"Saya tidak akan membiarkan diri untuk menghampakan peminat yang datang ke konsert ini kelak" – JAY JAY

DEMI menghargai sambutan Hari Ibu dan menggalakkan perkembangan industri seni tempatan, Utusan Melayu (M) Berhad menjalinkan kolaborasi menganjurkan Konsert Black Dog Bone (BDB) bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Konsert yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 Mei itu juga diserikan dengan penampilan khas penyanyi popular sekitar 80-an seperti Jay Jay dan Rahim Othman.
Menerusi kerjasama erat itu, Utusan melalui produk-produk media cetak terbitan kumpulannya akan menjadi media rasmi untuk konsert itu dengan memberi liputan pra publisiti serta promosi melalui iklan dan penulisan artikel berkaitan hingga berakhirnya persembahan.
Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, kolaborasi itu menjadi bukti Utusan dan Istana Budaya ingin menunjukkan apresiasi terhadap pemuzik tempatan yang sebelum ini menjadi satu fenomena kepada negara.
"Saya tidak anggap ini sekadar kerjasama dengan Utusan semata-mata, sebaliknya kami mahu menghargai sambutan Hari Ibu dan meningkatkan bidang seni tempatan," katanya semasa majlis menandatangani perjanjian persefahaman sebagai media rasmi di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, Kuala Lumpur Isnin lalu.
Utusan Malaysia menjadi media rasmi penganjuran konsert tersebut di samping Sinar FM sebagai radio rasmi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Box Office Malaysia, Ali Bakar berkata, konsert yang akan berlangsung selama dua jam bermula pukul 8.30 malam itu diiringi 35 hingga 40 ahli muzik pengiring daripada OSK.
"Sebanyak 20 buah lagu akan dipersembahkan oleh kumpulan BDB manakala Jay Jay pula akan menyanyikan beberapa lagu popularnya bersama kumpulan Carefree.
"Rahim yang pernah memenangi sebuah program, Bakat TV pada tahun 1972 pula bakal membuat persembahan sambil memainkan alat muzik, flute.
"Sempena dengan Hari Ibu, sudah pastilah rangkaian lagu ibu termasuk Untukmu Ibu akan dipersembahkan kepada audiens," terang Ali lebih lanjut.
Menyambung bicara, Ali berkata, sebanyak RM1 daripada hasil kutipan tiket konsert akan disumbangkan kepada persatuan kebajikan pilihan Utusan bagi membantu insan-insan yang memerlukan.
"Saya cukup bangga apabila Utusan sedia bekerjasama dengan kami untuk merealisasikan konsert yang sudah lama dirancangkan ini.
"Tanpa Utusan yang berperanan sebagai media rasmi, maka sukar untuk konsert ini dijalankan dengan jayanya," ujarnya berterus-terang.
Kepada peminat yang ingin menyaksikan konsert itu boleh membuat tempahan tiket yang berharga RM65, RM85, RM115 dan RM205 sama ada menerusi laman web di www.ticket2u.biz atau menghubungi 03-41498600.
![]() |
| JAY JAY meluahkan isi hatinya yang penuh dengan kekecewaan. |
Duka untuk Jay Jay
Atmosfera tenang pada awal majlis mula bertukar menjadi sedih apabila salah seorang anggota kumpulan popular pada tahun 1979, Carefree iaitu Jay Jay dilihat mula emosional.
Tidak mampu lagi membendung kekecewaan yang bersarang dalam fikiran, Jay Jay pantas meluahkan perasaan tanpa berselindung dengan tetamu yang hadir.
Hasrat Jay Jay untuk bersatu semula bersama Carefree selepas memasuki 30 tahun lenyap dalam persada hiburan nampaknya belum lagi termakbul. Itulah duka Jay Jay.
Paling menyedihkan, peluang keemasan telah tersedia depan mata apabila kumpulan yang diasaskan tahun 1979, mendapat tawaran daripada Istana Budaya untuk mengadakan persembahan bergandingan dengan BDB, dibiarkan begitu sahaja.
"Pada mulanya kami (Carefree) sudah bersetuju untuk bersatu melaksanakan persembahan sempena Hari Ibu, namun malangnya saya dijelaskan ada anggota kumpulan ini menarik diri pada saat-saat akhir.
"Tindakan ini benar-benar mengejutkan saya yang sudah mula teruja untuk buat persembahan di Istana Budaya.
"Ada di antara anggota kumpulan ini yang mengaku tidak lagi berupaya menunjukkan komitmen untuk menjayakan persembahan ini dengan memberikan alasan kesibukan bekerja.
"Sedangkan saya dan peminat sudah semestinya mahu lihat Carefree muncul kembali setelah lama menghilangkan diri.
"Selepas kami dibubarkan secara rasminya pada 31 Disember 1982, kami seramai lapan orang tidak pernah bergabung untuk menjayakan mana-mana persembahan hingga sekarang.
"Ada sekali kami berkumpul semasa menjayakan sebuah rancangan di sebuah stesen TV terkenal, namun ia masih dianggap macam persembahan biasa.
"Sayang sekali, ia bagaikan peluang sekali seumur hidup, namun disia-siakan begitu sahaja," luahnya kesal dan tersentuh.

Menyambung bicara, pemilik nama sebenar Mohd. Fauzi Darus memberitahu, selepas menerima perkhabaran itu, Jay Jay merasakan dunianya cukup gelap-gelita.
"Manakan tidak, saya sedih sangat kerana sebelum ini ramai yang berlumba-lumba ingin buat persembahan di pentas gah Istana Budaya.
"Dengan perasaan senang hati, ada juga anggota kumpulan ini yang ambil remeh peluang ini, tanpa sesekali berfikir panjang impaknya kemudian hari.
"Saya terus menelefon Ali sambil memberitahu perkara yang sebenar, namun dia menyarankan supaya saya seorang sahaja yang melakukan persembahan bersama BDB dan Rahim.
"Memanglah saya bersetuju, namun nampak tidak manislah kalau saya seorang diri menyanyi di atas pentas, sedangkan peminat mahukan Carefree.
"Boleh sahaja kalau saya mengupah pemuzik luar yang lebih bagus, namun aura Carefree sudah macam sudah hilang dan tidak berguna lagi," luah Jay Jay.
Kata lelaki berusia 52 tahun itu, dengan usia Carefree yang mencecah tiga abad pada tahun ini, sepatutnya anggota kumpulannya memandang soal sentimental terhadap perjuangan yang dilakukan sebelum ini.
Barangkali, kata Jay Jay, dalam majlis sama, sebuah acara memotong kek boleh dilaksanakan untuk memberi apresiasi kepada Carefree, sebaliknya itu semuanya sekadar tinggal menjadi kenangan.
"Entahlah, ada di antara anggota kami yang tidak melihat nilai anugerah ini. Contohnya orang bagi harta, tetapi kita menolak pemberian ini," luah Jay Jay yang kelihatan cukup berkecil hati.
Kumpulan itu memiliki seramai lapan orang anggota. Selain Jay Jay, Carefree juga terdiri daripada Simon Justin Leo, Charles Paiva, Raja Rahman, Raja Rashid, Nana Pawan Chik, Lokman dan Rahim Othman.
Biarpun begitu, dua lagi anggota Carefree iaitu Lokman dan Nana tetap hadir memberi sokongan dalam sidang media tersebut.
Walaupun dirundung duka, Jay Jay bagaimanapun tetap bangkit untuk membuat persembahan walaupun tanpa kemunculan penuh anggota Carefree dan berseorangan.
"Saya tidak akan membiarkan diri untuk menghampakan peminat yang datang ke konsert ini kelak.
"Saya akan bersikap profesional dalam soal ini dan tidak sesekali membiarkan kekecewaan menelan diri.
"Saya akan melakukan sehabis baik untuk konsert ini nanti," ikrarnya yang mengakui aura BDB sendiri sudah cukup untuk menarik perhatian peminat untuk hadir ke konsert tersebut walaupun tanpa kemunculan Carefree.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: