STESEN televisyen ntv7 yang popular dengan tagline Saluran Ceria Anda dilantik hos penyiaran rasmi perlumbaan Formula Satu (F1) edisi kali ini. Kejayaan itu menyaksikan ntv7 menjadi stesen televisyen bernaung di bawah Media Prima yang ketiga mengikut jejak langkah TV3 dan 8TV sebagai hos penyiaran kereta lumba terpantas dan berprestij itu. |
Lebih menarik apabila ntv7 turut menyambut ulang tahun yang ke-11 pada tahun ini malah secara kebetulan pula Perlumbaan F1 Petronas Grand Prix turut genap 11 tahun bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Sri Ahmad Farid Ridzuan, berkata kejayaan mendapat hak penyiaran berkenaan adalah satu usaha sama yang mampu mendorong perkembangan penyiaran selain meningkatkan taraf perlumbaan antarabangsa itu.
"Tidak dinafikan sukan ini mempunyai peminat ramai dari seluruh dunia. Pemilihan ntv7 juga dilihat bertepatan. Stesen ini berjaya melonjak ke tempat kedua di kalangan penonton urban dan terus kukuh mendominasi pasaran TV Cina secara keseluruhan beberapa bulan lalu.
"Sebelum ini, stesen televisyen Media Prima sentiasa memberi sokongan dan menyiarkan beberapa program sukan berprestij seperti Kejohanan Piala Dunia Ragbi IRB 2007 dan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro 2008). Penyiaran beberapa program menarik menerusi saluran kami berjaya meraih jumlah penonton yang tinggi di sekitar Timur dan Barat Malaysia.
"Usaha berterusan ini juga sebagai tanda bagaimana stesen ini menghargai sokongan yang diterima terhadap acara sukan besar di dunia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Sri Pentas baru baru ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Razlan Razali; Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Suridah Jalaluddin; Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul dan wakil penaja.
Penonton dapat merasai bahang saingan perlumbaan F1 dapat disaksikan siaran secara langsung bermula Grand Prix Australia, Malaysia, China, Jepun dan Brazil. Diikuti 12 siaran tertunda membabitkan perlumbaan di negara seperti litar Bahrain, Sepanyol, Turki, Singapura dan Eropah.
Selain paparan komentar eksklusif dari saluran terkemuka BBC yang mengiringi setiap perlumbaan. Lebih menarik dan pasti membuatkan teruja menyaksikan program Grandstand terbitan ntv7 yang menampilkan Daphne Iking dan Joanne de Rozario sebagai pengacara untuk Grand Prix Malaysia pada 3 hingga 5 April ini di Litar Sepang.
Penonton turut berpeluang menyaksikan telatah pelumba F1, David Coulthard, Lee McKenzie, Jonathan Legard dan Martin Brundle sementara mereka berkongsi pengetahuan dan tips mengenai sukan antarabangsa itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: