain bass dan Barry - pemain keyboard dan juga penyanyi utama. Mereka menggelarkan kumpulan ini sebagai Sunshine Barry And The Disco Worms.
Barry mengambil bahagian dalam pertandingan lagu yang ditayangkan secara langsung di seluruh penempatan serangga. Pelbagai halangan terpaksa diharungi Barry dan kumpulannya sehingga mereka tertangkap untuk dijadikan umpan pemancing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: