Monday, April 20, 2009

'Saya bukan cari gaduh'

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Michael Chong, 61, telah menyelesaikan 40,000 kes ah long dan orang hilang sepanjang 22 tahun lalu. Kini tugasnya banyak membantu ‘orang yang telah mati’.




"SAYA tak ada duit. Macam mana saya nak bayar? Bukan saya yang pinjam. Bekas suami saya, seorang akauntan profesional, dia yang pinjam.

"Kami sudah lama bercerai tapi kenapa pula saya yang kena bayar? Anak-anak saya masih bersekolah. Tolonglah lepaskan saya. Biar saya hidup dengan anak-anak pun sudah cukup. Saya tak ada duit," rayu seorang wanita berumur 50-an.

Daripada bersuara tinggi, nadanya berubah menjadi sayu. Sebak mengisi dada dan akhirnya dia menggugurkan benteng amarah. Kata-katanya disusuli linangan air mata.

"Tolonglah. Saya tak bersalah," sambungnya.










Nah, boleh anda bayangkan berdepan dengan senario seperti itu 30 kali sehari, setiap hari?

Menerima aduan itu dengan tenang, Datuk Michael Chong juga hanya mampu menahan sedih. Merah merona mukanya tatkala tidak mampu berkata apa.

Apa yang pasti, permintaan wanita itu untuk menyelesaikan hutang bekas suaminya tidak mampu dipenuhi seratus peratus.

"Saya hanya boleh mengurangkan jumlah itu. Saya perlu mendapatkan situasi menang-menang. Inilah senario yang saya perlu hadapi setiap hari.

"Isteri yang merayu minta diselesaikan hutang suami kepada ah long, wanita warga asing yang ditinggalkan suami tempatan, ibu bapa yang kehilangan anak dan macam-macam lagi," kata Michael yang dilantik sebagai Penasihat dan Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkuat kuasa serta-merta Rabu lalu.

Bagi kes yang mampu diselesaikan, ia akan diselesaikan oleh Michael. Jika ada yang dapat disegerakan, akan disegerakan. Tetapi jika tidak dapat dibantu, Michael hanya dapat menjelaskan kedudukan sebenar, seperti dari segi kewangan, bagi meredakan keadaan.

"Saya sendiri pernah berasa susah. Saya tahu apa rasanya bila kita minta tolong dan tak ada orang boleh tolong. Semasa berumur 17 tahun, ayah saya meninggal dunia. Emak sakit dan tak boleh bekerja. Adik saya ada tiga orang lagi yang masih bersekolah. Adik bongsu baru berumur lima tahun.

"Waktu itu kami terpaksa minta tolong di sana sini. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baik hati membantu. Kami diberi RM50 sebulan dan saya tidak akan lupa jasa mereka sampai bila-bila," kongsinya yang berasal dari Batu Arang, Selangor.

Pada waktu itu juga, kata Michael, dalam seminggu hanya pada Sabtu dan Ahad mereka dapat menikmati makanan yang baik.

"Hari lain kami makan ubi kayu yang emak tanam di belakang rumah saja. Makanan yang baik itu ibu dapat daripada lebihan kenduri tempat dia bekerja cuci pinggan," tambahnya.

Kata Michael, kes ah long dan individu hilang adalah kes yang paling mudah untuk ditangani.

"Dengan bantuan media, orang ramai cepat memberi reaksi. Jadi kes orang hilang sangat mudah diselesaikan. Kes ah long pula terbahagi antara peminjam hendak atau tidak hendak membayar hutang.

"Kalau hendak bayar hutang, ah long pun tidak menolak untuk berbincang. Yang paling sukar ialah kes warga asing kerana ia melibatkan birokrasi," jelas Michael.

Tak takut mati

Terkenal sebagai individu yang lantang bersuara menentang penindasan ah long, ada yang menyifatkan tindakannya itu seperti tindakan berani mati. Benarkah Michael tidak takut mati?

"Saya bukan nak cari gaduh dengan ah long. Saya sekadar bertindak sebagai orang tengah antara peminjam dengan ah long. Peminjam mengharapkan ah long tidak menipu mereka ketika membayar hutang dan tugas saya ialah memastikan itu tidak berlaku. Ah long juga suka kerana mereka dapat wang mereka semula."


MICHAEL Chong mengendalikan 30 kes aduan setiap hari.



ORANG Melayu juga minta tolong daripada Michael.






SITUASI beremosi sudah biasa dilaluinya.


Susulan daripada itu, Michael pernah dituduh menyebelahi ah long malah mendalangi kegiatan ceti haram itu.

"Kalau saya orang di sebalik ah long, kenapa pula saya suruh polis tahan ah long? Begini ya, apabila peminjam meminjam wang dan melarikan diri, ah long yang menjadi mangsa.

"Bukan mereka yang paksa peminjam untuk meminjam wang. Mereka hanya membantu apabila ada yang memerlukan bantuan. Jadi tidak timbul isu saya membela ah long.

"Ada banyak ah long di seluruh negara dan mereka ada banyak masalah peminjam tidak bayar balik wang mereka. Mereka pula tidak ada ketua untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Jadi kedudukan saya di tengah-tengah, membantu mengurangkan jumlah yang perlu dibayar peminjam dan pada masa yang sama membiarkan peminjam membayar hutang dalam keadaan tidak tertipu. Saya hanya berlaku adil," jelas anak sulung daripada lima adik-beradik itu.

Membantu menyelesaikan kira-kira 40,000 kes sepanjang bertugas sejak lebih 22 tahun yang lalu, kes yang paling sukar untuk dilupakan ialah apabila beliau gagal membantu menyelesaikan kes orang sakit.

"Disebabkan saya lambat tolong, dia meninggal dunia. Kes seperti itu memang buat saya kecewa dan susah untuk lupa. Satu lagi kes yang saya paling ingat ialah menyelamatkan mangsa bapa ayam di negara luar," kata Michael.

Bagaimanapun, Michael tidak pernah menghadapi masalah sukar tidur malam.

"Apa yang berlaku di pejabat saya tinggalkan di pejabat. Saya tidak bawa pulang. Penat. Selepas makan malam di luar sebelum pulang ke rumah, saya sambung dengan membaca surat khabar dan kemudian terus tidur.

"Tidur sangat penting untuk saya," ujar bapa kepada empat orang anak yang berumur antara 18 hingga 24 tahun itu.

Mungkin disebabkan keadilan dan prinsip toleransi yang diamalkan, keluarganya tidak pernah dibayangi ancaman daripada mana-mana pihak. "Keluarga saya selamat," katanya ringkas.

Tidak ada yang berdendam, sebaliknya ada yang mengangkatnya sebagai tuhan.

"Saya sudah melakukan kerja ini lebih 22 tahun. Mungkin sudah ada yang nampak keikhlasan saya," itu komennya.

Namun, Michael tidak mengharapkan mereka yang pernah dibantunya untuk datang mengucapkan terima kasih. "Saya cuma berharap mereka akan mengenang jasa saya sebagaimana saya mengenang jasa JKM membantu saya dulu," katanya.

Anak gadis Michael ikut jejak bapa

DI mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak Michael, Marina Chong, 24, sanggup meninggalkan kerjaya bergaji lumayannya di sebuah syarikat swasta setahun lalu semata-mata untuk bekerja sebagai pembantu bapanya.

“Saya bekerja bukan kerana bapa saya ketua di sini tetapi kerana minat dan mahu menimba pengalaman.

“Selain itu, saya ingin lebih rapat dengan bapa. Dia memang komited dengan kerjayanya sehingga kebanyakan masanya dihabiskan untuk kerja.

“Sekurang-kurangnya di sini saya ada masa untuk bersembang dengan beliau,” ujar Marina yang akan menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung dengan bapanya walaupun berada di tempat kerja yang sama.

Tiga lagi anak Michael ialah Melissa, 23, Melinda, 19, dan Marcus, 18.

Kata Marina lagi, kali pertama dan terakhir mereka sekeluarga melancong ke luar negara ialah 10 tahun lalu.

“Sekian lama merancang dan tertangguh baru kami dapat bercuti ke Tokyo, Jepun.

“Dalam negara amat jarang kami pergi. Hanya Pulau Langkawi, Port Dickson dan paling jauh pun Singapura,” katanya.


MARINA (kiri) sanggup meninggalkan kerjaya bergaji lumayan demi membantu bapanya.


Marina mengakui bapanya agak tertekan dengan tugasannya.

“Kadang-kadang dia balik dalam keadaan marah-marah dan bercerita mengenai kes yang dikendalikan tetapi kami dengar sahaja. Namun ia habis begitu sahaja dan tidak dipendam lama.

“Malah dia bertanyakan tentang pelajaran, hidup malah perkembangan dengan teman istimewa saya yang merupakan kenalan baiknya.”

Ancaman? “Setakat ini saya tidak mempunyai pengawal peribadi dan kami menjalani hidup seperti biasa. Cuma dia ada menasihatkan saya supaya berhati-hati setiap masa,” ujar Marina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: