Friday, April 10, 2009

Search terbang ke awan biru

"Kami tak berhenti mahu membikin konsert, tapi tiada istilah konsert kecil atau sederhana, setiap konsert mestilah besar!" – AMY SEARCH




Bukan bubar tetapi tiga bulan lalu, Amy bersama rakan-rakan Search yang lain pernah sepakat mahu bersara setelah hampir 30 tahun menghambakan diri sebagai hamba muzik.

Cuma sebelum berehat penuh dari dunia seni yang mengangkat serta sedikit mengecewakan mereka, Search mahu merakamkan satu kenangan terindah menerusi konsert jelajah terakhir yang dicita-citakan.

Namun siapa sangka selembar kertas cadangan yang diserahkan sendiri Amy, (vokalis Search) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazali Ramly yang bertujuan meminta penajaan bagi menaja konsert kembara terakhir Search itu telah bertukar warna.

Lain yang dirancangkan lain pula hasilnya, daripada Search Farewell Tour ia bertukar menjadi konsert penghargaan yang tidak pernah dibayangkan oleh Search sejak sekian lama.


SEARCH peroleh tuah tanpa diduga.


Rezeki yang datang kepada kumpulan rock legenda itu berlipat-ganda. Bukan sahaja penajaan untuk sebuah konsert yang gemilang bahkan ibarat bulan jatuh ke riba, Search beroleh tuah yang bukan kepalang apabila Celcom bermurah hati tampil sebagai penaja rasmi konsert jelajah Search ke-11 lokasi di seluruh negara bermula 2 Mei nanti.

Soalnya, apakah Search masih dalam status bersara? Semua itu terjawab usai majlis pelancaran dan sidang media Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru bertempat di Wisma Celcom, Isnin lalu.

Ditanya juga apakah penyebab sehingga Search mahu mengucapkan kalimah 'selamat tinggal' di saat mereka bergelar ikon dan masih digilai peminat irama rock seluruh tanah air.

"Ya, setiap anak seni akan sampai ke satu tahap yang dirasakannya sudah sampai masanya untuk berhenti. Dalam suasana muzik yang tidak menentu sebelum ini pun, kami masih berjuang. Walaupun bisnes muzik sebenarnya sudah mati, kami masih juga berjuang.

"Kami tak berhenti mahu membikin konsert, tapi tiada istilah konsert kecil atau sederhana, setiap konsert mestilah besar! Saya tak nafikan bahawa Konsert Search 25 Tahun dulu sangat penting bagi kami, tapi ia gagal, itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada Search," jelas Amy sedikit beremosi.


BAKAL beraksi di Kota Bharu selepas dua dekad tidak membuat persembahan.


Menegaskan tentang status bersara, kata Amy: "Sekarang kami tiada jawapan perkara itu. Seperti yang saya katakan, setiap anak seni akan sampai ke tahap itu apabila tiba masanya."

Dalam erti kata sebenar, Search tidak akan bersara dalam masa terdekat ataupun sehingga selesainya Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru, Ogos nanti.

Bahkan mengikut perjanjian yang dimeterai bersama Celcom, Amy mahupun Search sendiri tidak dibenarkan menyebut mahupun mengucapkan 'selamat tinggal'.

"Perkara itu ada dalam kontrak kami. Saya tidak peduli jika selepas tamatnya konsert jelajah ini kelak Search mahu bersara atau tidak, tapi sepanjang konsert, mereka tidak dibenarkan mengucapkan 'selamat tinggal'," tegas Shazali mewakili Celcom.

Jelas Shazali juga, Celcom terpanggil untuk menyertai konsert jelajah Search kerana nilai dan jenama milik Search dilihat mampu menyuntik nilai kepada jenama Celcom sendiri.

"Itu kriteria utama kami jika mahu bekerjasama atau menaja mana-mana konsert atau artis. Search sendiri ada kuasa untuk menyumbang ke arah pembangunan nilai jenama kami tetapi mana mungkin kami mahu bekerjasama dengan pihak yang mahu bersara.

"Dalam bisnes kami tidak boleh mengucapkan selamat tinggal kepada pelanggan kami. Jadi untuk konsert ini, kami telah sama-sama bersetuju agar ia diubah menjadi satu konsert penghargaan, penghargaan terhadap khazanah seni yang telah mengisi hidup kita semua sejak 27 tahun lalu," luah Shazali yang secara peribadi mengagumi muzik Search sejak dulu.

Berita ini pasti satu berita gembira buat semua pemuja Search, baru atau pengikut sejak zaman berzaman. Kepada Search dan peminatnya juga, ternyata kepahitan tiga kali melewati detik hitam pembatalan Konsert 25 Tahun Search, dua tahun lalu telah bertemu penawar.


SEARCH belum ada jawapan tentang status persaraan mereka.





Lebih menarik, Kota Bharu turut menjadi salah satu lokasi konsert jelajah ini. Setelah hampir 20 tahun Search tidak pernah membuat persembahan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, akhirnya Search kembali menggegarkan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV menjelang 5 Jun nanti.

"Setakat ini, saya pun sedikit terkejut kerana semua perbincangan dengan pihak berkuasa di Kelantan tidak mengalami sebarang masalah. Alhamdulillah, saya harap tiada risiko bahawa konsert kami di sana nanti akan dibantah mana-mana pihak," ujar Amy Search.

Memandangkan masih banyak masa sebelum destinasi pertama dijejaki, Amy masih belum bersedia memperincikan bentuk dan konsep persembahan menjelang konsert kelak.

"Sebenarnya kami masih belum memutuskan banyak perkara, soal lagu atau penampilan lain sebagai penyanyi jemputan. Kami ada menerima cadangan untuk menjemput mana-mana kumpulan seperti Hujan, Estranged dan Meet Uncle Hussain. Tapi itu semua belum diputuskan," tambahnya.

Mengakui sungguh terharu dengan kerjasama Celcom, luah Amy, apa yang ditawarkan Celcom itu sesuatu yang melangkaui harapannya.

Bukan sahaja dana penganjuran, promosi menerusi semua perkhidmatan Celcom termasuklah muat-turun, SMS, MMS serta nada dering khususnya kepada pelanggan Celcom.

Semata-mata untuk promosi, selain diperdengarkan dengan lagu-lagu hit Search, tiga buah single terbaru Search turut digubah sebagai bonus buat peminat dan pelanggan Celcom. Bagaimanapun lagu yang sedang diusahakan oleh komposer tersohor M. Nasir itu masih belum boleh diumumkan sebelum tiba masa yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: