Gabungan baru dan lama menghangatkan persembahan di malam kemuncak anugerah ke-22 ini
KELINCAHAN penghibur berusia 57 tahun, Anita Sarawak di pentas sentiasa memukau. Tenaga serta aura luar biasa yang dimiliki penyanyi hebat ini sentiasa menyalur kehangatan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.
Biar bersilih ganti penyanyi datang dan pergi, Anita kekal di hati pencinta bakatnya dan berdiri selesa dalam liga yang tersendiri.
Tidak tercabar, tiada tandingan membuatkan nama yang begitu sinonim dengan lagu rancak seperti Tragedi Buah Epal dan Akhirnya Kini Pasti selain sentuhan balada antaranya Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara terus mekar dalam sanubari pencinta seni.
Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok sekali lagi menyenaraikan nama Anita sebagai antara penghibur yang bakal menghangatkan siaran dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu.
Menyuntik kelainan selain meraikan kehebatan aksi dua bintang berbeza era, Anita yang membuka tirai persembahan dengan Akhirnya Kini Pasti akan ditemani Stacy yang membawakan lagu terbarunya, Gagap.
Bertarung kreativiti dan kekuatan koreografi, kedua-dua penyanyi hebat ini akan menghangatkan pentas dengan gerak tari memukau digarap istimewa untuk kemuncak ABPBH 2008.
Seperti kata Stacy, mengadakan persembahan pada kemuncak acara hiburan berprestij seperti ABPBH 2008 sememangnya menjadi impian terutama untuk penyanyi yang sedang bertapak sepertinya.
"Latihan dibuat sekitar dua minggu kerana saya mementingkan kesempurnaan setiap kali menaiki pentas. Biarpun sudah biasa membawakan lagu Gagap, latihan tetap dipergiatkan kerana saya perlu mencari kelainan untuk acara berprestij seperti ABPBH 2008," katanya.
Selaras dengan objektif penganjuran ABPBH 2008 yang mengiktiraf penggiat seni pelbagai cabang hiburan, peranan peminat yang selama ini menjadi tunggak pemacu industri juga tidak dipinggirkan.
Justeru persembahan yang dirangka memenuhi kehendak serta kepelbagaian cita rasa kelompok pencinta seni berbeza usia dan kegemaran.
Aspek utama yang ditekankan pada ABPBH 2008 adalah sajian lagu menghiburkan, mencakupi kepelbagaian genre yang membentuk acuan kepada industri hiburan.
Keistimewaan lain yang dijangka memberi warna pada malam kemuncak ABPBH 2008 ialah gabungan kumpulan rock generasi baru, Kristal bersama tiga penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, L Ramlie dan Jefrydin.
Gandingan mereka dijangka meledakkan lagi kehangatan ABPBH 2008 apabila bersatu membawakan medley popular seperti Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa.
"Elemen menarik ini mampu memberi warna kepada perjalanan ABPBH 2008, malah dijangka membangkitkan kejutan kerana jarang gandingan seperti ini dibawa dalam acara hiburan yang menerima liputan meluas", kata Pengerusi Pengelola ABPBH 2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.
Jamal, Siti, Faizal Tahir merancakkan suasana ABPBH2008
Membariskan nama terbaik, popular serta terkini, acara gemilang itu turut mengiktiraf kehebatan bakat muda seperti Aizat, Farah Asyikin, Faizal Tahir dan Hujan apabila diberi ruang mempamerkan kelebihan mereka di pentas ABPBH 2008.
Setiap mereka akan mempersembahkan lagu popular dan lebih istimewa, buat pertama kali Faizal memperdengarkan secara eksklusif single terbaru yang sedang hangat mendapat putaran radio, Bencinta.
Edisi terbaru ABPBH kata Hanizam, memberi penghormatan kepada pelapis industri kerana mereka ialah penerus legasi yang dicetuskan oleh penggiat seni terdahulu.
"Tiada yang lama maka tiada yang baru. Dalam gemerlapan kerdipan bintang yang diraikan, ABPBH 2008 tidak sesekali meminggirkan mereka yang berjasa serta memberi sumbangan kepada pembangunan industri.
"Peranan mereka sentiasa dikenang ABPBH dan kerana itu slot persembahan dirangka untuk memberi kepuasan kepada semua," katanya.
ABPBH 2008 juga bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu terbaru dipetik daripada produksi Lantera Timur, Di Taman Teman.
Satu segmen khas juga disediakan menyaksikan gandingan penyanyi seperti Jamal Abdillah, Sarah Raissuddin, Ayu (OIAM) dan Diddy yang mempersembahkan medley lagu popular sepanjang zaman.
ABPBH 2008 bakal digamatkan dengan gabungan dua pengacara kreatif, Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira yang diberi tanggungjawab berat untuk menerajui program selama dua jam setengah itu.
Ia diserikan dengan kehadiran nama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi & Ekin, Lisa Surihani, Farid Kamil, Fizo Omar, AG, Kieran, Zizie Ezette, Nora Danish, Que Haidar & Linda Jasmine, Maya Karin, Eizlan Yusof, Amy Mastura, Norish Karman dan Umie Aida sebagai penyampai trofi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: