Saturday, April 11, 2009

Takdir cinta remaja Arni

"Saya melihatnya sebagai seorang yang beriman dan taat pada ajaran agama. Insya-allah saya yakin dan berdoa agar jodoh ini berkekalan." – ARNI




BUKAN mudah untuk cinta zaman sekolah dinoktahkan ke jenjang pelamin. Banyak pasangan yang memasang angan-angan sehidup-semati kecundang di tengah jalan apabila 'cinta monyet' mereka hanya kekal sebagai kenangan di dalam bilik darjah.

Namun, cerita berbeza dilalui penyanyi dan pelakon, Arni Nazira Anuar, 31, apabila cinta zaman remajanya kembali bertaut dengan teman lama, Mohd. Hazrie Wan Mokhtar, 32 (Hazrie).

Berkenalan ketika Arni masih berusia 14 tahun, mereka berdua sememangnya sudah ditakdirkan untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, kedua-duanya perlu melepasi dugaan terlebih dahulu. Mereka mengambil jalan yang 'agak jauh' sebelum bertemu semula dan memahat bahagia.

Semuanya bermula apabila Arni selepas meninggalkan bangku persekolahan memilih bergiat aktif dalam bidang seni di Kuala Lumpur setelah bakatnya dikesan melalui program pertandingan nyanyian, Asia Bagus.




Kenangan cinta mereka berakhir apabila Arni yang pernah popular dengan lagu Cinta Antara Benua berkahwin dengan pelakon dan penyanyi kumpulan Wings, Awie pada 1998.

Takdir menentukan perjalanan rumah tangga Awie dan Arni yang dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Aleeya Antasha, 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 7, berakhir dengan tragedi perpisahan pada bulan Oktober 2006.

Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Pertemuan semula yang tidak dijangka ketika membeli-belah di Kuala Terengganu pertengahan tahun lalu, iaitu kira-kira sembilan bulan memegang status janda, menghangatkan semula kisah cinta Arni dan Hazrie.


ARNI NAZIRA membuat persiapan bersama jiran-jiran tetangga menjelang majlis perkahwinannya di kediamannya di Kuala Terengganu.





Akui Arni, pada mulanya dia tidak menyangka hubungannya dengan Hezrie akan terjalin semula apatah lagi selepas dia gagal dalam perkahwinan terdahulu.

Namun, melihat kesungguhan Hazrie yang menghubunginya semula kira-kira seminggu selepas pertemuan itu kembali menyatukan semula cinta yang terputus sebelum ini.

Malah, peribadi lelaki itu yang ditakdirkan tidak bertemu jodoh lain dalam tempoh perpisahan mereka itu menambat hatinya semula biarpun ketika itu dia masih fobia dengan hubungan bernama perkahwinan.

"Takdir yang menentukan semua ini dan saya percaya satu ketika dulu, jodoh antara kami belum sampai.

"Saya menerimanya dengan reda dan percaya ada hikmah di sebalik semua yang pernah berlaku sebelum ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kuala Terengganu kelmarin.


DUA puteri Arni menerima kehadiran Hazrie sebagai 'bapa baru' mereka.


Beberapa jam sebelum diijabkabulkan, Arni memberitahu Kosmo! dia sudah mengenali hati budi bakal suaminya dan tidak mengambil masa untuk menerima lamaran kontraktor itu.

"Perasaan sayang kepadanya masih ada dalam jiwa saya walaupun lama kami berpisah.

"Saya melihatnya sebagai seorang yang beriman dan taat pada ajaran agama. Insya-Allah saya yakin dan berdoa agar jodoh ini berkekalan," jelasnya dalam nada ceria.

Katanya, sikap suaminya itu yang mengambil berat berjaya mencairkan hati dan berharap lelaki itu bakal membawa perubahan dalam hidupnya.

Menurut Arni, kedua-dua puterinya yang dibawa bertemu Hazrie juga menyenangi hubungan itu lantas menguatkan lagi keputusannya untuk berkahwin sekali lagi.

"Mereka mungkin dah faham dengan keadaan ini sebab sudah terbiasa dengan perkahwinan kedua ayah mereka (Awie). Jadi mereka tidak rasa pelik dengan keadaan ini," kata bintang filem Nafas Cinta itu.

Jelasnya, biarpun selepas bergelar isteri, anak-anak tetap menjadi aset terpenting dalam hidup. Arni juga tidak berhasrat untuk sekali lagi membuat tuntutan terhadap hak penjagaan anak demi kerana tidak mahu mengeruhkan semula hubungan dengan bekas suami seandainya dia muncul dengan tuntutan terhadap dua puteri itu.

"Mungkin selepas ini saya akan mempunyai tanggungjawab sebagai isteri, tetapi saya akan cuba meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak. Mereka tetap menjadi keutamaan saya sebagai ibu," katanya yang akan bersama dengan Hazrie tinggal di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu selepas bernikah.

Cabaran memiliki Arni

Sementara itu, bagi Hazrie, tempoh 'terpisah' dengan Arni satu ketika dahulu dilalui dengan hati yang tenang. Dia akur dengan ketentuan Tuhan Yang Maha Esa yang telah menangguhkan jodoh mereka.


BERTAUT dua hati. Arni dan Hazrie mengikat janji untuk hidup bersama selama hayat dikandung badan.


Ketika Arni meniti populariti sebagai artis di pentas hiburan, dia pula meneruskan langkah sebagai lelaki biasa yang berazam membina kehidupan lebih baik selepas cintanya gagal di tengah jalan.

Ditanya adakah dia berasa terpukul akibat cinta zaman sekolah terputus di tengah jalan, Hazrie menyifatkannya cabaran yang perlu dilaluinya.

"Apabila Arni berkahwin, kami buat hal masing-masing. Kami langsung tak berhubung. Saya cuma mengikuti perkembangannya melalui surat khabar dan televisyen," kata anak kedua daripada lapan adik-beradik ini.

Namun, tidak tepat untuk menganggap Hazrie terus menanti walaupun ketika itu Arni sudah disambar oleh 'hero' filem tersohor itu.

Dia juga pada waktu itu tidak pernah mengharap untuk meraih cinta hatinya itu kembali ke pangkuan satu hari nanti.

"Saya macam lelaki lain yang pernah ada niat untuk berkahwin dengan orang lain. Tapi tak jadi sebab tak ada jodoh. Mungkin sebab saya agak memilih dan susah nak terima orang yang tak sesuai dengan jiwa, jadi saya terus membujang sehinggalah saya bertemu dengan Arni semula," katanya.

Faktor keserasian jugalah yang menyatukan mereka berdua. Sebagai rakan lama, cinta dan persahabatan mengikat erat dua insan ini, apatah lagi mereka pernah berkongsi masa lampau yang sama.

"Perancangan Tuhan mengatasi segala-galanya. Tapi bukan mudah untuk semuanya kembali bertaut. Kami ambil masa, berkenalan semua dan bila sudah yakin, barulah ambil keputusan hidup bersama," jujur akui Hazrie.

Ada harga yang perlu dibayar apabila memilih artis sebagai jodoh dan dia sedar perkahwinan dengan Arni sedikit sebanyak menjadi tumpuan. Namun, Hazrie tidak rasa terbeban dengan hal itu kerana dia mengenali Arni sebagai rakan lama dan bukannya artis.

Mungkin kerana satu ketika dahulu dunia hiburan pernah memisahkan mereka, Hazrie lebih senang Arni menjadi suri rumah tangga sepenuh masa berbanding meneruskan karier di pentas glamor selepas ijab kabul mereka.

"Saya faham hobinya suka menyanyi. Saya tak paksa dia berhenti, tapi lebih baik memberi tumpuan sepenuh masa kepada keluarga," pintanya.

Menyedari minat mendalam isterinya Hazrie memberi keizinan jika Arni melibatkan diri sekiranya ia bercorak keagamaan dan dakwah menyeru ke arah kebaikan.

Arni dan Hazrie memulakan hidup sebagai pasangan suami isteri selepas bernikah di Masjid Abidin, Kuala Terengganu selepas solat Jumaat petang semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: