
SELALUNYA sebagai anak kepada jutawan filem berjaya, Syamsul Datuk Yusof dilihat sering mengusung kereta-kereta mewah baik dalam filem mahupun dalam kehidupan realitinya. Secara tiba-tiba sahaja kini dia beralih arah kepada motorsikal dan berbangga memegang gelaran mat rempit sejati.
Lumba haram, berbahasa pasar yang kasar, dan bertumbuk dilihat cukup sebati dengan dirinya. Bahkan, Syamsul turut tidak ketinggalan mengusung ke hulu hilir kekasih hati yang seksi dan montok bersama motor kesayangan.
Sebenarnya, itu semua hanya gambaran daripada sedutan filem terbaru arahannya sendiri yang berjudul Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam.
Dalam filem yang mengetengahkan sisi negatif Kuala Lumpur itu turut menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama di samping, Diana Danielle, Salina Saibi, Nabila Huda, Aaron Aziz dan Shaheizy Sam.
Syamsul yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Bohsia baru-baru ini sempat menceritakan pengalamannya menjadi mat rempit.
Mengakui ia satu pengalaman baru dan menyeronokkan, Syamsul bagaimanapun terlebih dahulu mengkaji dan bergaul dengan golongan mat rempit supaya lakonan tidak nampak kekok.
"Saya kenalah kaji subjek sebelum saya ketengahkan dalam filem. Banyak yang saya pelajari dan apa yang saya tonjolkan dalam filem ini hanyalah luaran sahaja.
![]() |
| |
"Kalau ikutkan ia lebih teruk, tetapi takut tidak lepas pula untuk tayangan. Ini pun diklasifikasikan sebagai 18PL," ujarnya tentang filem kedua selepas kejayaan filem Evolusi KL Drift yang mengaut RM4.5 juta tahun lalu.
Tambahnya, tujuannya membikin filem yang mencerminkan sisi negatif anak muda di Kuala Lumpur ini bukan untuk mengambil kesempatan terhadap gejala sosial yang berlaku tetapi ingin menyalurkan mesej berguna kepada penonton.
"Sebagai pembikin filem, kita hanya boleh menghiburkan orang tetapi bukan 'sekolahkan' penonton. Saya buat filem dan biar penonton yang buat penilaiannya.
"Kalau ada yang tersedar dan insaf, itu sudah bagus. Kalau yang tengok sebagai hiburan pun okey juga," jelasnya.
Susah Cari Bohsia
Meskipun filem ini diterbitkan oleh dua gergasi filem tempatan, Skop Prodction Sdn. Bhd., dan Grand Brilliance Sdn.Bhd tetapi hakikatnya begitu sukar untuk pengarah muda ini mendapatkan pelakon yang benar-benar sesuai.
Tidak kurang ada pelakon yang menolak tawaran, gara-gara judul filem ini yang agak kasar dan menonjolkan sisi negatif.
"Ada yang hampir setuju tetapi bila dengar sahaja judulnya Bohsia, terus tidak jadi. Saya faham itu hak masing-masing dan saya tidak boleh berkata apa.
![]() |
| GAYA seorang pengarah yang cukup serius di lokasi penggambaran, Syamsul mewarisi sikap bapanya kala bekerja. |
"Mungkin ada hikmah di sebaliknya sebab selepas itu saya bertemu dengan dua pelakon wanita yang benar-benar cocok, iaitu Nabila Huda dan Salina Saibi," ceritanya.
Pasti banyak yang tertanya-tanya, mengapa Bohsia menjadi pilihan anak muda ini? Sudah tidak ada judul lain yang hendak diguna pakaikah atau sekadar mahu mencari kontroversi murahan melalui kisah sosial dan hitam seperti ini?
Apa juga pandangan, Syamsul tidak kisah. Dia juga tidak bimbang tentang judul mahupun status 18PL yang dilabelkan terhadap karyanya itu, jauh sekali merasakan ia akan mejejaskan bilangan penonton.
"Saya sudah buat yang terbaik begitu juga dengan pelakon dan seluruh krew produksi. Ia sebuah kisah masyarakat dan saya yakin ada penonton yang ingin menonton.

"Tentang judulnya, memang saya ada berbincang dengan penerbit iaitu bapa saya dan dia memang tidak setuju pada mulanya kerana beranggapan judul ini agak keras.
"Selepas dia berbincang dengan pihak Lembaga Penapisan Filem, Bohsia dikekalkan, cuma ditambah Jangan Pilih Jalan Hitam, sekurang-kurang orang tahu ia sebuah kisah masyarakat," terangnya.
Nabila, Salina cedera?
Filem aksi yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta ini menyaksikan pelakonnya membuat kebanyakan aksi lagak ngeri sendiri.
Ini termasuklah pelakon wanitanya. Nabila sendiri mengakui takut tetapi tetap mencuba aksi wheelie supaya wataknya benar-benar menjadi dan tidak dikatakan cuba menipu penonton.
Antara adegan lasak yang mencabar apabila membabitkan adegan dia menjadi pembonceng dan terpaksa berpaut kepada penunggang dan dalam masa sama harus mengangkat sebelah tangannya.
"Silap teknik, kepala saya akan mencium jalan raya. Takut sangat masa hendak buat aksi wheelie. Saya berlatih dulu dengan mereka yang pakar bawa motor, dan masa penggambaran nasib baik semuanya berjalan lancar.
"Memanglah muka saya dalam filem nampak macam seronok sangat tetapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Itulah kali pertama dan terakhir saya buat aksi macam itu," kata Nabila.
Aksi Nabila itu turut mendapat pujian daripada Salina yang tidak menyangka pelakon bertubuh kecil itu mampu untuk melakukan aksi sebegitu.
"Masa Nabila buat aksi itu, saya yang berada di tepi kagum sangat. Macam tidak percaya dia dapat buat. Saya juga sepatutnya diminta buat aksi sedemikian tetapi nasib baik tidak jadi.
![]() |
| ANAK dan bapa, Datuk Yusof Haslam menjadi tulang belakang kejayaan Syamsul. |
"Cuma babak yang sukar untuk saya ialah ketika bergaduh dengan bapa lakonan Nasir Bilal Khan, saya minta dia tumbuk dan pukul saya betul-betul supaya rasa sakit terlihat di skrin.
"Lebam-lebam jugalah badan saya dibuatnya kerana terpaksa buat babak yang sama berulang kali sehingga pengarah puas hati," katanya yang kini dalam pantang selepas melahirkan anak sulung.
Filem ini akan ditayangkan bermula 23 April di 60 pawagam seluruh negara termasuk tiga di Singapura.
Filem Bohsia,Jangan Pilih Jalan Hitam menceritakan tentang Amy (Salina) dan Tasha (Nabila) yang mencari pengisian hidup di jalan yang salah dan terjebak dalam dunia rempit setelah dipengaruhi kekasih masing-masing. Amy bersama Acai (Shaheizy Sam), manakala Tasha bersama Muz (Syamsul). Kedua-dua pasangan ini saling bermusuhan antara satu sama lain. Namun, dalam masa yang sama Muz cuba memikat Aishah (Diana Danielle) seorang gadis baik dan naif. Azam (Aaron) pula seorang 'bapa ayam' yang cuba memerangkap Amy untuk dijadikan pelacur.
Filem ini adalah sebuah filem yang dianggap mampu memenuhi selera jiwa remaja yang dahagakan aksi-aksi menarik terutamanya dalam perlumbaan motosikal di jalanan.
![]() |
| KASAR dan liar, sedutan dari filem Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam. |
Selain memaparkan adegan perlumbaan, kisah dan perjalanan cerita yang disampaikan amat menarik dan mampu memberi peluang kepada penonton mampu menghayati kehidupan sebenar di sebalik dunia remaja yang liar, ganas dan penuh dengan keseronokan yang kosong, tidak bermakna.
Sebagai pengarah muda, Syamsul mampu menterjemahkan kehendak jiwa muda dengan gaya santai yang sangat cocok dengan golongan sebayanya.




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: