Pernah meminta untuk menyertai pertandingan mendaki tembok kategori lelaki, pendaki tembok wanita No. 1 Malaysia ini biasa berbaju kurung, rajin mengemas rumah dan pandai memasak.
|
|
"SAYA bukan tomboi. Cuma kasar sedikit berbanding wanita lain. Saya menyukai lelaki dan memakai skirt, kasut tumit tinggi atau baju kurung. Kena ikut majlislah," ujar pendaki tembok (wall climber) No. 1 Malaysia, Salfarina Mohd. Drus, 27, sambil tertawa.
Melihatkan fizikalnya yang tegap serta berotot, terutama di bahagian lengan, soalan seperti itu mudah saja diajukan untuk mendapatkan kepastian. Tambahan pula, si gadis sering berambut pendek dan berseluar pada kebanyakan masa.
"Sudah hampir 11 tahun saya memanjat tembok. Dalam tempoh itu, dua jam sehari setiap tiga hari seminggu saya meluangkan masa untuk berlatih memanjat tembok artifisial, dan sehari dalam seminggu saya memanjat tembok betul seperti di Batu Caves. Sehingga hari ini, sudah habis semua bukit di Semenanjung saya panjat.
"Saya tidak melakukan sebarang latihan mengangkat berat. Latihan yang saya jalani lebih kepada chin-up, tekan tubi, berjoging dan latihan memanjat tembok.
"Mungkin kerana sudah terlalu kerap melakukannya, ia kelihatan mudah. Tetapi percayalah, 10 tahun yang lalu tekan tubi juga amat sukar bagi saya," jelas Salfarina.
Jatuh dari tembok dan terkehel kaki juga perkara biasa baginya.
Bekerja sebagai pembantu koordinator operasi sepenuh masa untuk syarikat yang menawarkan aktiviti riadah luar, Nomad Adventure Sdn. Bhd., memberi ruang kepada Salfarina untuk terus menyelami bidang yang dicintainya ini.
Lantaran itu, peluang untuk menyertai pertandingan mendaki tembok jarang benar dilepaskan.
"Pihak syarikat memang banyak membantu dan memberi sokongan, tetapi sebahagian besar kos penyertaan saya tanggung sendiri. Disebabkan itu saya terpaksa memilih pertandingan yang ingin disertai.
"Pertandingan (memanjat tembok) di Malaysia tidak banyak untuk wanita. Yang ada boleh dikatakan saya sapu bersih. Tapi saya tidak boleh berpuas hati setakat itu saja. Saya mahu pergi lebih jauh.
"Sehinggakan saya pernah meminta untuk bertanding dalam kategori lelaki di Malaysia. Pilihan lain ialah saya kena pergi ke luar negara.
"Di Singapura, Korea, Perancis, atau Australia, sambutan daripada kalangan peserta wanita sangat tinggi dan saya tidak ada masalah untuk mencari cabaran baru," ujar Salfarina.
Mengisi masa rehat sebelum dan selepas waktu kerja dengan latihan, tidak kira siang atau malam, Salfarina menggandakan jumlah itu kepada empat jam sehari sekiranya pertandingan yang disertai sudah terlalu hampir.
|
|
Maka tidak hairanlah jika tubuhnya kelihatan agak maskulin!
Namun, melihatnya menyusun pergerakan di permukaan tembok, Salfarina masih menunjukkan kelembutan. Langkah yang diambil cukup berhati-hati daripada memakai harness kepada mencangkuk quickdraw pada tali sehinggalah kepada meregangkan tubuh untuk mencapai puncak pendakian.
"Ada masa saya diperlekehkan, terutama oleh pendaki amatur atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini. Saya tidak ambil hati kerana mereka tidak mengenali saya.
"Namun dalam kalangan teman-teman, atlet profesional atau pengunjung tetap ke tempat-tempat saya berlatih, mereka banyak memberi sokongan.
"Mereka juga tidak ada masalah untuk berlatih bersama saya," jelas anak kelahiran Bukit Tinggi, Klang, Selangor ini.
Malah, ada teman-teman berlatih lelaki Salfarina di Taman Lasak Shah Alam mengakui anak kedua daripada sembilan adik- beradik ini memiliki tenaga yang sama kuat dengan lelaki.
"Kalau dia memberi sepenuh perhatian kepada apa yang dilakukan, tidak kiralah dia bertubuh kecil atau besar, tenaganya sama seperti lelaki," kata Norman, 21.
Seorang lagi teman berlatih, Jalilah Jaafar Sidek, 23, mengangkat Salfarina sebagai jurulatih yang bertanggungjawab membantunya menyemai minat dalam sukan tersebut.
"Dia sangat bersemangat dalam apa yang dilakukannya. Dia seorang yang akan mengerah diri untuk meraih sesuatu. Hampir setiap hari dia menjalani latihan memanjat tembok," kongsi Jalilah.
Adik perempuan Salfarina, Muzzarofah, 21, dengan pantas menyifatkan kakaknya itu tegas dan muktamad dengan keputusan yang telah dibuat. Malah, dia juga tidak dapat menafikan cemburu dengan pencapaian kakaknya itu.
"Dia sangat bermotivasi dan dapat melakukan apa yang ingin dilakukannya dengan baik. Tentulah saya cemburu," katanya yang lebih banyak menunjukkan ciri kewanitaan.
Sebagai ibu, Rosminah Ahmad, 47, juga risau memikirkan pilihan anak perempuan sulungnya itu.
"Mula-mula memang saya melarang sebab saya tak tahu sukan yang dia buat. Terkejut juga sebab dia perempuan dan sukan itu sangat lasak.
"Tapi selepas dia menang pertandingan di Kelantan pada 2003, saya mula terbuka hati untuk menerima pilihannya," katanya. Menurut Rosminah, zaman kecil Salfarina dipenuhi dengan aktiviti memancing, bermain basikal dan mengikut ke mana saja abang sulungnya pergi.
Mendidik anak-anaknya untuk berdikari, Rosminah berkata, kesemua anak perempuannya termasuk Salfarina boleh memasak dan melakukan kerja rumah. Ada juga sumber yang mengatakan Salfarina sangat pandai memasak!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: