Saturday, April 11, 2009

Pengkritik dimalukan pengajar - AF7 jadi medan perbahasan


BEBERAPA tenaga pengajar AF7 dilihat seolah-olah sudah tidak mampu membendung rasa, lalu menumpahkan rasa tidak senang mereka terhadap pengkritik.


DEWAN Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bertukar hangat semasa konsert keempat Akademi Fantasia 7 (AF7) minggu lalu. Bukan disebabkan aksi dan persembahan pelajar-pelajar, sebaliknya hangat apabila dua tenaga pengajar mula berani menunjukkan 'belang' mereka.

Siti Hajar Ismail dan Fatimah Abu Bakar dilihat seolah-olah tidak mampu lagi menahan 'gelora' di jiwa apabila melihat anak didik mereka teruk dikritik. Lalu dua pengajar ini mengambil pendirian untuk bangun dari tempat duduk masing-masing dan 'menjawab' kritikan tentang anak didik mereka yang 'dijentik' oleh pengkritik AF7.

Menjadi sejarah AF apabila dua tenaga pengajarnya yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing memberi penerangan semula kepada pengkritik yang dianggap kurang memahami format AF.

Rupa-rupanya, tindakan tenaga pengajar itu sudah mendapat lampu hijau daripada tenaga produksi AF7 dan pihak Astro.

Demikian yang diterangkan oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul. Awal-awal lagi, kata Khairul, dia sudah menjangkakan berlaku adegan 'berbahas' sesama tenaga pengajar dan pengkritik tetap atau undangan.

"Tidak dinafikan, pihak kami sudah lama merancang perkara ini (berbahas semula) untuk musim terbaru AF7.

"Kami ingin memberi peluang kepada tenaga pengajar sekiranya memiliki waktu mencukupi untuk berhujah sambil menjelaskan keadaan sebenar pelajar dan AF7.

"AF bukanlah semata-mata pertandingan menyanyi, tetapi pertandingan untuk mencari seorang penghibur berwibawa.

"Oleh kerana itu, pihak produksi AF7 menyediakan mikrofon supaya memudahkan tenaga pengajar untuk memberi komen bertujuan menjelaskan sebarang kekeliruan pengkritik.

"Elemen ini sudah dirancangkan, malah tiada salahnya kalau kita melihat situasi yang berlaku ini kerana ia bagus bertujuan menampilkan pembaharuan kepada AF7," ujarnya ketika ditemui selepas konsert berkenaan tamat Sabtu lalu.

Ada pro dan kontranya apabila tenaga pengajar dianugerahi 'kuasa' penuh untuk membidas kembali kenyataan pengkritik.

Insiden terawal mula berlaku apabila guru motivasi dan bahasa Inggeris, Cikgu Fatimah memberikan penjelasan tentang AF yang disifatkan bukan sebagai medan pertandingan nyanyian semata-mata.


HAFIZ kekal cemerlang.


Kejadian kedua apabila Siti Hajar, guru vokal persembahan, mulai menjelaskan kepada pengkritik bahawa pelajar tidak memilih lagu yang dinyanyikan, sebaliknya dipilih oleh tenaga pengajar dan pihak produksi.

Sedikit demi sedikit, kritikan tajam pengkritik tetap AF7, Edrie Hashim dan Adlin Aman Ramli mula bertukar 'berbudi bahasa' gara-gara tindakan mengejutkan tenaga pengajar.

Selain Edrie dan Adlin, Siti Nurhaliza dan Amy Search dijemput sebagai pengkritik undangan.

Dalam konsert minggu keempat itu, AF7 menzahirkan apresiasi kepada dua penyanyi tersohor tanah air, Siti dan Amy apabila pelajar dikehendaki mendendangkan lagu-lagu popular dua nama hebat itu dalam industri seni.

Pengkritik tidak puas hati

Enggan berselindung, Adlin yang sebelum ini dikenali kerana kelantangan pendapat peribadinya memberi komen mengakui tidak berpuas hati dengan kritikan balas yang disuarakan tenaga pengajar.

"Mereka patut berikan respons kepada kami selepas konsert berakhir, bukan bersuara semasa konsert sedang disiarkan.

"Lebih bagus kita berbincang dengan baik demi membentuk pelajar AF7 agar mereka boleh memperbaiki diri sekali gus mencapai kejayaan dalam bidang seni.

"Saya memang kurang berpuas hati dengan cara berbahas semula selepas kami beri kritikan," kata Adlin serius.

Komposer dan pengkritik tetap Edrie mencelah: "Kami mula berubah angin sedikit untuk memberi kritikan padahal kami hendak sampaikan komen yang membina kepada pelajar."

Penyanyi rock dan pengkritik undangan iaitu Amy berkata, tanggungjawab pengkritik bukanlah dengan tujuan menjatuhkan perasaan atau air muka pelajar.

"Mereka memang menyanyi dengan bagus, tetapi tiada apa yang hendak dibuktikan kepada penonton.

"Lantaran itu, kami sekadar beritahu apa yang kurang serta apa yang terlebih. Barangkali ada tenaga pengajar yang tersinggung, namun kami tidak bermaksud untuk buat begini.

"Kami ambil berat soal para pelajar AF7 dengan memberikan semangat dan kriteria penting untuk mereka menjadi bintang," jawab Amy.

Seorang lagi pengkritik undangan, Siti Nurhaliza turut bersetuju dengan pandangan ketiga-tiga pengkritik tersebut.

"Kami memang dipanggil untuk mengkritik. Oleh itu, setiap kritikan perlu diterima dengan hati terbuka.

"Kami berkongsi pengalaman yang dimiliki sepanjang terlibat dalam dunia seni, namun saya tidak boleh menyalahkan tenaga pengajar kerana mereka selalu bersama pelajar ibarat sebuah keluarga.

"Kesimpulannya, kami sudah menjalankan tugas kami, mereka juga sudah membuat tugas mereka," jelas Siti.

Dilihat secara rambang, cara tenaga pengajar mencelah ketika pengkritik memberikan kritikan sedikit sebanyak boleh menjatuhkan kredibiliti pengkritik. Ini dibuktikan apabila selepas kritikan mereka diserang balas, pengkritik jemputan dilihat semakin sukar memberi lebih banyak komen. Barangkali bimbang air muka mereka dijatuhkan sekali lagi.

Menjawab semula senario tersebut, Khairul berkata, tindakan berhujah semula menjadi sebahagian daripada format terbaru AF7.

"Kami tidak bermaksud langsung untuk mewujudkan konflik atau atmosfera hangat dalam konsert mingguan AF7, namun perkara ini menjurus mengenai penyelesaian, mengapa tidak sesuai menyanyi atau berpakaian sebegini.

"Kalau ada pengkritik yang terasa hati, ini semua terpulang kepada mereka. Bahkan, saya tetap nampak Edrie dan Adlin memberikan komen pedas.

"Jangan timbulkan sebarang kesimpulan, sebaliknya kalau fakulti inginkan sesi membalas semula kritikan, kami membenarkan sahaja tanpa ada sebarang masalah. Tiada salahnya kalau AF menampilkan sedikit kelainan," katanya.


RUBISA (tengah) akhirnya tersingkir awal.


Difahamkan, pengkritik awal-awal lagi sudah diberikan penerangan serta garis panduan untuk mengeluarkan kritikan mereka kepada pelajar. Sudah pasti, mereka sedia maklum dan mengerti apa yang perlu dikatakan.

Tidak dinafikan, konsep yang diperkenalkan ini dilihat seperti tenaga pengajar berusaha untuk mempersoalkan kredibiliti pengkritik yang menyuarakan pendapat mereka.

Suka atau tidak, mereka harus akur dengan permainan yang cuba ditampilkan dalam AF7 bagi menghasilkan transformasi setelah tujuh musim menemui audiens.

Apa yang dikesalkan apabila pihak produksi AF7 dan Astro seolah-olah tidak peka dengan perasaan pengkritik yang dimalukan di depan khalayak kerana pandangan yang mereka luahkan dengan mudah ditepis oleh tenaga pengajar. Malah kehadiran pengkritik AF7 juga boleh diumpamakan boneka dan hanya dilihat sekadar memeriahkan konsert yang berlangsung.

Kalau sudah demikian caranya, lebih elok kalau tenaga pengajar sahaja yang duduk di kerusi pengkritik. Sendiri mengajar, sendiri beri penilaian. Itu paling selayaknya!

Giliran Zizi, Rubisa tersingkir

Umum mengetahui dua pelajar kelahiran Sabah, Zizi dan Rubisa, masing-masing yang mempunyai bakat nyanyian bagus menjadi pelajar selanjutnya yang disingkir selepas Adila, Rini dan Obri mengucapkan salam perpisahan.

Dengan memperlihatkan format jari menjadi juri daripada awal bermulanya AF hingga kini kerana penonton diberikan kebebasan mutlak bagi mengundi pelajar kesukaan mereka, maka bintang sebenar pasti tidak dapat dilahirkan kalau itu caranya.

Zizi dan Rubisa dalam konsert keempat jelas mempamerkan bakat yang dianugerahkan secara konsisten.

Ibarat ada agenda lain, barangkali ada undian semula akan dilakukan oleh AF7 kerana ramai yang kurang berpuas hati dengan penyingkiran dua pelajar kelahiran Sabah itu.

Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina dilihat tidak mampu melontarkan perasaan sedih serta kekecewaan apabila dua anak didiknya yang baru sahaja hendak menunjukkan bakat telah meninggalkan akademi.

Meskipun tersingkir dan tidak meraih undian tinggi daripada penonton, pemilik nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mohd. Tahil atau Zizi tetap pulang dengan bermaruah.

Zizi, 24, yang memperdengarkan lagi Amy, Aku Dah Bosan, menjadi antara pelajar yang berjaya mencuri perhatian penonton pada malam itu.

"Paling penting, saya keluar dengan bermaruah kerana saya sudah melakukan sehabis baik untuk konsert keempat ini. Hidup harus diteruskan," jawabnya tenang, namun ada riak kekecewaan pada wajahnya.

Sama halnya dengan Rubisa yang menyampaikan lagu Tiada Lagi. Dia sudah memberikan sebuah persembahan yang memukau, hakikatnya penonton seolah-olah terlupa kewujudan pelajar tersebut.

Pernah menyertai sebuah program realiti lain sebelum ini, Rubisa mengakui tidak akan menyertai mana-mana program realiti selepas berakhirnya AF7.

"AF merupakan sebuah pertandingan yang mencungkil bakat penghibur baru terbaik yang terdapat di negara ini," jelas wanita berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, pelajar kelahiran Kuching, Sarawak, Hafiz atau Mohd. Hafiz Mohd. Suip menunjukkan kecemerlangan untuk kali keempat berturut-turut apabila dia berjaya mengalunkan lagu Cinta Ini dengan baik dan penuh bertenaga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: