Friday, April 3, 2009

Jelajah AIM16 mulai Sabtu


BAGI memeriahkan Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) yang akan berlangsung 2 Mei ini, penganjur turut mengadakan promosi jelajah bermula di Kuantan Parade, Pahang Sabtu ini jam 3 petang.

Peminat berpeluang beramah mesra selain meraikan calon akhir AIM16 di beberapa lokasi pilihan di seluruh Malaysia. Program ini bukan hanya memberi peluang kepada peminat mengetahui lebih dekat finalis AIM malah mengikuti perkembangan perjalanan AIM16 dari semasa ke semasa.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung daripada semua lapisan umur. Pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung finalis AIM16 seperti Alyah, Joe Flizzow, Shila OIAM dan Nrocinu.

Lebih menarik, program berkenaan menampilkan pasangan adik-beradik, Hunny dan Hafiz dari Fly FM sebagai pengacara. Selain menikmati persembahan yang disajikan artis terkemuka tanah air, penonton juga berpeluang menyertai aktiviti menarik bersama artis kesayangan mereka di atas pentas.

Program promosi akan diteruskan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam (11 April), diikuti Village Mall, Sungai Petani (18 April) dan Queensbay Mall, Pulau Pinang (25 April). Keterangan lanjut mengenai AIM16 roadshow layari laman utama www.ntv7.com.my.

Majlis kemuncak AIM16 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan disiarkan secara langsung di ntv7.

Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul berkata kempen mempromosi anugerah berkenaan bersesuaian dengan masa yang ditetapkan memandangkan sambutan baik daripada penonton setia stesen televisyen berkenaan.

"Kami meraikan anugerah berprestij ini dengan lebih gilang gemilang dalam usaha kami untuk terus mengukuhkan hubungan kami bersama penonton setia.

"Harapan dan keperluan penonton adalah keutamaan kami dan dengan memaparkan pengisian yang bermutu tinggi tidak kira di televisyen, mahupun persembahan secara langsung kami yakin bahawa ntv7 adalah jenama media yang terbaik dalam kalangan penonton bandar.

"Sejak penubuhannya, AIM berjaya mengumpul jumlah penonton yang tinggi di serata negeri dan tahun ini. Justeru satu usaha sama membabitkan AIM dan penaja utama Celcom membabitkan anugerah penuh glamor akan melangkah ke tahap yang lebih membanggakan dengan meraikan masyarakat pada siri jelajah promosi kedua AIM menyumbang kepada masyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: