| STESEN radio memang memainkan peranan penting dalam menyampaikan informasi terkini kepada pendengar dari semasa ke semasa. |
Justeru, pihak stesen perlu memastikan semua informasi yang disampaikan tepat kerana kalau berlaku kesilapan, pendengar akan keliru.
Apatah lagi, kalau informasi membabitkan waktu solat yang juga ibadah sangat penting kepada seluruh umat Islam.
Namun, ada juga stesen radio tempatan di negara ini yang tidak peka dalam soal babitkan ibadah seperti ini. Itulah yang disampaikan rakan SS mengenai kesilapan dilakukan stesen radio yang kononnya menekankan soal keagamaan.
Kata rakan SS, dia memang pendengar setia stesen berkenaan terutama untuk mendapatkan waktu yang tepat mengenai solat setiap hari.
Namun, perbuatan stesen itu menyiarkan waktu solat Maghrib yang tidak tepat baru-baru ini perlu dipandang serius oleh pengurusan stesen radio berkenaan.
Insiden bermula, apabila pihak stesen radio itu mengumumkan waktu Solat Maghrib di seluruh Semenanjung Malaysia. Waktu solat Maghrib yang diumumkan itu betul pada jam 7.24 malam tetapi kata rakan SS, apa yang dikesalkan, mereka menyiarkan azan lebih awal dan ketika itu belum pun masuk waktu solat.
Kesilapan itu disedari rakan SS apabila melihat jam di keretanya yang baru menunjukkan waktu 7.15 malam dan bukannya 7.24 malam seperti dihebahkan.
Kata rakan SS, nasib baik dia tidak berpuasa sunat pada hari itu kerana jika tidak, puasanya terbatal kerana berbuka sebelum masuk waktunya lagi.
Apapun, SS harap pihak stesen radio berkenaan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesilapan tidak berulang. Mungkin kesilapan itu tidak disengajakan tetapi kalau tidak diatasi segera, ia boleh menjejaskan reputasi stesen mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: